Memperkenalkan Perlindungan Profil Artis: Memberi Artis Lebih Kawalan Terhadap Kandungan Yang Dipaparkan Di Bawah Nama Mereka

Kini dalam versi beta, ciri pilihan ini membolehkan anda menyemak keluaran layak sebelum keluaran tersebut dipaparkan pada profil anda di Spotify.
March 15, 2026

Kini dalam versi beta, ciri pilihan ini membolehkan anda menyemak keluaran layak sebelum keluaran tersebut dipaparkan pada profil anda di Spotify.

Muzik telah diletakkan pada halaman artis yang salah merentasi perkhidmatan penstriman, dan kemunculan lagu AI yang mudah dihasilkan telah memburukkan lagi keadaan. Ini bukanlah pengalaman yang kami mahu artis lalui di Spotify, dan itulah sebabnya kami menjadikan perlindungan identiti artis sebagai keutamaan untuk tahun 2026. Hari ini, kami akan mengumumkan penyelesaian yang pertama seumpamanya untuk masalah yang telah menjejaskan penstriman selama bertahun-tahun.

Pada zaman penstriman ini, menghantar muzik kepada puluhan perkhidmatan penstriman dan peruncit digital sekali gus ialah sesuatu yang mudah. Saluran pengagihan akses terbuka telah mengurangkan halangan untuk artis bebas berkongsi muzik dengan dunia, menggalakkan kerjasama dengan mudah dan memindahkan muzik antara pengedar dengan lancar. Namun, keterbukaan ini mempunyai kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh pelaku jahat.

Kadangkala, ini bermakna keluaran yang bukan milik anda akan muncul pada profil anda merentasi perkhidmatan penstriman — sama ada disebabkan oleh kekeliruan metadata, artis lain dengan nama yang sama, atau pelaku jahat yang mengaitkan muzik mereka dengan profil anda. Apabila berlaku, perkara ini boleh menjejaskan katalog, statistik, Release Radar anda serta cara peminat menemukan muzik anda. Kami faham bahawa keadaan ini mengecewakan artis serta peminat, dan salah satu permintaan utama yang kami terima daripada artis sepanjang tahun lalu ialah mereka mahukan tahap ketampakan yang lebih tinggi sebelum muzik dipaparkan di bawah nama mereka.

Perlindungan Profil Artis

Itulah sebabnya kami memperkenalkan Perlindungan Profil Artis, iaitu ciri pilihan dalam Spotify for Artists yang kini dalam versi beta terhad. Ciri ini menambahkan langkah semakan sebelum keluaran disiarkan pada profil anda untuk membantu anda mengawal muzik yang menyenaraikan anda sebagai artis di Spotify.

Buat kali pertama dalam sejarah mana-mana perkhidmatan penstriman muzik, kami akan memberi anda keupayaan untuk menyemak dan meluluskan atau menolak keluaran yang dihantar kepada Spotify daripada kebanyakan pembekal. Untuk melindungi identiti artis anda dan mencegah kekeliruan pendengar, hanya keluaran yang anda luluskan akan dipaparkan pada profil artis anda, menyumbang kepada statistik anda dan dipaparkan dalam cadangan untuk pendengar anda.

Perlindungan Profil Artis tidak diperlukan bagi setiap artis, tetapi mungkin boleh dipertimbangkan jika anda pernah mengalami keluaran yang tidak betul berulang kali, menggunakan nama artis yang sama seperti artis lain, atau mahukan lebih banyak kawalan ke atas perkara yang dipaparkan pada profil anda. Anda perlu menyemak keluaran secara aktif sebelum keluaran disiarkan, jadi anda boleh menangguhkan atau menyekat keluaran sah anda jika anda terlupa untuk mengambil tindakan. Ciri ini sesuai untuk mereka yang berasa selesa untuk mengurus katalog secara sangat aktif.

Ciri baharu ini memanfaatkan alat pelaporan kami yang sudah tersedia, menawarkan semakan proaktif dan pelaporan reaktif kepada anda, agar anda berpeluang bertindak sebelum dan selepas sesebuah keluaran dikaitkan dengan profil anda.

Cara Ciri Ini Berfungsi

Jika anda disertakan dalam versi beta, anda akan melihat ciri ini tersedia dalam tetapan Spotify for Artists anda pada desktop dan web mudah alih (Pentadbir dan Editor Pasukan Artis mempunyai keupayaan untuk mengurus tetapan). Jika anda menghidupkan Perlindungan Profil Artis, anda akan menerima pemberitahuan e-mel apabila muzik dihantar kepada Spotify dengan nama anda.

Dari situ, anda boleh menyemak keluaran layak dan memutuskan sama ada anda mahu meluluskan atau menolak keluaran.

  • Jika anda meluluskan keluaran, keluaran tersebut akan dipaparkan di bawah nama anda serta menyumbang kepada statistik anda dan cadangan kepada peminat anda seperti biasa pada tarikh keluaran.
  • Jika anda menolak keluaran atau tidak mengambil tindakan, keluaran tidak akan menyenaraikan anda atau muncul pada profil anda. (Harap maklum, keluaran mungkin akan tetap disiarkan pada perkhidmatan penstriman selain Spotify, jadi anda mungkin masih perlu memberitahu label atau pengedar anda.)

Untuk memudahkan pelancaran keluaran sah dan menjimatkan masa anda, anda juga akan diberikan kunci artis: sebuah kod unik yang boleh anda kongsikan dengan pembekal yang dipercayai. Apabila muzik yang dihantar kepada Spotify menyertakan kunci artis anda semasa penghantaran, keluaran itu akan dipralulus secara automatik dan disiarkan seperti biasa.

Perkara yang Berlaku Seterusnya

Ini ialah versi beta awal, yang bermaksud bahawa jika anda memutuskan untuk mengikut serta, perkara yang akan anda lihat dalam Spotify for Artists bukanlah fungsi penuh yang muktamad. Sepanjang versi beta, kami akan mengumpulkan maklum balas daripada artis yang menggunakan Perlindungan Profil Artis dan akan terus memperhalusi ciri ini sebelum dilancarkan kepada semua artis dengan secepat mungkin.

Jika anda belum disertakan dalam versi beta atau memilih untuk tidak mengikut serta, pengeluaran muzik masih berfungsi seperti biasa. Jika terdapat keluaran yang tersalah kait dengan anda, anda masih boleh melaporkan keluaran tersebut di sini.

Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati Pusat Bantuan Spotify for Artists.

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini