Daripada pendengar kasual kepada peminat super: menavigasi segmen audiens Spotify.
Pendengar bulanan, pengikut dan pendengar super mungkin kedengaran sama, namun setiap satu istilah tersebut mewakili hubungan berbeza antara artis dengan peminat. Pengetahuan tentang perbezaan ini penting untuk memahami audiens Spotify anda dan mencapai matlamat anda.
Apabila kami memperkenalkan pensegmenan audiens dalam Spotify for Artists, matlamat kami adalah untuk menawarkan cerapan baharu tentang tahap penglibatan audiens. Kami mahu membantu anda melihat kemajuan pendengar daripada menemukan muzik anda kepada menjadi peminat setia anda.
Sejak itu, kami telah mengembangkan tab Segmen untuk memberi anda statistik terperinci tentang setiap saiz segmen, cara segmen ini berubah sepanjang masa dan sumbangan segmen terhadap kiraan strim bulanan.
Panduan ini meliputi semua perkara penting tentang segmen audiens dan metrik pada tab Segmen, memperkasakan anda agar dapat lebih memahami pendengar anda serta membuat keputusan termaklum untuk mencapai matlamat anda.
Segmen
Segmen audiens tersedia pada versi web dan juga versi aplikasi mudah alih Spotify for Artists.
Di web, pergi ke tab Audiens dan klik Segmen. Pada aplikasi mudah alih, pergi ke tab Audiens, kemudian tatal ke bawah dan ketik "Lihat semua segmen".
Dalam Segmen, anda akan melihat jumlah pendengar unik anda daripada tempoh dua tahun yang lalu — kami merujuk angka ini sebagai jumlah audiens anda — dipecahkan mengikut cara pendengar berinteraksi dengan muzik anda. Ini ialah pandangan kami yang paling luas tentang jangkauan muzik anda. Ini merangkumi pendengar aktif bulanan, aktif sebelum ini dan yang diprogramkan anda. Segmen ini memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang audiens anda dengan menunjukkan orang yang sengaja mencari dan menstrim muzik anda, serta orang yang mendengar secara pasif.
Berikut ialah pecahan segmen ini dan sebab segmen itu penting:
Pendengar aktif bulanan: Ini ialah pendengar berharga yang telah menstrim muzik anda dengan sengaja dalam tempoh 28 hari yang lalu daripada sumber aktif seperti profil artis, halaman single dan album anda serta playlist atau pustaka mereka sendiri. Secara purata, audiens aktif membentuk 33% daripada jumlah audiens anda tetapi mendorong 60% daripada penstriman anda serta 80% daripada pembelian barang dagangan melalui Spotify. Anda perlu memastikan audiens ini terus terlibat agar mereka terus mendengar dan kekal dalam audiens anda.
Pendengar super: Ini ialah pendengar aktif bulanan anda yang paling berdedikasi yang menstrim muzik anda 15 kali atau lebih dengan sengaja dalam tempoh 28 hari yang lalu. Mereka juga yang paling berkemungkinan akan terus menstrim muzik anda. Pendengar super ialah peminat anda yang paling setia di Spotify dan merupakan ukuran kumpulan peminat yang penting.
Pendengar sederhana: Ini ialah pendengar aktif bulanan yang menstrim muzik anda 3 hingga 14 kali dengan sengaja dalam tempoh 28 hari yang lalu dan masih boleh berkembang menjadi pendengar super. Walaupun kurang terlibat berbanding dengan pendengar super, mereka berpotensi untuk berubah menjadi pendengar super dari masa ke masa.
Pendengar ringan: Ini ialah pendengar aktif yang menstrim muzik anda 1 atau 2 kali dengan sengaja dalam tempoh 28 hari yang lalu dan boleh berkembang menjadi pendengar sederhana.
Pendengar aktif sebelum ini: Pendengar ini pernah menjadi sebahagian daripada pendengar aktif bulanan anda tetapi tidak menstrim muzik anda dengan sengaja dalam tempoh 28 hari yang lalu.
Pendengar yang diprogramkan: Pendengar yang hanya menstrim muzik anda daripada sumber yang diprogramkan. Ini termasuk tempat-tempat seperti playlist editorial, playlist yang dibuat oleh pendengar lain, set oleh DJ AI, dan playlist yang diperibadikan seperti Discovery Weekly, Radio dan Autoplay. Mereka tidak menstrim muzik anda daripada sumber aktif dalam tempoh sekurang-kurangnya 2 tahun.
Peningkatan pendengar aktif bulanan anda, terutamanya pendengar super, meninggalkan kesan yang besar pada statistik penstriman anda dan pengekalan audiens jangka panjang. Walau bagaimanapun, jangan abaikan kepentingan pendengar aktif sebelum ini dan pendengar yang diprogramkan anda.
Pendengar aktif anda sebelum ini telah menunjukkan minat terhadap muzik anda dengan menstrim muzik secara aktif pada masa lalu dan memudahkan lagi mereka melibatkan diri. Sebaliknya, pendengar yang diprogramkan anda mungkin menemukan muzik anda buat kali pertama melalui saluran seperti playlist editorial atau Radio, jadi mereka mungkin bersedia untuk menerokai katalog anda pada masa akan datang dan menjadi pendengar aktif bulanan anda.
Metrik Penukaran Pendengar
Apabila pendengar mula menstrim muzik anda, mereka memasuki salah satu daripada segmen audiens anda, namun mereka tidak semestinya kekal di situ. Apabila mereka menemukan muzik anda dalam playlist Spotify, menstrim daripada profil artis anda atau menyimpan muzik pada pustaka mereka, mereka akan beralih antara segmen.
Metrik penukaran pendengar menjejaki perubahan ini setiap bulan dan mengukur kejayaan anda untuk menukar pendengar kasual menjadi peminat setia sepanjang masa.
Pendengar baharu: Ini ialah pendengar yang tidak menstrim muzik anda di Spotify dalam tempoh dua tahun yang lalu tetapi kini menyertai jumlah audiens anda. Anda kini boleh mengukur orang baharu yang dijangkau oleh muzik anda setiap bulan di Spotify.
Pendengar aktif baharu: Pendengar ini menstrim muzik anda dengan sengaja buat kali pertama dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, menyertai pendengar aktif bulanan anda. Strim aktif mereka mungkin merangkumi kali pertama mereka mendengar muzik anda atau mereka mungkin telah beralih daripada menstrim daripada sumber yang diprogramkan sahaja.
Pendengar yang diaktifkan semula: Pendengar ini telah menyertai semula audiens aktif anda selepas tempoh tidak aktif selama sekurang-kurangnya sebulan. Apabila anda mengaktifkan semula lebih ramai pendengar, anda akan melihat bahawa pendengar aktif sebelum ini anda semakin berkurang dan pendengar aktif bulanan anda semakin meningkat.
Bilangan strim
Gunakan graf bilangan strim untuk mengetahui cara segmen yang berbeza mempengaruhi statistik penstriman anda. Alat ini memberikan data tentang sumbangan setiap segmen terhadap strim anda dalam tempoh 28 hari yang lalu.
Cara mengakses bilangan strim mengikut segmen:
Di web, klik pada mana-mana segmen, kemudian klik "Bilangan Strim" pada carta donut.
Pada mudah alih, lawati Audiens, ketik "Lihat semua segmen" dan gunakan carta bar untuk melihat bilangan strim bagi setiap segmen.
Data pada tab Segmen akan membantu anda menjejaki audiens anda di pelbagai peringkat kumpulan peminat, daripada pendengar baharu sehingga peminat setia. Metrik penukaran pendengar akan mewujudkan gelung maklum balas yang menghubungkan strategi pemasaran dan keluaran anda dengan pertumbuhan dan penglibatan semula audiens, yang penting untuk membina kejayaan jangka panjang.
Mula mengenali audiens Spotify anda dengan melihat segmen di Spotify for Artists pada web atau mudah alih.

