Daripada Pembayaran $11 Bilion pada Tahun 2025 kepada Perkara yang Sedang Kami Bina untuk Artis pada Tahun 2026

Saya Charlie, ketua pasukan muzik Spotify. Menjelang tahun 2026, saya ingin bermula dengan pencapaian tahun 2025.
Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa pada tahun lepas sahaja, Spotify telah membayar lebih daripada $11 bilion kepada industri muzik, iaitu bayaran tahunan terbesar kepada muzik daripada mana-mana peruncit setakat ini. Sekali lagi, artis dan label bebas menerima separuh daripada semua royalti.
Angka besar untuk keseluruhan industri mungkin abstrak, tetapi pertumbuhan tersebut muncul dengan cara yang nyata. Sebagai contoh, kini terdapat lebih ramai artis yang menjana lebih daripada $100k/tahun daripada Spotify sahaja daripada bilangan artis yang dijual di kedai rakaman pada kemuncak era CD. Inilah anjakan sebenar dan kemajuan luar biasa yang ditunjukkan oleh statistik ini. Walaupun terdapat maklumat salah yang meluas tentang cara penstriman berfungsi pada hari ini, realitinya adalah bahawa kita hidup dalam era yang penuh dengan lebih banyak kisah kejayaan dan potensi berbanding dengan mana-mana peringkat dalam sejarah.
Hari ini, Spotify menyumbang kira-kira 30% daripada hasil rakaman muzik. Pada tahun lepas, pembayaran kami meningkat lebih daripada 10%, sementara pertumbuhan sumber pendapatan industri lain berada di sekitar 4%, menjadikan Spotify pemacu utama pertumbuhan hasil industri pada tahun 2025.
Apa-apa pun, pertumbuhan itu didorong oleh peminat. Lebih daripada 750 juta orang di seluruh dunia kini membayar setiap bulan untuk menikmati penstriman muzik, merentasi semua perkhidmatan penstriman. Apabila audiens ini berkembang, kami juga telah menaikkan harga. Atas sebab Spotify membayar dua pertiga daripada semua hasil muzik kepada industri – hampir 70% daripada pendapatan kami – apabila hasil Spotify berkembang, pembayaran muzik turut berkembang.
Bagaimanakah dengan satu pertiga yang selebihnya — wang yang disimpan oleh Spotify? Jumlah ini menjadi modal kami untuk melabur semula terus dalam platform dengan cara yang mendorong lebih ramai untuk orang membayar bagi penstriman muzik dan terus mengembangkan hasil untuk muzik. Dengan berusaha sedaya-upaya untuk berinovasi bagi pihak industri muzik, kami telah dapat menyampaikan pengalaman mendengar yang tiada tandingan, dengan itu menghubungkan artis dengan pendengar yang berkemungkinan besar meminati muzik artis.
Salah satu sebab kami meraikan calon Artis Baharu Terbaik setiap tahun adalah kerana mereka mewakili sesuatu yang berkuasa: artis yang telah berjaya menemui audiens mereka. Akan tetapi, perjalanan untuk menuju ke detik itu agak sukar. Dengan lebih daripada 100,000 lagu baharu dikeluarkan setiap hari, serta persaingan dengan seluruh sejarah rakaman muzik, artis baharu menghadapi cabaran yang amat besar semasa membina kumpulan peminat awal yang menjadi keperluan kerjaya yang berjaya. Kami sedang berusaha merentasi pelbagai bidang untuk meluaskan peluang yang tersedia dan memastikan lebih ramai artis mempunyai laluan sebenar untuk mencapai kejayaan.
Itulah sebabnya pada tahun ini, keutamaan kami adalah untuk membantu lebih banyak muzik dan artis baharu menonjolkan diri dan menjalin hubungan sebenar dengan peminat.
Berikut ialah perkara yang sedang kami bina:
Penceritaan & Video Artis
Memandangkan AI menghasilkan segala jenis kandungan secara besar-besaran, hubungan sesama manusia menjadi lebih bernilai dan bukan sebaliknya. Usaha membantu peminat memahami artis secara lebih baik serta inspirasi artis mewujudkan hubungan sebenar yang menukar pendengar kasual menjadi peminat jangka panjang. Untuk menyokong hal tersebut, kami akan memperkenalkan lebih banyak konteks dalam pengalaman mendengar, sama ada maklumat tentang artis, cerita di sebalik lagu atau detik yang menunjukkan cara muzik dihasilkan. Sebagai contoh, dengan pelancaran SongDNA yang akan datang, peminat boleh meneroka kerjasama di sebalik lagu—seperti karya popular Addison Rae bersama Luka Kloser dan Elvira Anderfjärd—serta mengikuti hubungan tersebut untuk menyelami muzik. Tidak lama kemudian, anda akan menemukan katalog baharu, seperti karya Kloser bersama Ed Sheeran atau karya Anderfjärd bersama Alec Benjamin.
