Amalan Terbaik

Perkara Yang Boleh dan Tidak Boleh Dibuat Semasa Mengambil Foto Artis

The rapper YG, photographed by Misha Vladimirskiy for the series "My Own Devices"
April 26, 2018

Jurugambar yang berpengalaman berkongsi petua untuk mendapatkan gambar yang sempurna.

Kita semua tahu kata-kata hikmat bahawa sekeping gambar bernilai seribu perkataan. Menurut Misha Vladimirskiy, gambar juga bernilai seribu penstriman. Seperti yang dijangkakan daripada seorang jurugambar dan peminat muzik yang berdedikasi, kadangkala dia akan mendengar muzik artis itu hanya kerana dia menyukai gambar profil Spotify mereka. Bukan dia sahaja yang berbuat begini.

"Saya merupakan antara segelintir orang yang berbuat begini, kerana saya bersifat visual," akuinya, tetapi dia juga menegaskan bahawa artis yang tidak meluangkan masa untuk mendapatkan imej yang baik telah kehilangan peluang untuk memenangi hati peminat. "Gambar sangat penting untuk pemasaran dan promosi kerana itu juga sesuatu yang mungkin akan orang kirim pada profil mereka dan kongsi. Jika gambar anda tidak cantik, maka...mungkin gambar tersebut tidak akan dikongsi dengan kerap.

Vladimirskiy memulakan kerjayanya dalam perancangan parti dan promosi. Dia mendokumenkan pesta malam kelab SF rakannya dan akhirnya beralih dalam bidang fotografi. Dia merupakan antara jurugambar terawal yang menangkap gambar Lady Gaga, membuat potret dan penggambaran langsung artis daripada Phoenix kepada The Rolling Stones dan mengasaskan bersama agensi kreatif FilterlessCo. Walaupun sesetengah artis terkemuka lazimnya menjalani beberapa latihan media dan "berpengetahuan," namun dia sudah biasa melatih artis yang kurang berpengalaman melalui proses ini. Biasanya, dia akan mengusulkan ideanya sendiri tetapi katanya, lebih baik hasilnya apabila pemuzik dan jurugambar bekerjasama.

"Sebenarnya, terpulang pada mereka untuk merasakan perkara yang mereka ingini. Saya rasa sebagai seorang artis, sangat penting untuk kita yakin dengan diri sendiri," katanya. "Nasib baiklah kebanyakan band mempunyai visi. Kadangkala, visi itu agak tersasar dan kita perlu bantu membimbing mereka ke jalan yang betul."

Two Gallants

Two Gallants

Dia mengakui bahawa disebabkan percambahan kamera digital, maka "semua orang ialah jurugambar." Namun, dia berasa masih berbaloi untuk membayar seorang pakar untuk menangkap gambar anda. "Anda boleh agak," katanya. "Bukan selalu, tetapi anda boleh teka jika mereka memilih jalan yang lebih murah." Terdapat ramai jurugambar profesional muda yang cuba membina portfolio dan akan sanggup bekerja dengan upah beberapa ratus dolar. Jadi, sama ada anda baru menandatangani urus niaga anda yang pertama atau memuat naik single pertama anda, berikut merupakan pendapat Vladimirskiy tentang perkara yang perlu diperhatikan semasa mengupah jurugambar—dan perangkap yang harus dielakkan. (Inilah yang patut anda buat.)

Luangkan Sedikit Masa untuk Mengenali Jurugambar Anda

Setiap artis adalah berbeza dan perkara ini sama buat pemuzik dan jurugambar. Oleh itu, Vladimirskiy mencadangkan agar anda meluangkan sedikit masa dan bercakap dengan jurugambar untuk memastikan anda serasi sebelum memulakan sesi penggambaran.

"Jangan pilih seseorang hanya kerana mereka terkenal. Cari seseorang yang anda memang suka dan akan serasi dengan anda," ujar Vladimirskiy. "Kemudian, jumpa orang itu dan sembang dengan mereka. Hanya kerana anda menyukai hasil kerja seseorang, tidak bermakna mereka ialah orang yang sesuai untuk bekerja dengan anda. Mereka mungkin mempunyai gaya yang membuatkan anda berasa tidak selesa, dan kemudian, gambar yang dihasilkan adalah tidak begitu bagus."

Anda mungkin sibuk, tetapi berbaloi untuk anda meluangkan beberapa minit dan bercakap tentang imej dan perkara yang ingin anda sampaikan, daripada terburu-buru dalam hal ini, yang kadangkala berlaku walaupun tidak diingini, ujar Vladimirskiy. "Saya memang tak suka apabila artis berkata, 'Awak ada lima minit.' Kita cuma dapat berkata, "Terima kasih." Anda bukan sahaja akan mendapat imej yang lebih baik jika anda dan jurugambar mempunyai hubungan yang baik, tetapi anda juga tidak tahu perkara yang mungkin berlaku.

"Mungkin jurugambar itu seseorang yang menangkap banyak gambar untuk majalah yang sangat hebat atau jenama yang sangat besar," katanya. "Pengurus anda pun mungkin tidak tahu. Secara tiba-tiba, anda akan mendapat panggilan telefon kerana jurugambar itu menangkap gambar untuk kempen Nike dan dia sukakan anda. Kita tak tahu."

Tegakkan Pendirian Anda

Vladimirskiy telah mendengar kisah menggerunkan, daripada band yang berasa tertekan untuk memakai pakaian fesyen atasan untuk penggambaran majalah hingga jurugambar mendesak idea kreatif mereka yang paling aneh terhadap klien mereka. Lazimnya, hal ini tidak dipersetujui, "tetapi terdapat 10% peluang yang mana band akan bersetuju dan berkata 'Okey, kami akan cuba.' Sudah tentulah, kemudiannya mereka akan berasa sangat menyesal." Ingat bahawa anda boleh sahaja menolak.

Selain itu, anda tidak perlu bertolak ansur dengan komen atau tindakan yang tidak sopan, yang membuatkan anda tidak selesa.

"Saya pernah lihat hal ini berlaku. Jurugambar akan berkata sesuatu dan band akan membalas, 'Wah, okey,'" ujarnya. "Ini biasanya berlaku apabila terdapat seorang penyanyi wanita dan jurugambar itu, sama ada lelaki atau wanita, akan mengatakan sesuatu yang sangat aneh. Kemudian, semuanya jadi teruk." Ingat, bahawa anda mengupah mereka dan anda tidak perlu bertahan dengan sikap yang buruk. "Anda sepatutnya sentiasa berasa selesa semasa di set. Anda tidak sepatutnya berasa seperti ada orang yang tidak mendengar dan ada orang melakukan sesuatu yang anda tidak mahu mereka lakukan."

Jadi Diri Sendiri. Bukan Orang Lain.

Anda mahu kelihatan terbaik untuk gambar anda. Akan tetapi, anda juga patut kelihatan seperti diri anda sendiri. Vladimirskiy berkata bahawa penggayaan dan berfikir tentang pilihan pakaian anda lebih awal lagi adalah berguna dan lebih baik untuk menangkap gambar versi diri anda yang terbaik, bukan versi artis yang lain. "Saya pernah melihat kejadian yang mana saya akan berkata, 'Wah, jangan begini. Jadilah diri sendiri."

Dia menegaskan bahawa dia suka jurugaya, tetapi berkenaan jurugambar pula, penting untuk memastikan anda menemui jurugambar yang sesuai. Jika anda secara asasnya membawa imej berjambang dan berkemeja, maka jangan cuba mengubah imej tersebut. "Bagus sebenarnya ada jurugaya ini. Tapi, anda juga memerlukan jurugaya yang memahami anda sebagai sebuah band," katanya. "Anda tidak boleh mengambil jurugaya yang cuba memakaikan anda dengan pakaian segak kerana pakaian itu popular. Ini akan gagal dan mendapat maklum balas yang teruk. Anda akan kelihatan seperti penguin."

Mekap? Terpulang Pada Anda

Sama seperti jurugaya, membayar lebih untuk artis mekap mungkin merupakan pilihan yang tepat. Namun, Vladimirskiy menegaskan bahawa artis tidak sepatutnya berasa didesak untuk mendapatkan rupa yang melampau atau rupa yang tidak kena dengan mereka.

"Semua ini bergantung," katanya. "Kadangkala hasilnya hebat, terutamanya bagi estetika keseluruhan. Ini terpulang pada tuan badan, jika mereka mahu. Secara peribadinya, saya tidak begitu menyukai, 'Awak perlu ada solekan yang sempurna, awak perlu ada semua ini kerana awak seorang pemuzik.' Estetika visual anda sepatutnya berkait dengan diri anda."

Seperti biasa, artis tidak sepatutnya berasa didesak untuk melakukan apa-apa yang membuatkan mereka tidak berasa seperti diri mereka sendiri.

"Anda perlu jujur dan telus tentang diri anda," katanya. "Ini seringkali dipaksa pada wanita. Saya tidak rasa tindakan ini adil, tentang keperluan kulit yang sempurna atau solekan yang sempurna. Ini bukan kehidupan seorang penyanyi. Jika ada orang yang selesa disolek dan mereka menyukainya, maka mereka patut berbuat begitu. Jika tidak, maka jangan paksa."

Jangan Takut Untuk Mendekati Jurugambar Terkenal

Band yang baru mengeluarkan album pertama atau bernaung di bawah syarikat rakaman kecil mungkin tidak mempunyai sumber untuk mengupah jurugambar seperti David LaChapelle atau Anton Corbijin. Akan tetapi, tiada salahnya mereka bertanya. Jurugambar muzik ialah peminat setia muzik dan anda mungkin bernasib baik, cuma jangan menaruh harapan terlalu tinggi. Kalau anda cukup baguslah.

Vladimirskiy berkata "terdapat ramai jurugambar yang sangat terkenal dan akan menangkap gambar band kecil," dengan memberikan contoh seperti Danny Clinch, kenalan rapat Pearl Jam yang telah menangkap gambar Johnny Cash dan 2Pac. "Dia boleh terus masuk ke bilik persalinan Springsteen. Atau naik ke atas pentas semasa mana-mana band sedang membuat persembahan," katanya. "Saya pernah melihat dia menangkap gambar band yang membuatkan saya terfikir, 'Tak mungkinlah mereka mampu mengupah Clinch.' Dia buat kerana dia suka. Ini mungkin kedengaran agak basi, tetapi saya rasa dia melakukannya kerana dia berasa, 'Mereka ini patut dapat peluang. Saya pun sudah cukup stabil.'"

Perlu Ada Konsep

Vladimirskiy berkata bahawa dia ada perkara yang dia suka dan perkara yang akan menjengkelkannya. Dia berasa sangat jengkel setiap kali ada anggota badan yang terpotong dengan bingkai gambar. Namun, dia mengakui bahawa tiada peraturan sebenar yang menjadikan sesuatu foto itu bagus. Apa-apa pun boleh digunakan, selagi jurugambar dan artis mempunyai visi yang jelas dan masuk akal.

"Saya tidak begitu menggemari selipar. Jika mereka memakai selipar dan bersiar-siar di tepi jalan Manhattan, saya rasa patut ada orang yang tegur, 'Dengar sini, saya tahu ini gaya awak, tapi selipar itu kelihatan agak menyedihkan.' Tetapi, memakai selipar dalam lumpur agak hebat. Ini bergantung pada suasana. Sebenarnya ini berkaitan dengan imej."

Jangan Buat Apa-apa daripada Senarai Ini

Walaupun semuanya boleh dilakukan secara teori, tetapi terdapat beberapa perkara yang Vladimirskiy harap tidak dibuat oleh orang baharu.

1) Jangan Ambil Gambar Anda Berlatarbelakangkan Tembok Bata

"Sudah berapa juta kali kita lihat gambar sebegitu?"

2) Jangan Syok Sendiri

"Perkara ini berlaku kepada lelaki dan wanita," katanya. "Saya beritahu mereka, 'Buat relaks saja tak bolehkah?'"

3) Konsep Itu Bagus, Tetapi Jangan Sehingga Tidak Masuk Akal

"Saya pernah melihat kulit album zaman 80-an dan 90-an dan saya terfikir, 'Tiada sesiapa yang menegurkah? Ini memang teruk...' Ada orang memakai pakaian lanun."

4) Jangan Lupa Tentang Enjin Carian

"Selidik dahulu. Jangan pilih sahaja orang yang terkenal. Anda patut selidik dahulu, sebab mana tahu kalau dia ada rahsia yang memalukan? Kita tak mahu begitu. Zaman sekarang, ini ialah nasihat yang sangat jujur."

—Michael Tedder

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular