Pendapat Pakar Konsert Jelajah, David Norman tentang Kepelbagaian, Penyelesaian Masalah dan Kembali Membuat Persembahan Secara Langsung

Jonny Auping / November 22, 2021

Veteran yang berkhidmat selama 35 tahun dalam penghasilan acara langsung, pengurusan konsert jelajah dan perakaunan ini telah bekerjasama dengan Prince, John Legend, Avicii dan Tyler, the Creator.

Muzik secara langsung tidak berlaku begitu sahaja apabila anda berurusan dengan artis yang terkenal dan bercita-cita tinggi dengan kreatif seperti Prince, John Legend, Green Day, Earth, Wind & Fire, Robert Plant, Alica Keys dan Tyler, the Creator. Ada jadualnya. Ada logistiknya. Ada raptainya. Ada kapal terbang, bas dan hotelnya. Ada pelarasan saat akhir. Ada perkara yang perlu dibunyikan dengan betul.

Selama 35 tahun yang lalu, artis ini dan ramai lagi bergantung pada David Norman pada suatu ketika untuk mengendalikan segala-galanya dalam konsert jelajah dalam dan luar negara mereka. Dia memainkan peranan sebagai pengurus konsert jelajah, akauntan konsert jelajah dan pengurus pengeluaran bagi beberapa artis yang paling terkenal di dunia.

Norman yang ditampilkan dalam siri podcast Sesi Co.Lab kami bagi kepakaran beliau dalam konsert jelajah, membincangkan tentang betapa dia perlu menangani personaliti yang tidak dijangka serta fakta yang tidak boleh berganjak — dan dia perlu menggabungkan kedua-duanya. Ini bermakna berhadapan dengan artis yang mengatakan bas boleh dipandu dari Jerman ke London, pemain dram yang dimasukkan ke hospital kerana cuba membakar set dramnya dan penyanyi utama yang memerlukan baldi di luar pentas untuk membuang air kecil. Ini merupakan sedikit contoh daripada pelbagai kesukaran yang tidak sesuai untuk diterbitkan. Semua ini yang berlaku sebelum COVID-19 menjadikan proses mempersembahkan muzik secara langsung, lebih rumit.

"Dahulu, saya suka teka-teki dan begitulah pandangan saya terhadap konsert jelajah," ujar Norman. "Kita perlu mengambil semua elemen yang berbeza-beza ini dan semua jenis personaliti berlainan yang mengembara bersama, lalu membentuk kedua-duanya menjadi sesuatu yang koheren. Semuanya seperti domino."

Daripada Tragedi kepada Persimpangan

Norman yang dahulunya merupakan "pemain dram yang kecewa," pernah bermain dalam band, termasuk band nyanyian semula Rush di sekolah menengah. Dia juga pernah menyertai konsert menjelajah bersama orang dewasa di luar Warner Robins, Georgia, tempat bapanya ditempatkan dalam tentera. Ibu bapanya menyukai segala jenis muzik, daripada country kepada jaz dan R&B. Mereka memupuk dan menggalakkan cita rasa yang eklektik dalam dirinya. Dia mungkin boleh menjadi seorang pemuzik yang membuat persembahan sendiri sehinggalah beberapa bulan selepas dia menamatkan sekolah menengah, apabila dia mendapat panggilan pada jam 5.30 pagi semasa sedang mengembara.

Ibu bapanya terlibat dalam kemalangan kereta. Pemain gitar band tersebut membawa Norman terus pulang ke rumah dalam masa lima jam, tetapi pada waktu itu, kedua-dua ibu bapanya telah pun meninggal dunia.

Norman yang pada ketika itu mempunyai obsesi dengan muzik dan perlu mendampingi muzik untuk bertahan, telah mengambil wang yang diwariskan oleh ibu bapa kepadanya serta menggunakan wang itu untuk membina studio. Studio itu menjadi tempat dia mengajar dirinya cara mengadun dan membuat kejuruteraan muzik. Salah satu band muda yang mendapat adunan lagu daripadanya, iaitu AC Black daripada Macon, Georgia dan bernaung di bawah Motown Records, meminta Norman jika dia sudi memandu van mereka pada masa mereka ingin membuat konsert menjelajah.

Dia melakukan segala-galanya untuk AC Black, daripada menyediakan dram dan rig gitar sehinggalah memandu dan melakukan mix untuk persembahan. Walaupun band tersebut ada membuat persembahan pembukaan untuk kumpulan elektro-funk, Band S.O.S., pengurus konsert jelajah mereka, Karen Krattinger sedang bersiap sedia untuk menceburi peluang lain. Dia memerhatikan Norman bekerja dan bertanya jika Norman ingin menggantikannya. Dia menerima tawaran tersebut dan sejak itu, dia membantu artis membuat persembahan secara langsung.

"Saya kehilangan minat [untuk membuat persembahan] selepas ibu bapa saya meninggal dunia," ujar Norman. "Inilah perkara terbaik untuk berada di sana, masih dalam bidang muzik dan melakukan sesuatu untuk menggembirakan peminat. Mereka cuma tidak mengenali saya."

Tidak Ada Satu Hari Pun Yang Sama

Mari lihat, sebagai contoh, festival Austin City Limits yang diterajui oleh Tyler, the Creator selama dua hari selepas kami bercakap dengan Norman. "Tugas saya [untuk persembahan ini] mungkin bermula empat bulan sebelumnya," ujar Norman daripada sebuah bilik hotel di Austin. Dia perlu menjadualkan dan memaklumkan pihak penganjur festival tentang bilangan pemuzik di atas pentas yang akan mereka gunakan dan bilangan pembantu pentas yang mereka perlukan. Dia perlu mengetahui jika pihak festival menyediakan katering dan hospitaliti untuk krunya. Dia perlu memberikan taklimat kepada bomba tempatan tentang pelan piroteknik mereka.

Itu hanyalah satu hentian (walaupun agak rumit) dalam satu konsert jelajah global. Tanpa mengira artis yang bekerja bersamanya, dia perlu menjangkakan dan menyelesaikan masalah yang mereka tidak akan pernah tahu dan mengikut kehendak permintaan mereka. Prince (salah seorang artis kegemaran yang pernah bekerja bersamanya) mengajar Norman satu pengajaran yang bernilai: Apabila artis ada soalan, pengurus konsert jelajah mereka perlukan jawapan.

"Kitalah pemudah cara, kitalah pelaku keajaiban, kitalah pakar psikiatri dan ahli terapi, kitalah doktor dan kitalah segala-galanya ," jelas Norman.

Pengiktirafan Perkauman yang Tertunda

Sebagai seseorang yang bukan berkulit putih, Norman merupakan kehadiran yang jarang ditemui dalam industri konsert penjelajahan. Kadangkala, pemuzik berkulit hitam akan mengupah pengurus konsert jelajah berkulit hitam, tetapi kata Norman, ini bukanlah perkara yang lazim berlaku. Pemuzik country atau rock berkulit putih pula? Lebih jarang lagi.

Dalam hal ini, Norman bertuah kerana dia diiktiraf bagi kehandalannya dalam tugas ini. Namun, Norman berkata apa-apa kemajuan di seluruh industri sepanjang 35 tahun kerjayanya dalam muzik ini adalah sangat perlahan.

Dengan CV yang mengagumkan, apabila Norman diambil bekerja untuk menjalankan konsert jelajah bagi seseorang seperti Tyler, the Creator, dia dibenarkan untuk mengupah sesiapa sahaja yang diperlukan untuk menjalankan tugas dengan baik. Syarikatnya, Tour Forensics, menekankan keperluan untuk mengambil wanita, POC dan ahli komuniti LGBTQ bekerja bagi penambahbaikan industri muzik secara langsung.

