Menerima Identiti Bakat Seni LGBTQIA+: Nasihat daripada Troye Sivan, Big Freedia, Hayley Kiyoko dan Ramai Lagi

Jessica Letkemann / June 21, 2022

Enam orang pemuzik daripada komuniti LGBTQIA+ berkongsi tentang pengajaran yang diperoleh dalam mengemudi kerjaya mereka dan meraikan identiti mereka dalam muzik masing-masing.

Tiada bentuk seni seperibadi muzik — muzik ini mengalir daripada anda, pengalaman dan perspektif anda. Jika anda seorang artis LGBTQIA+, anda sudah tahu bahawa identiti ini datang dengan cabaran dan peluang yang tersendiri. Kami bercakap dengan Troye Sivan, Big Freedia, Hayley Kiyoko, Sam Smith, Becca Mancari dan Joanna Sternberg untuk mendengar beberapa nasihat terbaik yang pernah mereka terima atau beri, tentang menerima identiti mereka dalam muzik.

Hayley Kiyoko: H-O-R-M-A-T

"Sebagai artis yang baru muncul [dan] status ini boleh bertahan bertahun-tahun lamanya — kami sentiasa perlu membuktikan diri dan nilai kami," ujar Kiyoko, artis pop yang luar biasa. "Saya rasa sebagai seorang wanita dan seorang queer dalam bidang ini, sangat mencabar untuk menghormati diri sendiri dan keperluan diri. Kita juga perlu sedar diri bahawa kita bukan artis nombor satu di dunia, jadi kita tidak akan disuap untuk berjaya. Walaupun begitu, akan sentiasa ada cabaran yang perlu anda atasi.

Seorang rakan pemuzik pernah bertanya kepadanya tentang subjek yang paling takut untuk disebut dalam lagunya, yang telah mencetuskan pencerahan. "Saya terfikir, 'Oh, itukah yang patut saya lakukan, bercakap benar?'" katanya. "Saya banyak meluangkan masa menyebut 'kau' dan 'dia.' Saya sudah pun mencintai wanita sejak berumur lima tahun, jadi ini benar-benar membantu saya mencari tujuan saya sebagai seorang artis. Saya tidak faham mengapa kita mengambil masa yang lama [untuk sedar] bahawa kekuatan terbesar kita sebagai manusia ialah cabaran, matlamat, impian kita dan perkara yang ingin kita ubah. Itulah yang membuatkan kita begitu unik."

Troye Sivan: Jeritlah Sekuat Hati Anda

"Saya dapat beberapa nasihat teruk daripada seseorang yang saya benar-benar sayangi dan benar-benar hormati. Saya sudah tidak bekerja bersamanya lagi," ujar penyanyi/pelakon Australia Sivan dalam podcast Nasihat Terbaik kami. "Pesanannya berbunyi lebih kurang begini, 'Awak boleh jadi gay, tapi perlukah awak beritahu kepada semua orang?' Nasib baiklah, entah macam mana… mungkin disebabkan adanya sokongan daripada keluarga saya, saya dapat kekuatan dalaman untuk mengetahui bahawa itu bukanlah nasihat yang baik pada masa ini."

Big Freedia: Orang Yang Membenci Akan Sentiasa Membenci

Sokongan keluarga juga merupakan kunci kepada cara Big Freedia menghadapi homofobia. Dia yang membesar di New Orleans dan bakal menjadi Ratu Bounce, menyerlahkan kebanggaannya sebagai seorang artis. "Apabila orang mula menggelar saya dengan penghinaan, gelaran yang berlainan dan membuli saya, ibu saya selalu berkata, 'selagi mereka tak sentuh kamu, mereka boleh cakap apa-apa saja yang mereka mahu,'" jelas Freedia dalam podcast Nasihat Terbaik kami. "Jika mereka memanggil saya pondan atau ba*uk atau apa-apa pun yang mereka gelar saya, saya akan ucapkan terima kasih. Mereka bingung apabila saya berbuat begitu… ucapan terima kasih itu terus mendiamkan mereka." Sebahagian daripada kekuatan itu datang daripada bersikap jujur kepada diri sendiri. "Awak tidak menyakiti saya kerana saya kenal diri saya sendiri."

Becca Mancari: Luahkan dalam Nyanyian

Bagi penyanyi/pencipta lagu Nashville Becca Mancari, situasi dengan keluarganya sangat berbeza. "Bagi orang queer yang perlu mengharungi banyak trauma kerana berterus-terang — sekurang-kurangnya bagi saya — saya hanya tahu cara untuk bertahan selama bertahun-tahun lamanya," ujarnya. Pada tahun 2020, dia mendapat ilham untuk menulis tentang pengakuan identitinya secara langsung dalam muziknya, dalam lagu “First Time.” Dia mendapati pengalaman tersebut "hampir kepada mengajar diri sendiri, menyayangi jiwa kecil dalam diri anda dan meneruskan hidup." Pada hari lagu itu dikeluarkan, dia berkata dia "panik. Seluruh rakaman ini adalah tentang beralih kepada bab seterusnya, iaitu bertanya kepada diri saya, 'Adakah kau menemui jalan keluar? Adakah kau okey? Jika kau perlu meninggalkan seluruh dunia secara jujurnya, bagaimanakah kau mencari jalan untuk ke dunia seterusnya?'"

"Reaksi yang saya terima menakjubkan. Ramai orang menghubungi saya dan berkata, 'Saya faham, terima kasih.' Malah, ada ibu bapa yang menghubungi saya dan berkata, 'Saya tidak memahami anak trans, anak queer saya, tetapi saya ingin berbuat demikian. Saya tidak mahu menafikan mereka.' Memang berat. Saya tidak sangka saya perlu memikul tanggungjawab itu, tetapi saya rasa sebagai seorang artis, bila lagi masa yang tepat untuk menghasilkan muzik yang akan benar-benar mengubah dunia?"

Joanna Sternberg: Genre dan Jantina

"Lebih sukar untuk menjadi pemuzik klasik atau jaz yang berhadapan dengan [neutraliti jantina]," ujar pencipta lagu dan pemain berbilang instrumen, Joanna Sternberg. "Jika saya memainkan lagu oleh Irving Berlin atau Cole Porter atau pun Thelonious Monk... lagu mereka dari waktu tidak ramai orang trans bersikap terbuka; dari zaman yang lebih homofobia dan berbeza. Tradisi untuk membuat persembahan adalah, jika anda seorang wanita, anda harus memakai gaun dan mekap." Sternberg berkata mereka menghadapi diskriminasi daripada ketua band kerana mereka tidak hadir sebagai objek seks. "Mereka melihat saya dan mereka tidak boleh menggunakan saya, mereka tidak mahu berhubungan intim dengan saya — jadi mengapa saya ada di sana? Ini sememangnya mengecewakan, tetapi saya tahu inilah kebenarannya."

Sam Smith: “Berhati Waja”

"Sayang sekali orang queer, terutamanya wanita, perlu bersusah-payah untuk memasuki bilik [penerbitan]. Harapnya keadaan lebih baik sekarang," ujar pencipta lagu popular Sam Smith, yang bukan binari. "Cakap saja apa-apa yang anda ingini. Luahkan perasaan anda. Anda berhak untuk berada dalam bilik tersebut sama seperti orang lain."

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini