Produk

Pilihan Pengumpulan Dana Artis Berkembang dengan Sokongan Lebih Baik bagi Amerika Latin, Turki dan New Zealand

August 4, 2020

Kini, ciri baharu memberikan tiga pilihan baharu kepada artis untuk mempromosikan usaha pengumpulan dana mereka di Spotify: Givealittle, Mercado Pago dan PayU.

Tatkala pandemik COVID-19 terus menjejaskan artis di seluruh dunia dengan ketara, Spotify dengan bangganya berusaha untuk menyokong komuniti muzik global. Selama beberapa bulan yang lalu, kami bekerjasama dengan MusiCares, mencipta dana sepadan dengan $10 Juta USD melalui projek Bantuan Muzik COVID-19 Spotify dan bekerjasama dengan pelbagai organisasi yang membantu pemuzik agar dapat menyara diri dalam masa yang sukar ini. Kecekalan karyawan dalam menghadapi masa yang sukar ini merupakan sesuatu yang sangat memberikan inspirasi, apatah lagi apabila melihat sokongan berterusan daripada peminat dengan menstrim lagu mereka, berkongsi album mereka dan menyumbang jika mereka mampu.

Untuk membantu usaha ini, baru-baru ini kami melancarkan Pilihan Pengumpulan Dana Artis, ciri yang membolehkan artis memilih tempat pengumpulan dana untuk mengumpul wang bagi diri sendiri, band dan kru mereka atau organisasi bantuan muzik. Ciri ini berfungsi serupa dengan Pilihan Artis pada halaman profil anda dan memudahkan peminat anda untuk menyumbangkan wang secara terus kepada anda atau badan amal pilihan anda yang menyokong pemuzik profesional, pekerja kesihatan atau perniagaan kecil yang terjejas disebabkan oleh COVID-19.

Untuk pelancaran ini, kami bekerjasama dengan Cash App, GoFundMe, PayPal.me dan rakan kongsi Bantuan Muzik COVID-19 kami. Kini, kami teruja untuk membawa masuk lebih banyak platform pengumpulan dana, lantas membolehkan pendengar Spotify untuk menyokong artis dengan lebih baik di negara Amerika Latin dan juga di Turki serta New Zealand.

Di Amerika Latin, kami bekerjasama dengan Mercado Pago dan PayU untuk menawarkan lebih banyak pilihan untuk pemuzik di Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Mexico, Peru dan Uruguay. Artis di Turki juga boleh menggunakan iyzico (sebuah syarikat Pay U), sementara artis di New Zealand dapat memautkan ke organisasi pendanaan awam Givealittle. Spotify tidak mengenakan caj pada urus niaga daripada semua pembayaran yang berlaku di laman pihak ketiga. Lihat Amalan Terbaik Pilihan Pengumpulan Dana Artis kami di sini.

Pembekal Pembiayaan Antarabangsa Pilihan Pengumpulan Dana Artis

Pembekal Pembiayaan Antarabangsa Pilihan Pengumpulan Dana Artis

Sejak pelancaran Pilihan Pengumpulan Dana Artis pada lewat bulan April lalu, kami melihat sambutan yang luar biasa daripada artis dan peminat. Artis telah menambah lebih daripada 91,000 Pilihan, yang mengumpulkan hampir 7 juta klik dan banyak lagi daripada peminat. Selain menampilkan Pilihan pada profil artis, kami menghantar berjuta-juta e-mel dengan cadangan artis yang diperibadikan, yang mungkin akan disokong oleh peminat (berdasarkan sejarah pendengaran mereka).

Untuk menghantar Pilihan anda sendiri, log masuk ke akaun Spotify for Artists anda, layari tab Profil dan pilih "Dapatkan sokongan secara terus daripada peminat" di bawah Pilihan Pengumpulan Dana Artis. Jika anda sudah menambah Pilihan Pengumpulan Dana, anda boleh mengklik pada ikon pensel untuk diedit atau dikeluarkan. (Fungsi ini belum tersedia lagi pada aplikasi mudah alih kami.)

Artis dialu-alukan untuk mengumpul dana buat diri mereka, kru mereka atau mana-mana rakan badan amal yang sesuai dengan dasar keselamatan kami. Jika anda ingin menggunakan halaman artis anda untuk menghalakan peminat kepada organisasi yang memberikan bantuan secara terus kepada artis dan profesional industri muzik di seluruh dunia, anda boleh memilih daripada senarai rakan kongsi disahkan oleh kami ini.

Kami teruja kerana dapat memberikan lebih banyak pilihan untuk pemuzik di Amerika Latin, Turki dan New Zealand untuk Pilihan Pengumpulan Dana Artis. Kami berusaha tanpa henti untuk menambah baik ciri ini dan meluaskan capaiannya di seluruh dunia dengan bantuan daripada maklum balas anda. Matlamat Spotify adalah untuk terus mengukuhkan hubungan antara artis dan peminat mereka. Kami berusaha sedaya-upaya agar kami boleh memastikan komuniti muzik global kekal kukuh dan berdaya tahan.

-Spotify for Artists

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular