Cerita

Cara Membuat Barang Dagangan yang Akan Dibeli dan Disukai oleh Peminat Anda

November 30, 2018

Dalam acara Co.Lab kami di LA baru-baru ini, kami menghimpunkan pakar industri untuk membincangkan tentang barang dagangan daripada setiap perspektif. Apa-apa pun, inilah lanjutan penting bagi seni anda—dan perolehan anda.

Cuti ialah masa terbaik untuk berfikir masak-masak tentang jualan sesetengah barang dagangan. Sebagai seorang artis, penciptaan dan jualan barang dagangan sepatutnya lebih daripada sekadar menyeronokkan dan cara yang kreatif untuk berhubung dengan peminat anda yang paling berdedikasi, malah sangat penting untuk perniagaan anda juga. “Kami amat peka dengan jejak digital—jumlah suka, foto atau strim—tetapi berapakah jumlah orang yang akan bangun, menghadiri persembahan anda dan membayar anda $30 untuk sehelai baju?” tanya Ben Brannen, presiden and pengasas bersama platform perdagangan acara langsung, atVenu, yang menyertai panel kami dalam acara Co.Lab Spotify For Artist pada bulan Oktober. “Ketika anda memantau jualan barang dagangan anda, jangan beranggapan bahawa 'saya cuma menjual kemeja-T’, ” nasihat Brannen. “Inilah penunjuk pertumbuhan anda.”

Daripada kemeja-T standard kepada item baharu seperti boneka kepala goyang, anda boleh menggunakan pendekatan yang pelbagai, berdaya cipta dan strategik kepada barang dagangan. Oleh sebab mudah untuk diperibadikan dan membawa keuntungan, barang dagangan memainkan peranan utama dalam ikatan yang terjalin antara anda dengan peminat anda. “Mereka membawa pulang sebahagian daripada diri anda,” kata juruacara Co.Lab, Mark “Frosty” McNeill—yang juga merupakan pengasas bersama dan pengarah kreatif dublab.

Daripada peringkat mula hingga akhir proses rekaan hingga statistik yang perlu anda ketahui untuk menjana keuntungan, ahli panel, Mitra Khayyam (pengurus pelesenan bagi Waylon Jennings dan pengasas jenama barang dagangan Midnight Rider), Lauren Kessler, (seorang pengarah kreatif yang pernah bekerjasama dengan The Chainsmokers dan Trippie Redd) dan Ian Stoufer (Pengarah Seni di Studio Number One milik Shepherd Fairey) berkongsi perincian pengendalian barang dagangan yang berjaya melalui pembentangan kumpulan dan perbualan seorang dengan seorang bersama artis yang hadir. Namun, jika anda tidak hadir secara peribadi, jangan bimbang, berikut ialah beberapa isi penting.

Pendekatan penjenamaan.

Di dunia yang menyaksikan penambahan jalinan industri fesyen dengan muzik, penjenamaan telah diberikan makna yang baharu. “Daripada hanya memakai baju dengan cetakan muka artis kegemaran mereka, [peminat] kini boleh memakai cita rasa artis,” kata Kessler dengan menggunakan koleksi konsert jelajah Purpose Justin Bieber sebagai contoh yang terbaik tentang pertembungan dunia ini. Kedai serbaneka kelas tinggi, Barney's, menjual jaket kulit berjenama, kilt berpetak dan baju flanel agar sesiapa pun boleh berpakaian seperti Bieber (jika mereka mempunyai sejumlah $195-$1695 lagi).

Kessler mencadangkan agar anda menggunakan soalan di bawah untuk mendapatkan ilham tentang identiti jenama anda: Apakah yang cuba anda sampaikan melalui muzik anda? Siapakah yang memberi anda inspirasi? Apakah yang anda mahu orang ramai ingat? Perasaan apa yang anda mahu dirasai oleh mereka? Jika anda mendapati soalan ini sukar dijawab, Kessler mencadangkan agar anda mencuba latihan lain: membuat peta minda dengan menggunakan kata kunci. “Bermula dengan meletakkan nama anda di bahagian tengah, kemudian senaraikan nilai, emosi, kekuatan, audiens, idola dan inspirasi anda.”

Untuk menjadikan identiti jenama anda tampak hidup seperti barang dagangan, anda perlu mengukuhkan representasi visual jenama itu. Kessler menyerlahkan rekaan Kanye West yang ringkas, palet warna yang konsisten dan tipografi yang minimum. Semua ini menjadikan estetik umum West dapat dibezakan dengan jelas. Dengan menggunakan asas identiti jenama anda, lakukan sedikit penyelidikan rekaan. Ian Stoufer mencadangkan agar anda membuat papan Pinterest untuk inspirasi visual yang ditemukan melalui penyelidikan anda. Begitu juga, Kessler mencadangkan agar anda membuat papan mood—kombinasi imej, fon, warna dan tekstur—untuk mentakrifkan identiti jenama. Setelah anda mempunyai sesuatu yang padu, anda bersedia untuk memulakan rekaan. Proses sumbang saran Lauren Kessler dalam kerjasama bersama The Chainsmokers dengan kelab malam Wynn XS

Proses sumbang saran Lauren Kessler dalam kerjasama bersama The Chainsmokers dengan kelab malam Wynn XS

Membuat barang dagangan anda.

Apabila berdepan dengan soalan terbesar—barang dagangan yang ingin dibuat—Ben Brannen memberikan cadangan agar bergantung pada data jualan. “Satu-satu nasihat yang ingin saya berikan kepada anda ialah jual baju hitam,” kata dia. Begitu juga, pastikan anda menjual kemeja-T konsert jelajah: “Kemeja-T hitam yang paling laris dijual secara keseluruhan untuk apa-apa konsert jelajah ialah kemeja-T konsert jelajah”. Item popular lain termasuk baju hud sarung (terutamanya popular dalam kalangan audiens Hip-Hop), baju hud berzip dan kemeja-T raglan dan bukannya baju leher kelasi tegak atau kemeja-T lengan panjang. Topi selalunya popular. Namun, jangan buat terlalu banyak item. “Item yang lebih banyak tidak mendatangkan wang yang lebih banyak. Hakikatnya, ini meningkatkan kos anda,” kata dia.

Secara purata, lima item menyumbang kepada 70% daripada jualan artis. Barisan keluaran yang sedikit mendorong operasi jualan yang cepat dan apabila masa transaksi berkurang, jualan meningkat. Trend tambahan untuk dipertimbangkan ialah penyesuaian. “Barang yang diperibadikan merupakan sesuatu yang menarik—barang yang anda ketahui tidak dimiliki oleh orang lain,” kata Stoufer.

Mitra Khayyam mengemukakan perspektif tambahan ini: “Saya tidak rasa soalan yang sebenar adalah adakah anda mempunyai barang dagangan? Soalan yang sebenar adalah adakah anda mempunyai barang dagangan unik dan berkualiti yang membantu anda berhubung dengan audiens anda?” Sebagai pengarah kreatif Midnight Rider, iaitu jenama yang komited untuk menawarkan barang buatan Amerika berkualiti yang ditujukan khas kepada artis Country legasi, Khayyam menggalakkan artis agar mempertimbangkan penglibatan dalam penghasilan barang dagangan daripada peringkat mula hingga akhir, termasuk daripada pencarian fabrik hingga kerjasama dengan kilang.

Bekerjasama dengan orang lain.

Tanpa mengira cara anda mereka bentuk dan menghasilkan barang dagangan anda, anda mungkin perlu bekerjasama dengan orang lain untuk menyelesaikan kerja, dan proses kerjasama mungkin rumit. Stoufer mencadangkan agar kontrak digunakan untuk menangani kemungkinan salah komunikasi yang berlaku atau perubahan saat-saat akhir. “Jika anda boleh menggunakan [sebuah] kontrak dan menyatakan dengan jelas bahawa keluaran tersebut terjamin dengan cara ini dalam rangka masa ini, itulah cara bagus yang dapat anda harapkan,” katanya.

