Amalan Terbaik

Perkara Yang Boleh dan Tidak Boleh Dibuat Semasa Mengupah Peguam

Photo by Dayne Topkin on Unsplash
May 31, 2018

Peguam ialah bahagian yang sangat penting dalam mengurus kerjaya anda. Kami bertanya kepada beberapa peguam tentang waktu dan sebab untuk mengupah peguam.

Peguam mempunyai reputasi yang buruk sejak beratus-ratus tahun yang lalu. "Mari bunuh semua peguam," ujar Dick the Butcher dalam Henry VI Bahagian 2 karya Shakespeare, Namun, Butcher mungkin berubah fikiran apabila dia terpaksa menghuraikan bahasa yang berjela-jela dalam perjanjian pelesenan penyegerakan atau berunding butiran bagi pelepasan sampel. Hakikatnya, pemuzik terpaksa menangani banyak masalah undang-undang sepanjang kerjaya mereka, yang bermakna peguam yang handal boleh menjadi ahli yang paling berharga dalam pasukan anda.

Namun, artis muda tidak boleh disalahkan atas ketidakpedulian mereka terhadap undang-undang muzik. Lagipun, tiada siapa yang berminat menghasilkan muzik disebabkan minat mereka terhadap kontrak. Itulah sebabnya mengetahui waktu dan cara serta sebab untuk mengupah peguam adalah sangat penting: Mereka akan menyokong anda dari segi undang-undang agar anda boleh menumpukan perhatian untuk melakukan perkara yang anda suka.

Anda mungkin terperanjat jika anda tahu betapa banyaknya yang boleh disumbangkan oleh seorang peguam dalam setiap bahagian kerjaya anda, daripada urusan barang dagangan kepada yuran konsert jelajah sehinggalah harta intelek yang diperuntukkan kepada anda. Perlu berunding tentang komisen pengurus anda? Serahkan sahaja kepada peguam anda? Perlu mengambil penerbit atau remixer? Gunakan peguam anda kerana anda perlu melangsaikan bayaran pendahuluan rakan usaha sama anda dan/atau bahagian royalti mereka. Adakah penerbitan filem atau televisyen ingin melesenkan muzik anda? Implikasi royalti jangka masa panjang mungkin ada, maka lebih baik anda cari peguam.

Untuk memberi rumusan tentang asas kepada anda, kami bercakap dengan tiga orang peguam muzik berpengalaman dan menyusun nasihat mereka di bawah. Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang pembinaan pasukan cemerlang bagi membantu anda dengan kerjaya anda, lihat episod ini daripada siri video asal kami, The Game Plan .

Hubungi Kami

"Pemuzik tidak tahu perkara yang mereka tidak tahu dan itulah yang paling menakutkan," kata Colin Maher Esq., pemilik Whiskey Ghost Entertainment LLC di Nashville. "Apabila anda menandatangan apa-apa atau pun ingin bekerjasama dengan orang, saya cadangkan anda hubungi peguam."

Dia menekankan bahawa tiada risiko bagi seorang artis untuk mendapatkan nasihat peguam muzik. "Lazimnya, peguam tidak akan mengenakan bayaran jika anda bertanya soalan. Jika [mereka berbuat begitu], maka anda tidak sepatutnya bekerjasama dengan peguam itu."

Anggap Muzik Anda sebagai Suatu Perniagaan

Vladimir Radovanov Esq., seorang peguam muzik yang menetap di Los Angeles, mencadangkan agar pasukan artis dilihat sebagai entiti syarikat. "Pengurus ialah CEO , pengurus perniagaan ialah CFO, peguam ialah Peguam Am sementara artis merupakan pemilik semua saham syarikat dan berhak untuk meluluskan sebarang keputusan yang dibuat."

Maher pun bersetuju. "Anda seorang usahawan. Anda perlu menjangkakan bahawa muzik anda akan mendapat sambutan hangat dan lihat lagu anda sebagai rakaman yang akan menjadi lagu bernilai juta-juta dolar, bukan sekadar rakaman bernilai $500 yang anda bayar untuk dihasilkan, kerana dari situlah masalah akan timbul. Anda perlu mengatur segala-galanya dari awal lagi."

Jangan Bayar untuk Membuat Persembahan

Mungkin anda pernah melihat iklan yang menawarkan peluang untuk anda membuat persembahan di tempat berprestij berhampiran anda atau di rancangan yang dihadiri oleh "pempengaruh." Peluang ini boleh menjadi milik anda jika anda membeli 15 tiket terlebih dahulu (yang sudah tentulah, boleh dijual kepada rakan anda) atau isi beberapa kertas kerja yang memberikan hak kepada satu lagu anda atau lebih kepada pihak penganjur.

Annie Lin, yang merupakan penyanyi konsert jelajah/ pencipta lagu sebelum memulakan kerjayanya sebagai peguam muzik di San Francisco, mengingatkan artis agar berhati-hati dengan penipuan ini. "Apabila anda berurusan dengan karyawan, kerja yang terlibat boleh jadi sangat peribadi dan begitu bermakna sehinggakan artis melihat adanya peluang apabila risiko terlibat," ujarnya.

