Artis baharu Unusual Demont, Julia Wolf, Wallice dan EKKSTACY mengambil bahagian dalam program pemasaran artis bebas, Fresh Finds. Kini, dengan pelancaran Single Spotify baharu mereka di seluruh dunia, kami bertemu dengan bakat baharu ini untuk berbicara tentang lagu baharu dan pengalaman mereka dalam program serta perkara yang mereka pelajari sepanjang proses.
Lima tahun lalu, Spotify melancarkan playlist Fresh Finds untuk menyerlahkan artis bebas DIY yang menghasilkan karya yang memberikan impak dan menunjukkan potensi yang besar dalam pembinaan kerjaya mereka. Dalam tempoh itu, playlist yang didorong oleh penemuan ini telah membantu melonjakkan nama artis seperti Clairo, Pink Sweat$, 100 gecs dan Omar Apollo berkembang sehingga menjadi nama terkemuka kini. Playlist ini juga lebih dikenali sebagai destinasi penemuan utama untuk peminat yang sangat canggih dan menantikan perkara seterusnya dalam muzik.
Kini, pada tahun 2021, visi dan ekosistem Fresh Finds telah berkembang sehingga menyertakan sembilan playlist yang khusus genre, merangkumi muzik terkini dalam hip-hop sehinggalah eksperimen serta 13 versi rantau di seluruh dunia, termasuklah Brazil, Korea dan Turki.
Spotify bukan sahaja ingin mempamerkan artis indie dengan playlist ini tetapi juga menyokong mereka melalui didikan, pemasaran dan alatan Spotify for Artists. Oleh itu, Spotify mengembangkan Fresh Finds bulan lepas untuk memasukkan program artis bebas baharu, yang menawarkan peluang kepada empat orang artis yang berpotensi untuk mempelajari dan berkarya dengan beberapa alatan dan sumber yang disediakan oleh Spotify. Sepanjang tempoh enam hingga lapan minggu, para artis iaitu EKKSTACY, Unusual Demont, Wallice dan Julia Wolf diberi akses kepada bimbingan seorang ke seorang, Masterclass yang diperibadikan tentang alatan Spotify for Artists seperti Canvas dan Marquee, sokongan pemasaran di seluruh sosial, promosi di luar rumah dan pada platform serta peluang usaha sama dengan pencipta lagu dan penerbit melalui pasukan Pencipta Lagu dan Hal-Ehwal Penerbitan Spotify. Pada penghujung program ini, hasil karya keempat-empat artis, pencipta lagu dan kumpulan penerbit ini berakhir dengan keluaran empat Single Spotify baharu.
Kini, dengan keluaran Single Spotify mereka, kami akan mendedahkan perbualan kami dengan Wallice, Unusual Demont, EKKSTACY dan Julia Wolf untuk memberikan pencerahan tentang falsafah kreatif, proses mereka dan mengetahui perkara yang mereka pelajari tentang pemasaran muzik mereka dan mengembangkan asas peminat mereka dengan alatan Spotify for Artists yang diberikan kepada mereka.
Unusual Demont
Apakah sebenarnya yang mengilhamkan Single Spotify anda, “hey?” Apabila saya mendengar lirik lagu tersebut, bunyinya seperti anda mendapat banyak permintaan untuk bekerjasama, betulkah?
Ya, itu salah satu aspek lagu tersebut. Ada ramai orang yang menghubungi saya selepas [single saya yang popular] “Amber” keluar dan berkata "Hei, saya suka gaya kamu! Jom bekerjasama!" Akan tetapi, saya baru sahaja keluarkan satu lagu pada waktu itu, bagaimana mereka tahu gaya saya? Ada juga ajakan yang kedengaran ikhlas, tetapi selalunya jelas bahawa mereka telah melihat kejayaan single itu dan memutuskan untuk menghubungi saya dan bukan kerana mereka benar-benar menyukai muzik saya. Namun, 'hey!' secara kasarnya ialah luahan segala ketakutan dan kekecewaan yang saya rasai waktu saya menulis lagu tersebut. Daripada pengalaman sebagai orang kulit Hitam di Amerika sehinggalah percanggahan yang ramai artis hadapi untuk mengewangkan ekspresi mereka yang tersendiri. Saya benar-benar ingin menyuarakan semuanya. Akan tetapi, satu perkara yang membuatkan saya tetap bertahan ialah saya berjaya membanggakan keluarga saya, maka tertulislah lirik, "At least the fam still fine…"
Sejauh manakah pentingnya penceritaan dan perspektif dalam muzik anda? Mengapa?
Saya masih mengasah kemahiran penceritaan saya dan ingin mencapai tahap Frank [Ocean] dalam channel ORANGE atau [Childish] Gambino dalam Because The Internet – tetapi saya mendapati perspektif merupakan alat yang hebat. Jika tujuan anda bukanlah untuk memastikan cerita menarik untuk pendengar…maka perspektif boleh digunakan agar cerita itu menarik buat anda. Menulis lagu daripada perspektif orang lain ialah cara yang sangat bagus untuk menemukan emosi baharu. Katakanlah hubungan anda baru berakhir dan anda yang ditinggalkan - bosannya. Walau bagaimanapun, jika anda menulis daripada perspektif orang yang meninggalkan anda, maka anda perlu mencari jalan untuk menjadi hampir introspektif, dengan mencari kesalahan anda (jika ada, kerana kadangkala manusia memang buruk perangainya).
Single Spotify: "hey" oleh Unusual Demont, diterbitkan oleh The Idiot
Apakah perkara paling berharga yang anda peroleh daripada Masterclass Spotify dan keseluruhan pengalaman secara umum?
Matlamat anda tidak sepatutnya untuk dimasukkan dalam playlist semasa membuat dan menghasilkan karya seni anda. Matlamat anda sepatutnya membuat muzik yang bagus, itu yang paling utama.
Apakah ertinya buat anda, apabila anda disertakan dalam program Fresh Finds?
Saya berasa terharu apabila mengetahui lagu yang saya hasilkan di ruang bawah tingkat cukup bagus untuk mencapai tahap ini. Saya berasa sangat diperakui setelah bertahun-tahun bekerja keras dalam senyap, sambil memberitahu diri saya bahawa usaha saya akan berbaloi.
Apakah nasihat yang akan anda berikan kepada artis baru muncul yang lain?
Matlamat anda sepatutnya membuat muzik yang bagus dan terutamanya, yang anda suka. Walaupun mudah untuk membuat lagu yang boleh dimasukkan dalam playlist atau mengikut trend kesukaan orang ramai pada waktu itu, namun ini bukanlah cara untuk membuat lagu yang tidak luput dek zaman. Jangan takut untuk membuat perkara aneh dalam muzik anda, walaupun anda rasa bahawa perkara tersebut hanya boleh difahami oleh anda seorang. Ini kerana anda hanya memerlukan seorang sahaja yang memahami muzik anda, kemudian nama anda akan meletup. Selain itu, jangan takut untuk bersendirian seketika dan benar-benar menguasai diri anda sebagai seorang artis. Boleh sahaja jika anda mahu bekerjasama dengan artis yang lebih terkenal daripada anda kerana anda boleh mendapat pendedahan dan galakan yang pantas. Namun, kolaborasi harus saling menguntungkan. Pastikan anda mengenali diri dan bunyi anda sebelum anda cuba untuk menggabungkan kedua-dua perkara yang tidak serasi.
Julia Wolf
“RBF: Part 1” mengingatkan kami kepada karya artis ini tentang gangguan di jalanan dan anda juga ada memasukkan sebaris lirik dalam bahasa Itali yang bermaksud "jangan suruh saya senyum lagi” dalam lagu tersebut. Beritahu kami tentang niat anda dalam penulisan lagu ini dan mesej lagu ini.
Ramai orang beritahu yang muka saya "masam" dan dahulunya saya agak kecil hati tentang hal ini tetapi sekarang saya tahu muka masam bukanlah sesuatu yang negatif. Setelah bertahun-tahun, saya dapati bahawa jika kita terlampau baik, ini bermakna orang akan mengambil kesempatan terhadap kita dan terutamanya semasa saya membesar, saya terlalu reda dengan tingkah laku sebegitu. Akan tetapi, berasa yakin diri dan mampu menguatkan diri untuk berkata tidak atau melakukan yang terbaik untuk diri sendiri juga boleh membuatkan anda dilabel sebagai "betina." Jadi, daripada perspektif saya, jika ada orang yang menggunakan gelaran itu untuk menjatuhkan air muka wanita, maka kita sudah tahu akan personaliti buruk mereka. Dari sudut yang tidak sihat pula, perbuatan ini terasa seperti pujian bahawa tindakan saya adalah betul. Saya cuma ingin menekankan sisi memperkasakan wanita yang wujud dalam semua ini.
Sejauh manakah pentingnya visual buat anda? Apakah pendapat anda tentang Canvas sebagai alat untuk luahan visual? Bagaimanakah anda ingin melakukan lebih lagi sebolehnya dengan Canvas?
Visual sama penting dengan muzik. Visual menghidupkan dunia yang ingin saya cipta dan berkongsi dunia itu dengan orang ramai. Itulah sebabnya saya sangat bertegas untuk menghasilkan visual dengan sendiri. Visual mencerminkan diri saya dan merupakan cara paling kukuh untuk orang ramai memahami mesej dengan lebih baik. Oleh itu, sudah tentulah saya obses dengan Canvas. Saya suka apabila saya boleh menukar visual bila-bila masa saya mahu dan saya tidak terikat dengan apa-apa. Saya menghasilkan Canvas daripada video DIY buatan sendiri, koleksi foto dan karya seni yang beranimasi. Tiada had kepada kreativiti yang boleh dihasilkan. Saya dapat bertindak berani dengan menghalakan orang ramai untuk melihat, mungkin Canvas mingguan yang baharu atau melibatkan peminat dengan menghantar Canvas untuk saya sertakan pada muzik saya!
Single Spotify: "RBF: Part 1" oleh Julia Wolf, diterbitkan oleh Jackson Foote
Anda seorang artis tetapi apakah pengajaran yang anda peroleh daripada pengalaman ini mengenai pemasaran muzik anda dan menyampaikan muzik kepada lebih ramai pendengar?
Kita sentiasa melihat aspek "pemasaran" dalam pengeluaran muzik sebagai saluran kreatif dengan cara tersendiri dan pengalaman ini mengukuhkan kepercayaan tersebut dalam diri saya. Ini bukanlah lebih kepada berfikir "adakah berbuat begini atau berbuat begitu akan menyebabkan lebih ramai orang mendengar muzik saya." Namun, ini lebih kepada mencari cara artistik atau kreatif lain yang boleh menyampaikan visi dan mesej saya kepada orang ramai. Saya berharap dengan menumpukan pada cara sebegitu, seni ini terus disambut baik oleh orang ramai dan berkembang dan tersebar secara harmoni.
Terangkan pengalaman anda mencipta Single Spotify anda. Apakah rasanya? Apakah perbezaan pengalaman ini daripada proses kreatif anda yang biasa, jika ada?
Pengalaman ini menarik kerana dari dahulu, saya sudah ada keinginan untuk menulis tentang "muka masam." Saya telah menyiapkan lagu ini kira-kira setahun yang lalu dengan tajuk ini, tetapi saya berasa lagu ini tidak sesuai, jadi saya tidak mampu untuk mengeluarkan lagu ini. Jackson Foote, yang mengetahui tentang lagu ini, bertegas agar kami menghidupkan lagu ini semula kerana pada pendapatnya, ada sesuatu yang istimewa dalam lagu ini. Jadi, buat pertama kalinya, saya kembali mengedit lagu ini semula dan sekarang, saya gembira dengan hasilnya! Kami memutuskan untuk menggunakan sampel sebagai bunyi utama bagi hook, yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini dan kami benar-benar menumpukan pada groove untuk menyerlahkan lagi pengaruh hip hop tersebut.
Apakah ertinya buat anda, apabila anda disertakan dalam program Fresh Finds?
Tiada kata-kata yang mampu mengungkapkan betapa terujanya saya semasa saya mula-mula menerima panggilan telefon tersebut. Besar maknanya buat seorang artis bebas untuk dikenali bagi muzik dan mesej yang ingin mereka kongsi. Saya sangat bersyukur untuk bekerjasama dengan Spotify, lebih-lebih lagi apabila mereka memberikan kepercayaan kepada saya.
Wallice
Anda seorang pencipta lagu dengan lirik yang sentiasa bermakna dan mengujakan. Beritahu kami tentang “Nothing Scares Me” dan inspirasi di sebalik lirik lagu ini.