Video juga memainkan peranan yang besar dalam penceritaan dan kami hanya memulakan usaha awal. Terutama sekali sekarang, ketulenan lebih penting berbanding dengan nilai penerbitan. Persembahan langsung, versi minimalis, raptai atau detik studio — semua perkara itu menjadikan hubungan yang wujud itu nyata. Bagi KATSEYE, Clip di sebalik tabir awal pada Halaman Kira Detik mereka meningkatkan keterujaan dengan melibatkan peminat dalam perjalanan yang membawa kepada keluaran BEAUTIFUL CHAOS.
Identiti & Kepercayaan Artis
Penceritaan membantu peminat memahami pihak di sebalik muzik dan memastikan kreativiti tulen ditonjolkan daripada karya sembarangan. Namun itu sahaja tidak memadai. Perlindungan identiti artis ialah keutamaan dan kami sedang membina penyelesaian baharu untuk mencegah penyamaran, penipuan dan salah padanan kandungan.
AI sedang dieksploitasi oleh pelaku jahat untuk membanjiri perkhidmatan penstriman dengan slop berkualiti rendah dengan tujuan mengeksploitasi sistem dan cuba mengalihkan royalti daripada artis tulen. Oleh itu, kami akan memperkenalkan perubahan pada sistem untuk pengesahan artis, kredit lagu dan perlindungan identiti artis. Penting bahawa kami memastikan pendengar dan pemegang hak boleh mempercayai pihak yang menghasilkan muzik yang mereka dengar.
Editorial Manusia
Apabila artis mula berhubung dengan peminat di Spotify, usaha mengekalkan perhatian peminat menjadi cabaran seterusnya. Alat yang sudah pun digunakan oleh artis dalam Spotify for Artists dibina khas untuk tujuan tersebut dan pada tahun 2026, kami akan meningkatkan alat tersebut dengan cara yang membantu keluaran baharu terutamanya.
Setiap artis baharu ingin menonjolkan diri. Penambahan pada playlist editorial yang dipilih khas boleh menandakan titik perubahan bagi seorang artis, meningkatkan pendedahan dan penstriman kepada tahap baharu. Bagi Leon Thomas, pengusulan lagu melalui Spotify for Artists membawa kepada peletakan editorial pada RADAR dan RNB X, lalu memperkenalkan muziknya kepada pendengar di lebih daripada 180 negara.
Playlist ini bukan pendorong angka semata-mata, malah menggambarkan pendapat pakar manusia. Dalam dunia dengan pendengaran diperibadikan melalui algoritma, penyusunan editorial memberi artis dan peminat titik rujukan budaya sejagat.
Pada tahun 2026, anda akan melihat kami membuat program baharu yang membolehkan editorial membuka kunci sokongan yang lebih berterusan untuk artis baharu yang dapat menukar pengiktirafan awal menjadi momentum berterusan. Kami juga akan menonjolkan lagi suara manusia di sebalik penyusunan tersebut dalam pengalaman mendengar. Kami telah pun mula bereksperimen dengan perkara ini dengan menampilkan editor muzik kami melalui video dan penceritaan, tempat mereka dapat mereka berkongsi sebab sesebuah lagu itu menarik dan tarikan seseorang artis. Bagi artis, ini bermakna lebih banyak peluang untuk muzik dan cerita mereka disampaikan kepada pendengar.
Persembahan Langsung
Kami percaya bahawa apabila peminat menyelami dunia artis di Spotify, hubungan tersebut tidak sepatutnya terhad kepada dalam talian sahaja. Tindakan menyokong artis secara bersemuka sentiasa salah satu bentuk sokongan peminat yang paling berkuasa serta salah satu aliran pendapatan yang paling penting bagi artis.
Spotify membantu dalam memastikan bilik bukan sahaja dipenuhi, tetapi dipenuhi dengan peminat sejati. Dengan memahami cara pendengar berhubung dengan muzik anda, kami membantu artis menjangkau peminat yang paling terlibat dan berkemungkinan besar membeli tiket.
Setakat ini, Spotify telah membantu artis menjana lebih daripada $1 bilion dalam jualan tiket dengan menghubungkan peminat dengan persembahan langsung melalui rakan niaga tiket kami. Pada tahun 2026, kami akan memperkukuh kelebihan ini dengan ciri baharu yang akan membantu lebih ramai artis menukar aktiviti mendengar menjadi sokongan yang nyata daripada peminat mereka.
Anda telah membina komuniti, mengambil risiko dan terus berusaha walaupun ketika masa hadapan berasa tidak menentu. Menjadi tugas kami untuk memastikan bahawa Spotify turut berusaha seperti anda dan terus berkembang dengan cara yang dapat menyokong artis yang serius dalam membina kerjaya secara lebih baik. Persaingan yang amat sengit serta peluang yang amat luas mentakrifkan landskap industri muzik pada hari ini. Tumpuan kami adalah untuk memastikan bahawa pertumbuhan mewujudkan laluan yang jelas dan boleh dipercayai untuk artis menjangkau peminat serta mengekalkan kerjaya.
Inilah standard yang menjadi azam kami pada tahun 2026.
Banyak usaha yang perlu dilakukan dan saya teruja dengan perkara yang boleh kita bina bersama pada tahun ini.
-Charlie
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.