"Saya tidak suka melihat situasi artis yang mungkin terdesak atau tidak tahu, mengikat diri mereka dengan kewajipan yang memaksa mereka membayar untuk membuat persembahan. Artis boleh membayar untuk menggunakan alat. Akan tetapi, jika seseorang datang berjumpa dengan anda dan berjanji macam-macam jika anda menandatangani sesuatu kontrak, maka saya berharap anda ada sumber untuk benar-benar mempertimbangkan jika kontrak itu bagus untuk anda."

Biar Harapan Tinggi dan Sediakan Payung Sebelum Hujan

"Jika saya membuka kedai kopi dengan rakan niaga, saya akan tetapkan dahulu terma perniagaan sebelum terlibat," kata Maher yang menekankan kepentingan perbincangan yang telus sejak awal. Adakah kumpulan anda sebuah perbadanan atau syarikat liabiliti terhad? IRS akan ambil tahu sebaik sahaja pendapatan anda meningkat. Adakah setiap ahli merupakan ahli setara dalam "syarikat" anda? Adakah semua orang boleh berhenti sesuka hati mereka? Siapa yang memiliki nama band anda?

Maher pernah memberikan nasihat kepada band untuk mengadakan perjanjian dalaman, tetapi mereka tidak sempat menentukan orang yang memiliki hak dan perkadaran hak tersebut, bagi gubahan lagu dan rakaman induk mereka. Selepas band itu berpecah, pertempuran undang-undang yang sengit berlaku.

"Sukar untuk artis berfikir begini kerana mereka menghasilkan karya berseni dan mereka membuatnya dengan rakan mereka dan semuanya baik-baik sahaja. Akan tetapi, anda cuma perlu membayangkan yang keadaan tidak akan berakhir dengan baik dan cuba [merancang] dengan lebih awal semasa keadaan masih tenang. Seringkali apabila saya menyebut tentang hal ini, orang akan berasa sangat tidak selesa. Walaupun mereka semua bersetuju, tetapi mereka tidak selesa dengan hal ini kerana mereka tidak mahu membincangkan perkara ini. Tetapi, anda tidak mahu masalah ini timbul ketika melibatkan berjuta-juta dolar."

Terima Perjanjian atau Tidak

Radovanov mencadangkan bahawa ada masa yang sesuai untuk menerima perjanjian rakaman dan ada masa yang tidak sesuai. "Anda perlu memahami kedudukan anda dalam kerjaya anda dan perlu berani untuk berkata 'Bukan sekarang.'"

Keupayaan untuk menahan diri daripada menerima perjanjian, atau seperti yang dikatakan oleh Radovanov, "percaya pada diri sendiri," membolehkan artis dan peguam mereka mencari perjanjian yang terbaik. "Ini contoh kisah untuk dijadikan teladan," tambahnya. "Mungkin ada sesuatu yang berlaku kepada anda dan anda menerima perjanjian. Anda berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan perjanjian ini kerana anda berasa 'Inilah dia. Inilah yang sepatutnya kita tandatangani.' Kemudian, rakaman itu dikeluarkan dan tidak memberi sambutan lalu anda dikeluarkan daripada perjanjian tersebut. Situasi ini sangat melemahkan semangat dan kini anda bagaikan 'barang rosak.' Jika tidak ada momentum berasaskan peminat, maka tidak berbaloi untuk anda menandatangani perjanjian tersebut."

Namun, berdasarkan situasi yang sama, Radovanov berkata, "Jika nama anda semakin hangat diperkatakan, walaupun anda menolaknya, perjanjian itu mungkin akan kembali dengan lebih banyak manfaat. Kemudian, anda berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berunding kerana anda mempunyai lebih banyak pengaruh."

Sahut Cabaran

Menurut Lin, walaupun peguam artis "terikat dengan kewajipan undang-undang dan etika untuk mewakili anda dengan bersungguh-sungguh," namun penting untuk artis mengambil tahu tentang urusan mereka. Ujar Radovanov, "Jika artis memahami kesan perjanjian tersebut, maka mereka akan lebih yakin dari segi cara mereka mahu perjanjian mereka disusun dan ini membolehkan saya mencipta konsesi yang lebih baik."

Kata Maher lagi, "Apa yang akan saya buat ialah saya akan bertanya kepada klien saya sebelum melihat kontrak 'Awak rasa apa ada di dalamnya?' atau 'Apa yang patut diisi di dalamnya?'"

Artis mungkin tidak mahir dalam seni membuat perjanjian, tetapi lazimnya ini tentang melibatkan diri dengan proses — sedikit penyelidikan boleh membuat perbezaan besar. "Sumber utama," ujar Radovanov, "ialah buku Donald Passman [ All You Need to Know About the Music Business ]. Sesiapa yang mahu menyertai perniagaan ini atau memahaminya sepatutnya memiliki senaskhah buku ini.

"Kami diperkasakan oleh pelanggan kami," sambungnya. "Banyak yang boleh kami lakukan apabila klien kami rela untuk mengambil pendirian tertentu dengan sendiri berbanding apabila mereka berkata, 'Tolong buat untuk saya. Saya tak faham langsunglah.'"

— Nate Baker

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular