Satu lagi tahun dengan hubungan peminat yang lebih erat, keluaran yang menonjol, kempen yang lebih pintar dan ketelusan yang lebih tinggi — semuanya di Spotify for Artists.
Pada tahun ini, kami telah memperkenalkan alat baharu untuk membantu anda mengubah cara muzik anda dipaparkan di Spotify, memberi peminat anda cara yang lebih baik untuk mendengar dan melihat anda serta memahami dunia di sebalik setiap lagu. Berikut ialah perkara yang kami lancarkan pada tahun ini untuk menyokong artis di mana-mana jua dengan lebih baik.
Ingin memastikan bahawa anda tidak terlepas apa-apa kemas kini pada tahun 2026? Sertai saluran siaran kami di Instagram atau WhatsApp (Bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis, Itali, Jerman, Portugis.
Anda membawa peminat anda memasuki dunia kreatif anda dengan lebih mendalam
Pada tahun 2025, Video muzik mula dilancarkan dalam versi beta di Spotify untuk pendengar Premium di A.S., Kanada serta 100+ pasaran antarabangsa yang lain, membolehkan peminat menonton video rasmi, nyanyian semula dan persembahan langsung anda di samping mendengar lagu anda. Kami juga memperkenalkan Audio Tak Hilang untuk pendengar Premium, yang membantu peminat menikmati muzik anda dengan kedalaman dan kejelasan yang lebih tinggi.
Kini peminat juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang orang, hubungan dan kisah di sebalik muzik anda. Kami telah melancarkan Kredit Lagu yang dikembangkan dan memaparkan semua kredit yang dihantar bagi setiap lagu, memberikan ketampakan lebih tinggi kepada pencipta lagu, penerbit, jurutera dan pemuzik yang terlibat.
Kami juga telah menaik taraf ciri penemuan konsert yang membantu rancangan anda menjangkau lebih ramai pendengar di tempat mereka sudah pun mendengar muzik anda. Kini peminat boleh mengikuti tempat kegemaran mereka, meneroka senarai artis yang akan datang dan mendapatkan cadangan diperibadikan untuk persembahan berhampiran mereka.
Keluaran baharu anda diketengahkan
Peminat diberikan lebih banyak peluang untuk menemukan keluaran baharu anda pada tahun ini. Kami telah memperkenalkan hab Keluaran Akan Datang — destinasi dalam aplikasi baharu yang dikuasakan oleh Halaman Kira Detik, yang membolehkan peminat menyemak imbas kandungan akan datang dan prasimpan muzik yang paling mengujakan mereka. The Drop Weekly dilancarkan di Amerika Syarikat sebagai destinasi hari Jumaat baharu dengan video pendek, ulasan daripada editor Spotify, pilihan diperibadikan dan pratonton Halaman Kira Detik. Selain itu, dalam Masterclass Spotify for Artists baharu, kami telah menghuraikan cara untuk menguatkan keluaran anda, daripada membina keterujaan awal hinggalah memastikan momentum berterusan selepas hari keluaran.
Jorja Smith telah menunjukkan kepada kita bahawa pengeluaran muzik baharu bukan sekadar menekan butang muat naik — coretan, nota suara dan perancangan larut malam juga memainkan peranan penting. Semua usaha di sebalik tabir tersebut membantu peminat berhubung dengan kisah di sebalik setiap keluaran baharu.
Bukan itu sahaja. Kami juga telah berseronok dengan siri sosial Penambahan Playlist kami, yang menonjolkan nama playlist ciptaan peminat yang lucu, menyentuh hati dan kecoh yang menyertakan lagu anda. Selain itu, untuk mengakhiri tahun ini, kami telah meraikan kempen keluaran baharu yang paling berimpak pada tahun ini dengan Anugerah Pemasaran Spotify for Artists 2025 kami.
Kempen anda menjangkau peminat dengan cara baharu
Kami telah memperkenalkan cara yang lebih jelas dan baik untuk merancang dan mempromosikan keluaran anda. Persediaan kempen Marquee dan Showcase kini lebih mudah — anda boleh membina satu kempen dengan berbilang subkempen untuk pelbagai pasaran, format, audiens, tarikh mula dan belanjawan. Showcase juga dilancarkan untuk desktop di 13 negara, mengetengahkan muzik anda kepada peminat tidak kira cara mereka menggunakan Spotify.
Pada tahun ini, anda memahami audiens anda dengan lebih mendalam. Pendengar super — kumpulan kecil yang secara puratanya membentuk kira-kira 2% daripada pendengar bulanan anda, tetapi mendorong 18% daripada strim bulanan anda dan kira-kira separuh daripada jualan tiket anda daripada Spotify — telah menjadi unsur yang lebih penting dalam perancangan keluaran anda. Dalam Masterclass Mengaktifkan Pendengar Super, kami menghuraikan cara untuk mengenal pasti peminat super dan cara alat seperti Campaign Kit boleh membantu anda mewujudkan lebih ramai peminat sedemikian. Discovery Mode terus membantu muzik anda menjangkau pendengar baharu selepas minggu keluaran. Kami juga menunjukkan cara band indie Indigo Waves menggunakan Discovery Mode bersama dengan Pilihan Artis, Canvas, pengusulan playlist, Barang Dagangan, Showcase dan Marquee semasa pelancaran album mereka Mirror.
Anda membantu kami membina ekosistem muzik yang lebih telus
Pada tahun 2025, kami memperkenalkan perlindungan yang lebih kukuh untuk muzik anda dan cerapan yang lebih jelas tentang cara industri berfungsi. Loud & Clear kembali dengan liputan baharu tentang ekonomi penstriman — termasuk pembayaran lebih daripada $10 bilion oleh Spotify kepada industri muzik pada tahun 2024. Panduan Royalti baharu kami menerangkan cara pembayaran berfungsi, dan perkara yang boleh anda lakukan untuk memastikan anda mengutip segala wang yang terhutang kepada anda. Di samping itu, untuk membantu anda menavigasi ekosistem dengan lebih baik dan mengelakkan masalah yang lazim berlaku, kami telah memperkenalkan Masterclass Memahami Penstriman Buatan — maksud penstriman buatan, cara untuk mengelakkan masalah ini dan langkah yang boleh diambil untuk melindungi muzik dan royalti anda.
Usaha untuk memastikan katalog anda tepat juga menjadi lebih mudah. Kini, anda boleh menandakan keluaran yang tidak betul secara terus dalam Spotify for Artists, memudahkan anda melaporkan apa-apa perkara yang tidak sepatutnya dipaparkan pada profil anda dengan cepat agar peminat mendengar muzik yang betul apabila mereka melawat halaman anda.
Kami telah mengambil langkah yang besar untuk mengukuhkan perlindungan AI bagi artis, pencipta lagu dan penerbit di Spotify. Dasar baharu kami mengeluarkan klon suara yang tidak dibenarkan, menyekat spam dan muat naik yang dijana secara besar-besaran, serta akan menyatakan dengan jelas apabila AI memainkan peranan dalam membuat sesuatu lagu. Semua ini membantu untuk melindungi muzik, royalti dan pilihan anda sebagai pencipta.
Anda telah membangkitkan suara baharu
Pada tahun ini, kami telah meraikan ulang tahun kesepuluh Fresh Finds yang memperjuangkan bakat baharu. Siri ini telah berkembang dengan Fresh Finds Songwriters — tempat pencipta lagu dan penerbit menonjolkan pencipta lagu bebas kegemaran mereka yang paling berpotensi.
Playlist Artis yang Perlu Diperhatikan 2025 kami telah menampilkan 35 artis merentasi lebih daripada 12 genre, dan sorotan tahunan seperti Artis Baharu Terbaik dan Pilihan Editor terus memperkenalkan suara yang memajukan muzik kepada pendengar.
Kami telah memperhebat komitmen kami terhadap kesejahteraan artis melalui Heart & Soul: Mental Health for Creators, iaitu inisiatif global dengan rakan kongsi seperti Backline dan organisasi bukan untung yang lain, untuk memudahkan akses kepada sokongan yang bermakna. Kami juga mengembara ke seluruh dunia, muncul di pelbagai detik budaya di seluruh dunia — daripada Latin Grammys dan Big Sound di Australia hinggalah CCMA di Kanada dan Hari Pemerkasaan di Colombia.
Seperti biasa, tahun ini berakhir dengan Wrapped. Pada tahun ini, setiap artis dapat memuat naik Clip untuk Wrapped sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia mereka. Wrapped menyampaikan cerita yang lebih besar dan menggembirakan yang mendedahkan impak muzik anda terhadap pendengar di mana-mana jua. Wrapped for Songwriters juga menawarkan tumpuan yang sama kepada pencipta lagu dan penerbit di sebalik muzik, memaparkan cara lagu yang dihasilkan dengan usaha anda bergerak di seluruh Spotify.
Ke manakah muzik anda akan membawa anda pada tahun 2026?
Terima kasih atas segala ciptaan anda pada tahun 2025 dan kerana menjadikan Spotify for Artists sebagai sebahagian kecil daripada perjalanan anda. Kami tidak sabar untuk mendengar muzik anda yang seterusnya.
