Memperkenalkan Song Start, siri video dan podcast pendidikan baharu kami tentang penciptaan lagu, penerbitan, muzik dan penetapan minda. Mari bermula di sini dengan asas pembinaan demo.
Untuk mana-mana artis rakaman, baik yang terkenal atau sebaliknya, segala-galanya bermula dengan demo. Lagu boleh wujud dalam minda anda, di bilik tidur anda mahupun dalam persembahan langsung anda, namun lagu tersebut tidak boleh benar-benar dikongsi dengan dunia sehingga dirakam — dan demo ialah langkah pertama untuk mengeluarkan lagu. Sebagai sebahagian daripada siri Song Start baharu kami, Noteable oleh Spotify for Artists telah mengajak pemuzik Phoebe Bridgers dan Marshall Vore, Kito serta TOKiMONSTA untuk mengetahui lebih lanjut tentang asas membuat dan merakam demo.
“Sesiapa yang memberitahu anda bahawa ada cara yang betul untuk merakam apa-apa sahaja, mereka salah,” kata Marshall Vore yang kerap bekerjasama dengan Phoebe Bridgers, menasihati artis untuk bereksperimen dengan bunyi dan persediaan rakaman yang berbeza. "Tiada cara yang betul, cuma ada perkara yang anda cuba dan kesan daripada percubaan tersebut, serta sama ada anda suka kesan tersebut atau tidak. Adakah suatu cara sesuai dengan situasi khusus anda?"
Walaupun mudah untuk berfikir bahawa penghasilan muzik yang bagus memerlukan peralatan studio yang mahal dan canggih, Phoebe Bridgers berkata bahawa banyak idea lagu terawalnya dirakam menggunakan telefon pintarnya, malah dia kadangkala masih merakam vokal di bilik air. “Antara karya seni yang paling menarik dan paling hebat dihasilkan oleh remaja tanpa wang di bilik tidur mereka,” kata Vore.
Sudah tentu, terdapat asas yang perlu dikuasai oleh setiap artis semasa proses rakaman. Kito menggariskan lima alat utama yang perlu diketahui oleh setiap artis ketika membuat demo:
- Antara muka: cara anda membekalkan kuasa dan menghantar bunyi ke komputer untuk merakam bunyi tersebut
- Mikrofon
- Papan nada MIDI: papan nada elektronik gaya piano yang digunakan untuk mencetuskan bunyi dan instrumen
- Suara dan instrumen anda
- Stesen Kerja Audio Digital (DAW): program komputer seperti Logic atau ProTools
Setelah persediaan asas anda disediakan, langkah seterusnya adalah untuk menguji mikrofon anda. "Uji tahap bunyi sebelum anda merakam," kata Kito. “Anda akan tahu jika audio kedengaran herot.”
Vore menjelaskan bahawa persediaan yang betul ialah kunci untuk mendapatkan kualiti audio yang baik. "Apabila bunyi terlalu perlahan, anda akan mendapat banyak hingar tambahan. Apabila bunyi terlalu kuat, bunyi akan herot," katanya.
Kito mencadangkan agar anda sentiasa menambahkan "sedikit perisa pada vokal", menyebut alat pemalam biasa seperti pembetulan pic (juga dikenali sebagai Auto-Tune) dan De-Esser. De-Esser direka untuk mengurangkan kejadian bunyi sibilan, iaitu bunyi tajam yang boleh berlaku pada lagu vokal apabila menghasilkan bunyi "S" atau "T". "Sesiapa pun yang menyanyi, mereka rasa suara sendiri sedap didengar, jadi anda akan mendapat persembahan yang lebih baik," katanya.
Terdapat juga alat seperti reverb yang boleh menambahkan kekayaan dan kedalaman pada audio. “Reverb menambahkan ruang pada bunyi,” kata TOKiMONSTA. “Jika anda bercakap di gereja besar, anda sebenarnya tidak mendengar gema; bunyi yang anda dengar ialah reverb, iaitu bunyi ruang yang besar ini dan cara bunyi melantun. Namun reverb juga memberikan rasa ringan, memberikan tekstur. Tidak semua bunyi kedengaran bagus dengan reverb dan tidak semua artis suka menggunakan banyak reverb."
Muzik instrumental menjadi asas bagi vokal dalam lagu demo. Sesetengah artis dan kumpulan muzik akan merakam instrumen mereka di studio, tetapi ramai yang membuat instrumental menggunakan MIDI dan DAW. Artis dan penerbit boleh memilih daripada pelbagai jenis instrumen, sampel dan banyak lagi, serta merakam bunyi tersebut terus pada komputer mereka dengan kawalan MIDI.
Dram membentuk asas banyak lagu demo dan TOKiMONSTA menyarankan agar anda menggunakan pustaka sampel yang dikawal oleh papan nada MIDI anda untuk membuat corak dram. "Cara ini benar-benar membolehkan anda membuat bunyi yang sangat konsisten dalam muzik anda," katanya.
Terdapat banyak cara untuk merakam lagu instrumental dengan MIDI, termasuk tidak menggunakan papan nada langsung. "Anda boleh melukis kord dalam MIDI menggunakan komputer anda tanpa menyentuh papan nada MIDI langsung," kata Kito, merujuk alat "pensel" yang terdapat dalam banyak DAW. "Ramai penerbit yang saya kenal belajar macam ni, cuma melakar MIDI. Dan anda mula mengenali corak. Walaupun anda tiada papan nada, ini cara yang bagus untuk membuat muzik."
Mana-mana persembahan instrumen pasti ada sedikit kekurangan, yang boleh dibetulkan dengan “mengkuantum” lagu. Ini menukarkan not instrumen yang dimainkan menjadi hasil sempurna yang sejajar dengan rentak dan menghapuskan apa-apa kejanggalan.
Proses rakaman demo akan berbeza-beza berdasarkan aliran kerja artis, namun apabila selesai, proses pengadunan dan pengindukan tidak patut diabaikan. Pengadunan melibatkan pengimbangan semua elemen individu dalam lagu, termasuk runut vokal dan instrumental, menjadi satu runut stereo menggunakan alat seperti EQ, reverb dan pemampatan. TOKiMONSTA menasihati artis supaya mendengar demo mereka dalam pelbagai persekitaran untuk menghasilkan adunan yang sempurna.
"Untuk saya menemukan tahap bunyi yang ideal, saya perlu mendengar lagu berulang kali pada pembesar suara yang berbeza," katanya. "Dalam kereta saya, pada komputer riba saya, pada AirPods saya, pelbagai jenis monitor, kemudian saya akan buat pelarasan mikro. Namun, keseimbangan itu amat penting. Walaupun saya boleh mencipta sebuah lagu dalam masa sehari, saya mengambil masa yang sangat lama untuk mengadun."
Pengindukan biasanya dirujuk sebagai "benteng pertahanan terakhir", iaitu waktu runut stereo lagu melalui proses kawalan kualiti untuk mengesan "artifak" seperti bunyi pop dan herotan yang mungkin muncul pada produk akhir.
“Pengindukan tidaklah susah sangat,” kata TOKiMONSTA. "Muzik anda harus sentiasa kedengaran bagus tanpa apa-apa perbuatan pada induk. Pengindukan hanya bertujuan meningkatkan dan mengimbangkan unsur."
Keempat-empat bintang ini akhirnya menasihati artis baharu untuk mempercayai diri mereka, walaupun mereka baru bermula. "Elakkan daripada meminta maaf kepada diri sendiri," kata Bridgers, menegaskan bahawa peralatan canggih tidak diperlukan untuk menghasilkan muzik yang hebat.
TOKiMONSTA bersetuju. "Anda perlu mempercayai naluri anda," katanya. "Ramai orang tidak akan memahami perspektif anda pada mulanya, tetapi itulah yang akan membezakan anda kemudian."
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang membuat dan merakam demo, lihat episod Song Start Spotify di bawah:
Phoebe Bridgers & Marshall Vore - Merakam Demo Akustik
TOKiMONSTA - Membina Demo
Kito - Persediaan untuk Demo
Klik di sini untuk melihat semua video dan podcast daripada Song Start.