Terdapat unsur pilih kasih yang tidak dihadapi oleh orang kulit putih sebagai pengurus konsert jelajah, dakwa Norman. "Kami perlu membuktikan diri sendiri dua hingga tiga kali lebih berbanding dengan lelaki berkulit putih," kata Norman.

Walau bagaimanapun, Norman mendakwa bahawa perpecahan pentadbiran Rumah Putih yang sebelum ini, bersama dengan kebangkitan perkauman negara berikutan pembunuhan George Floyd oleh pihak polis, telah membuatkan orang dalam industri konsert jelajah mengakui terdapat keperluan untuk mengupah orang yang bukan berkulit putih bagi mengisi jawatan sebegini. Dia melihat lebih ramai wajah baharu sejak kembali melakukan konsert menjelajah dan wajah tersebut tidak kelihatan sama sahaja.

Adakah Cara yang Betul untuk Melakukan Konsert Jelajah pada Tahun 2021?

Pada ketika itu, Norman tinggal dua hari lagi sebelum terbang ke Amerika Selatan untuk Lollapalooza pada awal tahun 2020 apabila dia menerima khabar bahawa acara tersebut dibatalkan. Pada ketika itu, dia tidak terlalu mengendahkan khabar tersebut. Ada banyak lagi persembahan yang lain. Namun, tidak lama selepas itu, semua persembahan dibatalkan kerana COVID-19. Kerjanya iaitu muzik secara langsung, dirampas daripadanya dan dia menjadi tertekan.

Rupa-rupanya, cara paling pantas untuk keluar daripada belenggu mental itu adalah dengan memberikan ucapan dalam kelas universiti dan membimbing orang muda dalam perniagaan muzik. Kita tidak boleh menyediakan seseorang untuk ketidakpastian konsert jelajah, tetapi kita perlu bertindak balas.

Pada tahun 2021, Norman berkata keputusan yang patut diambil oleh setiap artis adalah mewajibkan pemvaksinan bagi setiap ahli kru. Dia faham bahawa itu bukanlah keputusan yang mudah, tetapi dia tahu cara untuk mengatasi kesukaran logistik konsert jelajah. "Jika seseorang jatuh sakit, hal ini bukan sahaja menjejaskan seorang tetapi semua orang yang berada dalam bas tersebut," katanya. Artis mungkin selamat, tetapi jika seseorang membahayakan seluruh pasukan bunyi, kos dan risiko untuk menggantikan seluruh pasukan itu dalam waktu terdekat adalah hampir tidak dapat ditanggung.

Idea ini ada kaitan dengan tanggapan ringkas yang diamalkan Norman sepanjang kerjayanya selama 35 tahun: menjadi bermanfaat dan bertimbang rasa kepada semua orang yang terlibat. Pemeriksaan bunyi dan perancangan di tapak bagi persembahan ACL Tyler, the Creator adalah penting. Akan tetapi, melakukan semua ini dengan cekap juga sama penting kerana pasukan pemuzik yang lain juga perlu melakukan kerja yang sama. Kakitangan di tapak memerlukan masa untuk berehat. Tyler merupakan pemuzik utama, tetapi menyusahkan sesiapa dalam festival itu boleh membawa kesan domino yang menjejaskan persembahannya. Sebahagian daripada tugas semua orang adalah membantu untuk memastikan semua orang bersemangat dan mempunyai mental yang sihat.

"Tyler seharusnya dapat tiba di festival itu, buat persembahannya dan pergi. Itu kerja dia," ujar Norman. "Tugas kami adalah memudahkan semua perkara itu dan memastikan bahawa audiens dan Tyler bergembira."

Untuk mendengar selanjutnya daripada David Norman, dengar episodnya dalam podcast Sesi Co.Lab kami di bawah dan klik di sini untuk menyemak imbas lebih banyak episod daripada siri ini.

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini