Spotify Bergabung Dengan Shopify: Tukar Profil Artis Anda Menjadi Meja Barang Dagangan Maya

Urus dan jual barang dagangan anda dengan mudah kepada peminat melalui profil artis anda.

Dengan 365 juta pendengar di seluruh dunia, Spotify merupakan perkhidmatan langganan penstriman audio yang paling popular di dunia. Ini menjadikan Spotify tempat terunggul untuk artis membina kumpulan peminat mereka. Namun, peminat tegar bukan sekadar mendengar muzik sahaja; bagi peminat, ini bermakna berinteraksi dengan artis kegemaran mereka, berkongsi rasa teruja dengan peminat yang lain, menyanyi bersama mengikut setiap lirik semasa persembahan (sama ada secara nyata atau maya) dan sudah tentulah menunjukkan dedikasi mereka dengan barang dagangan.

Bagi artis, sokongan peminat ialah nadi mereka. Itulah sebabnya pasukan Spotify for Artists menumpukan pembangunan alatan baharu dan sumber untuk membantu artis menukar pendengar menjadi peminat, peminat menjadi peminat super dan akhir sekali, menjana lebih banyak pendapatan. Ini bukan sahaja boleh dicapai melalui muzik, tetapi juga barang dagangan, penjualan tiket, pemberian tip, e-mel Fans First dan banyak lagi. Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan tersebut, dengan sukacitanya kami mengumumkan penyepaduan baharu dengan Shopify yang memberikan lebih banyak peluang kepada artis untuk mengembangkan strim hasil tambahan, seperti barang dagangan.

Penjualan barang dagangan bukan sekadar perdagangan, ini juga tentang perhubungan. Shane Cody, pemain dram untuk band alternatif/indie yang berasal dari Indiana, Houndmouth, mengakui bahawa barang dagangan adalah sebahagian penting daripada pengalaman peminat: "Barang dagangan ialah hubungan kepada peminat pada tahap yang ketara," ujarnya. "Muzik kami ialah hubungan emosi, [maka] berkongsi kedua-dua aspek ini di Spotify adalah penting." Apabila album baharu Houndmouth, Good For You dilancarkan pada 5 Nov nanti, mereka akan memanfaatkan detik keluaran tersebut dengan menampilkan barang dagangan baharu pada profil artis mereka.

Shopify memudahkan artis dan pasukan mereka mengurus inventori dan mengawal item yang ditampilkan pada profil mereka. (Misalnya, item yang kehabisan stok akan dikeluarkan secara automatik daripada profil anda.) Sebaik sahaja anda bersedia untuk melancarkan barang dagangan baharu, anda akan dapat berkongsi barang tersebut serta-merta dengan peminat dan memanfaatkan detik keluaran anda agar mereka boleh melihat barang dagangan anda semasa mereka menstrim muzik baharu anda.

Mudah sahaja untuk menyenaraikan barang dagangan anda dengan Shopify: Anda hanya perlu mendapatkan akses pentadbir kepada akaun Spotify for Artists dan gedung Shopify anda. Mulakan di sini atau log masuk ke papan pemuka Spotify for Artists anda pada desktop, pergi ke tab “Profil” dan klik “Barang Dagangan” untuk bermula. Kemudian, anda akan dapat memilih tiga item daripada gedung anda yang ingin anda tampilkan pada profil artis anda. Jika gedung Shopify anda menjual barang dagangan daripada beberapa artis, anda boleh mengurus seluruh jualan dan inventori senarai anda dengan mudah di Spotify melalui penyambungan gedung kepada setiap profil artis dan menyenaraikan barang dagangan daripada “koleksi” artis di Shopify. Setiap profil artis hanya boleh disambungkan kepada satu gedung Shopify.

Jika anda belum mendaftar di Shopify lagi, kami sedia membantu anda: Shopify menawarkan percubaan percuma selama 90 hari kepada semua artis Shopify yang mendaftar buat kali pertama. Jika anda belum mempunyai sebarang stok inventori barang dagangan, Printful menawarkan diskaun 30% untuk dua pesanan terawal barang dagangan mengikut permintaan bagi artis Spotify.

Semak tab Barang Dagangan dalam Spotify for Artists anda

Semak tab Barang Dagangan dalam Spotify for Artists anda

Artis di seluruh dunia boleh memautkan gedung Shopify mereka dan menyenaraikan sehingga tiga barang dagangan pada profil artis mereka yang boleh dilihat oleh pendengar mereka.

Kami teruja untuk terus membangunkan cara baharu untuk artis mengewangkan kumpulan peminat mereka di Spotify. Jadi, mari bermula hari ini, jangkau peminat dan pengikut anda serta jadikan profil artis anda bagaikan meja barang dagangan maya.

Adakah anda berminat dalam membantu untuk menguji ciri baharu Spotify for Artists? Isi borang ini dan kami akan menghubungi anda tentang menyertai kumpulan uji kami.

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular