Produk
Segala Cara untuk Berkongsi Lagu Anda di Media Sosial Daripada Spotify
Cara untuk peminat dan pengikut anda mendalami muzik anda daripada Instagram, Snapchat, Facebook dan banyak lagi.
Misi kami adalah untuk membantu artis berhubung dengan peminat mereka dan kami sedar bahawa media sosial memainkan peranan yang besar dalam memupuk hubungan tersebut. Atas sebab itulah kami menumpukan pada usaha membina alatan seperti Kad Promosi yang membantu dalam menjadikan hubungan antara Spotify dengan media sosial lancar dan cekap, termasuk penyepaduan dengan Instagram, Facebook dan Snapchat, bersama dengan beberapa ciri lain yang bagus, yang telah kami sediakan kepada komuniti Spotify for Artists kami. Anda boleh melancarkan lagu baharu, meraikan ulang tahun album atau berkongsi playlist yang dipilih susun secara peribadi dengan hanya beberapa klik dan melihat jumlah pendengaran anda meningkat.
Sudah tentulah, sebagai permulaan, anda boleh berkongsi muzik anda pada platform seperti SMS, Messenger, Twitter, WhatsApp atau e-mel melalui pautan. Pergi sahaja ke profil, lagu playlist atau album anda; klik pada "tiga titik" (...) dan ketik Kongsi dan Salin Pautan.
Selain pautan, kami telah meluaskan pilihan perkongsian kami untuk menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan menarik dari segi visual dengan Instagram Stories, Facebook Stories, Snapchat dan banyak lagi. Berikut merupakan tujuh cara berkesan untuk berkongsi muzik anda di Spotify dengan serta-merta.
Instagram Stories
Tangkapan skrin sudah tidak digunakan lagi. Penyepaduan khas Spotify dengan Instagram Stories membolehkan anda berkongsi kandungan ke IG Stories anda dengan pautan boleh klik yang menghalakan pengikut anda terus ke Spotify. Untuk berbuat demikian, pergi ke mana-mana lagu, album, playlist atau profil artis dalam aplikasi Spotify; buka menu Kongsi (dengan mengetik butang "...") dan klik Instagram Stories. Ini akan menghasilkan Story baharu yang menampilkan karya seni kandungan anda sebagai "pelekat". Di sini, anda boleh hiasi dengan coretan, kapsyen atau mana-mana penambahan yang menarik perhatian. Kemudian, siarkan cerita anda. Sebaik sahaja cerita disiarkan, penonton akan melihat pilihan "Mainkan di Spotify" pada penjuru atas sebelah kiri skrin mereka. Dengan pautan ini, peminat dan pengikut lebih cenderung untuk berinteraksi dengan anda di IG dan Spotify, selain mendapat akses segera kepada muzik anda.
Facebook Stories
Spotify mempunyai penyepaduan yang serupa dengan Facebook Stories, tetapi dengan bonus audio tambahan apabila anda berkongsi lagu. Pergi ke lagu yang ingin dikongsi di Spotify, ketik Kongsi, pilih Facebook Stories, sesuaikan Story anda dan terbitkan ke suapan berita anda. Sesiapa yang menonton Story anda akan mendengar pratonton lagu yang anda kongsi selama 15 saat. Mereka boleh menekan "Mainkan di Spotify" untuk mendengar lagu penuh. Jika mereka suka lagu yang didengar, berkemungkinan besar mereka akan menyelami profil anda dengan lebih mendalam untuk meneroka lebih banyak muzik anda. Buat masa sekarang, pratonton hanya dimainkan pada lagu, tetapi anda masih boleh berkongsi album, playlist dan profil pada Facebook Stories dengan pautan langsung ke Spotify. ( Harap maklum: Buat masa ini, penyepaduan ini hanya berfungsi pada profil dan bukan halaman Facebook.
Snapchat
Berkongsi muzik pada Snapchat adalah sama cepat dan mudah. Daripada menu Kongsi pada mana-mana lagu, album atau playlist, klik pada pilihan Snapchat. Snap baharu akan muncul secara automatik dengan seni album dipaparkan sepenuhnya. Edit Snap mengikut cita rasa anda, kemudian hantar Snap anda. Semasa menonton, rakan dan pengikut anda boleh meleret ke atas untuk membuka Spotify dan mula memainkan muzik yang anda kongsi.
Kod Spotify Boleh Imbas
Kod Spotify menawarkan pengalaman perkongsian yang berfungsi sepantas anda mengambil foto. Sama seperti kod QR, Kod Spotify boleh diimbas secara digital dan dalam kehidupan sebenar. Anda boleh mengambil Kod Spotify (yang kelihatan seperti gelombang suara di bawah karya seni kandungan) daripada mana-mana profil, lagu, album atau playlist pada aplikasi. Klik butang "tiga titik", kemudian ketik pada seni album yang menampilkan kod tersebut dan tekan "Simpan ke Foto." Kemudian, anda boleh berkongsi foto itu dalam talian atau lakukan perkara kreatif dengan foto tersebut: Pertimbangkan untuk mencetak risalah, poster, pelekat dan mungkin kemeja-T yang menampilkan kod bagi album baharu anda, sebagai contoh. Untuk mengimbas Kod Spotify itu, peminat cuma perlu buka aplikasi Spotify, pergi ke Carian, ketik ikon kamera dan halakan kamera pada kod tersebut, yang kemudiannya akan membawa mereka secara terus ke kandungan anda.
Kad Promosi
Promosikan profil artis, lagu atau album anda, atau apabila anda ditampilkan dalam beberapa playlist kami yang paling popular di media sosial dengan Kad Promosi yang boleh dikongsi. Anda boleh membuat aset grafik boleh suai ini dengan mudah di laman ini. Laman ini tersedia dalam bahasa Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea, Portugis Brazil, Turki, Rusia dan Sepanyol dan tidak memerlukan log masuk. Sebaik sahaja anda membuat dan menyesuaikan Kad Promosi anda, anda boleh memuat turun aset dalam tiga saiz untuk dimuat naik kepada mana-mana platform media sosial atau menggunakan pautan pendek yang dijana, yang menampilkan kad tersuai dan mengubah hala kepada album, lagu atau profil anda.
Kongsi Canvas anda ke Instagram Stories
Canvas membolehkan artis menambah ulang tayang visual selama tiga hingga lapan saat pada sebarang lagu, lantas memberikan dimensi baharu pada muzik anda. Ini merupakan cara yang bagus untuk menarik perhatian tambahan kepada keluaran baharu atau mencetuskan minat terhadap lagu lama. Setakat ini, artis yang menggunakan Canvas telah menyaksikan kenaikan sebanyak 200% pada perkongsian lagu dan secara umumnya, interaksi yang semakin meningkat pada strim dan tontonan Spotify. Untuk menyertakan karya seni ulang tayang anda yang baharu di IG Stories, pergi ke aplikasi Spotify dan klik "Kongsi" pada lagu yang menampilkan Canvas anda. Sebaik sahaja disiarkan, anda akan mempunyai ulang tayang pada latar belakang Story anda dan bukannya imej yang tidak bergerak. Seperti mana-mana kiriman yang berasal daripada Spotify di IG Stories, akan ada pautan "Mainkan di Spotify" yang boleh diklik, yang dipaparkan pada penjuru kiri sebelah atas skrin. Dengan itu, pendengar juga akan dapat berkongsi kiriman anda!
Dapatkan pautan unik untuk playlist editorial yang diperibadikan
Playlist editorial yang diperibadikan Spotify memberikan lebih banyak pendedahan kepada artis dan lebih banyak perkara yang dikehendaki oleh pendengar. Playlist ini menampilkan lagu yang dipilih oleh editor kami, tetapi susunan playlist ini disesuaikan mengikut cita rasa individu. Ini bermakna, setiap orang akan melihat versi yang berbeza bagi playlist yang sama. Oleh itu, pautan unik kepada playlist ini boleh anda manfaatkan kerana pautan ini meletakkan lagu anda yang ditampilkan pada kedudukan No. 1 bagi semua orang yang mengklik pautan tersebut. Untuk mencari pautan unik anda, pergi ke aplikasi Spotify for Artists, klik pada tab muzik, pergi ke mana-mana halaman lagu dan kemudian, ketik tab Playlist. Halaman ini akan menunjukkan kepada anda sebarang playlist yang mempunyai lagu tersebut dalam tempoh tujuh hari yang lalu di bawah "Penambahan terkini playlist." Bagi mana-mana playlist diperibadikan yang mengandungi lagu anda, anda mempunyai pilihan untuk "Salin pautan unik". Kemudian, anda boleh berkongsi pautan ini pada mana-mana platform media sosial dan sesiapa yang mengklik pautan tersebut akan melihat lagu anda pada bahagian atas playlist selama 24 jam.
-Spotify for Artists
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.