Produk

Adakah Anda Memerlukan Podcast Anda Sendiri?

May 16, 2019

Platform Anchor memudahkan lagi proses untuk berinteraksi dengan peminat mengikut kesesuaian dan jadual anda, tidak kira di mana-mana jua anda berada.

Jadi, anda sudah meluangkan banyak masa menghasilkan muzik dan anda bekerja keras agar muzik anda didendangkan kepada peminat melalui Spotify. Akan tetapi, pernahkah anda mempertimbangkan untuk bercakap secara langsung dengan mereka? Memperkenalkan Anchor. Pada bulan Februari, kami akan mengalu-alukan syarikat podcast secara rasmi ke dalam keluarga Spotify agar kami dapat menyediakan lebih banyak podcast kegemaran untuk didengari oleh audiens dan peminat serta memberi artis cara baharu untuk berinteraksi dengan peminat mereka.

Jelas sekali bahawa podcast kini semakin popular. Menurut Forbes, penyiaran podcast telah berkembang sebanyak 300% sejak tahun 2006 dan seramai 73 juta pengguna di Amerika mendengar podcast setiap bulan. Kami rasa anda juga pasti telah mengalami ledakan podcast ini, sama ada anda menggemari sesuatu siri, telah mendengar satu atau dua episod atau anda sering terdengar orang di sekeliling anda bercakap tentang rancangan kegemaran baharu mereka. Tidak dapat disangkal lagi bahawa penyiaran podcast semakin berkembang pesat dan jika anda ada kisah untuk diceritakan, pasti ada orang di luar sana yang ingin mendengar. Bagi sesiapa yang sudah bersedia untuk bereksperimen, berseronok dan mencuba cara baharu untuk berhubung dengan peminat, inilah sebabnya anda perlu mula menggunakan Anchor pada masa ini.

Bina jenama anda

Podcast merupakan cara yang bagus untuk mengukuhkan personaliti anda sebagai artis dan meluaskan lingkungan audiens yang ingin dijangkau. Perkara pertama yang perlu dipertimbangkan apabila memikirkan tentang melancarkan podcast ialah jenama anda. Apakah perkara yang membezakan anda daripada orang lain? Apakah perkara yang unik tentang diri anda yang boleh dikongsi dengan orang lain? Apakah perkara yang anda minati, yang ingin anda beri pendapat atau yang sangat anda ketahui? Inilah topik dan perbualan yang paling berkaitan untuk peminat sedia ada anda dan juga pendengar baharu, yang mungkin lebih cenderung untuk mendengar muzik anda selepas mendengar bual bicara anda dalam podcast.

Pelakon, penyanyi, pencipta lagu dan penerbit Mack Wilds, bersama-sama dengan rakannya Mouse Jones dan Flyry, menerbitkan podcast Guys Next Door. Ini contoh yang baik bagi artis yang menggunakan personalitinya dan minat yang lebih meluas (dalam hal ini, cinta dan hubungan) untuk berhubung dengan komuniti selain yang mengenalinya disebabkan oleh lakonan dan nyanyian.

Berhubung dengan audiens anda di mana-mana sahaja mereka berada

Podcast adalah popular atas sebab yang sangat serupa dengan sebab muzik adalah popular. Anda boleh mendengar podcast di mana-mana jua, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, mengemas di rumah dan semasa bersiar-siar dengan anjing. Pengalaman mendengar yang santai dan mudah alih menarik perhatian audiens dan sebaik sahaja anda sudah menarik perhatian pendengar, kunci kejayaan adalah memastikan mereka akan kembali mendengar lagi. Salah satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan merakam dengan kerap sehinggakan selera pendengar anda terus dapat dipenuhi dan perhatian mereka tidak beralih. Inilah strategi sama yang mempengaruhi jadual keluaran muzik anda, tetapi podcast membolehkan anda untuk berhubung secara lebih langsung dengan pendengar melalui cara yang tidak dapat dilakukan dengan muzik. Misalnya, anda mungkin mempertimbangkan untuk mengumpul pesanan suara daripada pendengar, yang boleh menghantar pesanan tersebut secara terus dalam aplikasi Anchor atau dari mana-mana jua melalui alat Pesanan Suara untuk Web kami serta menambah pesanan suara tersebut dalam episod.

Cara penyiaran podcast boleh dimanfaatkan mengikut kesesuaian anda

Penyiaran podcast tidak semestinya rumit dan anda tidak perlu menjadi seorang pakar untuk menyiarkan podcast. Dengan aplikasi Anchor, anda hanya memerlukan format untuk bercerita dan mikrofon (kebanyakan telefon pintar dilengkapi dengan mikrofon yang sesuai untuk membuat podcast). Setelah anda menentukan jenama anda dan mempunyai gambaran yang lebih baik tentang konsep podcast tersebut, maka anda hanya perlu mempertimbangkan format yang ingin digunakan. Adakah podcast tersebut akan dihoskan bersama orang lain? Adakah anda akan membuat temu bual? Bagi pemuzik, podcast adalah semudah memberikan butiran tambahan kepada peminat tentang perkara yang berlaku di sebalik tabir sepanjang konsert jelajah atau sesi rakaman. Misalnya, anda boleh menemu bual artis yang membuat persembahan pembukaan untuk anda atau pembantu konsert yang mungkin mempunyai perspektif yang menarik tentang usaha yang dilakukan untuk menjayakan persembahan. Penerbitan podcast adalah istimewa kerana tidak memerlukan banyak peralatan khas; anda boleh membawa mikrofon bersama ke mana-mana saja anda pergi dan mencuri masa untuk membuat rakaman di sebalik kesibukan yang dialami.

Sebagai alat, Anchor mempunyai beberapa ciri hebat yang membolehkan anda menjejaki prestasi podcast anda, berkongsi episod pada media sosial dan juga menjana pendapatan tambahan melalui platform pengiklanan, Penajaan Anchor. Untuk mendapatkan petua selanjutnya tentang cara untuk bermula dan memanfaatkan perjalanan penyiaran podcast anda dengan sebaiknya, pastikan anda menyemak blog Anchor.

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular