Pengurus Artis Charlene Bryant Membongkar Lapisan Peminat Tegar
Pengurus veteran di sebalik kejayaan nombor satu Trippie Redd membincangkan semua peringkat peminat yang berbeza dan sebab mereka semua penting.
Seperti yang diketahui oleh artis baharu, peminat memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka. Mereka menunjukkan sokongan dengan menstrim dan membeli muzik, membeli barang dagangan dan mengesyorkan artis itu kepada rakan sebaya mereka. Walau bagaimanapun, bagi pemuzik yang baru bermula, membina pangkalan peminat mungkin menakutkan. Bagaimanakah artis boleh kekal tulen dengan karya mereka semasa memupuk pengikut setia? Bagaimanakah mereka boleh menarik minat peminat daripada pelbagai peringkat terhadap perkara yang mereka lakukan?
Charlene Bryant yang memperjuangkan artis di Sony, Warner dan Universal sebelum melancarkan syarikatnya sendiri, Riveter Management - pernah membantu bintang rap Trippie Redd mencapai kedudukan pertama dalam carta dengan A Love Letter To You 4 pada tahun 2019. Dalam perbualan untuk podcast Co.Lab Sessions kami baru-baru ini, beliau membincangkan cara mengupas lapisan peminat tegar dalam proses mencipta pangkalan peminat yang setia.
Dengar episod tersebut di sini dan baca kandungan di bawah untuk mengetahui lebih banyak tentang nasihatnya.
Membawa Karya ke Tahap Seterusnya
Memahami cara pelbagai jenis peminat menunjukkan minat mereka akan membantu anda memahami cara berinteraksi dengan mereka, kata Bryant. "Peminat biasa ialah seseorang yang menambahkan lagu pada playlist. Peminat setia mungkin peminat yang pergi ke pertunjukan, membeli tiket konsert atau membeli barang dagangan. Bagi seseorang peminat tegar pula… orang itu akan melibatkan diri dalam semua perkara yang anda lakukan."
Sebaik sahaja anda menyedari perkara ini, anda dapat menarik minat mereka secara langsung, jelas Bryant. "Cara anda memanfaatkan perkara itu adalah berdasarkan tahap penglibatan dan membawa mereka sepanjang perjalanan cerita anda. Sebenarnya, kebanyakan orang hanya mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu. Salah satu perkara penting dalam wabak ini ialah kita perlu memperlahankan diri dan benar-benar mengenali diri kita, mendengar diri kita sendiri dan cuba memikirkan perkara yang membawa kegembiraan kepada kita."
Jadikan Sosial Istimewa
Bryant percaya bahawa detik-detik yang tidak ditapis adalah penting untuk menarik minat peminat kerana perkara ini mencipta detik yang sensitif dan detik peribadi yang menimbulkan perasaan mesra. "Pada mulanya, semasa kami perlu mengembangkan Instagram [Redd], perkara ini sangat sukar, tahu? Dia tidak mahu menyiarkan sesuatu yang tidak kelihatan seperti diri dia sendiri. Jadi dia berkata 'Saya hanya akan buat IG live dan merokok.' Apabila dia berbuat demikian, saya nampak bilangan peminatnya meningkat daripada beberapa ratus orang kepada beberapa ribu, kepada puluhan ribu."
"Hal ini mengingatkan saya ketika saya menghubungi keluarga saya pada hari Ahad dan sepupu saya akan meletakkan telefon pada pembesar suara dan saya dapat mendengar keluarga saya bercakap dan melakukan kerja mereka di latar belakang. Saya berasa seperti saya berada di rumah. Saya rasa itulah yang akhirnya berlaku… Begitulah cara dia mengembangkan Instagram dia."
Kerja Keras Pasti Berbaloi
Bryant berkongsi kisah ketabahan Trippie Redd pada permulaan kerjayanya akhirnya membantunya mencapai kejayaan. Artis lain boleh belajar daripada tekadnya, kata Bryant. “Salah satu perkara yang Trippie lakukan dengan sangat baik pada awal kerjayanya… dia berjabat tangan, mencium bayi, mengenali orang ramai. Awak perlu keluar, awak perlu berjumpa dengan orang. Perkara ini penting kerana sering kali orang daripada label [hadir] ke pertunjukan. Mereka ada di luar sana."
Semua artis perlu menentukan jenis kerjaya yang diinginkan. "Anda boleh menjadi terkenal sekali sahaja, anda juga boleh mendapatkan cek itu," katanya. "Tetapi jika anda mahukan kerjaya yang lama dan panjang, anda perlu bekerja keras."
Dengar episod penuh Co.Lab Sessions Charlene Bryant kemudian dengar episod podcast Co.Lab Sessions lain tentang membina pasukan anda, membina budaya berkenaan muzik anda, melindungi kerjaya anda dan banyak lagi.
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.