Bagi saya, lirik ialah bahagian paling penting dalam lagu ini. Untuk lagu ini, saya mulakan dengan idea kehilangan minat terhadap kehidupan harian dan sentiasa mencari perkara baharu dan yang mendatang berbanding menikmati apa-apa yang ada pada ketika itu. "Nothing Scares Me" ialah versi kesedaran yang berlebihan tentang hal sebegitu dan melakukan perkara yang melampau untuk cuba merasakan sesuatu.
Bagi Single Spotify anda, anda bekerja dengan rakan usaha sama kerap dan juga rakan anda, marinelli (serta Ariel Rechtshaid). Terangkan keserasian yang anda miliki sebagai rakan usaha sama dan lazimnya, bagaimanakah lagu dihasilkan apabila kalian bekerjasama?
Saya sudah mengenali marinelli selama lebih daripada separuh hayat saya dan dia merupakan salah seorang rakan karib saya, jadi kami sentiasa bekerjasama dengan baik dan mempunyai pandangan serta cita rasa yang serupa dalam muzik dan kami juga tidak gentar untuk berterus-terang antara satu sama lain. Penambahan Ariel dalam gabungan kami berdua ialah sentuhan yang baik untuk mendapatkan perspektif berbeza dan diperkenalkan dengan gaya lain berbanding dengan perkara yang telah kami lakukan selama bertahun-tahun lamanya.
Single Spotify: "Nothing Scares Me" oleh Wallice, diterbitkan oleh marinelli & Ariel Rechtshaid
Beritahu kami tentang matlamat kerjaya anda dan apakah makna kejayaan buat anda dalam jangka panjang?
Saya rasa kejayaan adalah membina asas kumpulan peminat yang harapnya berkekalan sepanjang hayat dari awal dan terus berkembang daripada titik tersebut. Matlamat saya adalah agar peminat sentiasa kembali untuk mendengar keluaran baharu dan teruja akan lagu yang akan datang, berbanding mempunyai lagu tular di media sosial atau lagu teratas dalam sesebuah playlist selama seminggu. Saya berharap untuk terus berkembang sebagai seorang artis, bekerjasama dengan lebih ramai orang yang menginspirasikan dan mempengaruhi muzik saya kini dan membuat muzik yang saya gemari.
Apakah ertinya buat anda, apabila anda disertakan dalam program Fresh Finds?
Saya sangat berbesar hati! Program ini sangat mengujakan buat para artis indie yang akan datang. Apabila saya mula-mula mengeluarkan muzik, saya hampir tidak tahu apa-apa tentang urus niaga dan semua politik yang berkaitan dengan "kejayaan", maka dengan adanya sokongan daripada jenama Spotify yang bereputasi baik dan dikenali di seluruh dunia ini terhadap artis yang kurang dikenali, akan menjadi pengubah keadaan industri muzik.
EKKSTACY
Bukan mudah untuk mengkategorikan muzik anda tetapi perasaan muzik tersebut tidak dapat dinafikan. Bolehkah anda mengulas tentang betapa pentingnya (atau tidak pentingnya!) genre bagi anda? Bagaimanakah anda menerangkan muzik anda kepada orang ramai?
Bagi saya, setiap artis memerlukan genre khusus mereka yang tersendiri sekarang. Saya tidak pernah mencuba dan menjelaskan muzik saya kepada sesiapa pun. Saya biarkan orang yang mendengar muzik saya yang membuat penerangan.
Apakah pengalaman anda membuat Single Spotify anda, "f*ck everything!,"? Apakah perbezaan pengalaman ini daripada proses kreatif anda yang biasa?
Saya biasanya tidak suka dengan kerjasama kerana saya suka buat segala-galanya sendiri. Mula-mulanya saya tidak menyukai lagu ini tetapi apabila saya dan Jonny [Pierce of The Drums] berusaha lebih keras, saya sedar bahawa kadangkala, lagu yang bagus mengambil masa untuk dihasilkan.
Single Spotify: "f*ck everything!" oleh EKKSTACY (menampilkan The Drums), diterbitkan oleh Jonny Pierce of The Drums*
Apakah ertinya buat anda, apabila anda disertakan dalam program Fresh Finds?
Program ini hebat, saya bersyukur dan tidak akan melupakan pengalaman ini.
Apakah nasihat yang akan anda berikan kepada artis baru muncul yang lain?
Biar wajah anda terpampang pada papan iklan di Times Square dan semua orang akan menyukai anda.