Jangan takut untuk meneroka aspek ekstrem tentang spektrum kreatif semasa bekerjasama dalam rekaan. “Satu perkara besar yang kami lakukan ialah pengulangan,” kata Stoufer. Semasa bekerjasama dengan klien yang berminat dalam penjenamaan semula, Stoufer dan rakan sekerja rekaannya “bermula dengan sesuatu yang amat dekat dengan penampilan jenama legasi kemudian bergerak semakin jauh dan menunjukkan sesuatu yang berubah haluan sepenuhnya, kemudian segala-gala antara dua aspek ini”. Biasanya, mereka memilih rekaan pertengahan.

Memasarkan barang dagangan anda.

Setelah anda menghasilkan barang dagangan anda, tibalah masa untuk mula memikirkan tentang cara kreatif untuk memasarkan dan menjual barang dagangan tersebut kepada peminat. “Anda perlu ingat bahawa tiada apa-apa yang akan berlaku dalam keadaan terasing,” kata Kessler. “Meluangkan masa untuk menambah baik produk anda serta mewujudkan persekitaran yang unik dan kandungan yang menarik—inilah sebahagian daripada perniagaan yang bukan sahaja meningkatkan jualan, malah juga merupakan peluang untuk meningkatkan kebolehlihatan.” Sesetengah cara memasarkan barang dagangan anda secara kreatif termasuk pengeluaran keluaran edisi terhad and pakej, penganjuran kedai jualan jangka pendek serta penggunaan cara bercerita yang inovatif sebagai kesinambungan daripada buku penampilan dan video.

Bagaimanakah dengan barang percuma? Brannen dan Khayyam tindak menggalakkan pemberian hadiah percuma. “Anda perlu mempertimbangkan belanjawan anda. Anda merupakan artis yang bekerja untuk menyara diri dan barang dagangan merupakan salah satu daripada komponen [tersebut]. Jika seseorang enggan membayar untuk mendapatkan baju, itu bermaksud bahawa baju tersebut tidak bernilai bagi mereka,” kata Khayyam.

Menjual barang dagangan anda.

Apabila tiba masa untuk menjual barang dagangan anda, salah satu perkara paling penting yang perlu diutamakan adalah menjejak jualan anda. “Jika anda tidak melakukan penjejakan, anda tidak akan mengetahui barang yang dijual,” kata Brannen. Walaupun pemasaran dan promosi ialah cara yang baik untuk meningkatkan kesedaran, jualan adalah yang benar-benar memaklumkan tentang kadar pertumbuhan kumpulan peminat anda kepada anda.

Menurut Brannen, persamaan terbaik untuk digunakan semasa menjejak jualan anda ialah purata dolar bagi setiap orang, iaitu pada dasarnya jumlah pendapatan yang sepatutnya diperoleh oleh seorang artis daripada setiap peminat bagi setiap persembahan mengikut kapasiti lokasi. Di dalam bilik yang memuatkan seramai 500 orang atau kurang, seorang artis sepatutnya memperoleh purata sebanyak $5.18. Tingkatkan kapasiti kepada 500-1,000 dan purata akan menjadi sebanyak $4.83. Pada kapasiti 1,000-3,000, purata adalah sebanyak $4.40. Di lokasi dengan kapasiti melebihi 10,000, purata adalah sebanyak $4.33. Dengan anggaran purata ini, anda boleh membuat pengiraan dan mula menyedari akan wang yang diperoleh melalui barang dagangan.

Berkenaan dengan topik penjejakan, Mitra Khayyam berkata lagi bahawa anda perlu mendengar pemikiran sebenar peminat dan pelanggan. Pada pendapatnya, itu termasuk pemerhatian terhadap media sosial dan bertanya: Siapakah yang mengikuti saya? Siapakah yang menyukai saya? Siapakah yang memberikan komen pada cerita saya? Siapakah yang menghadiri rancangan saya? Adakah mereka lelaki? Adakah mereka wanita? Di manakah mereka berada? Apakah yang disiarkan oleh mereka? Adakah mereka mengetag sesuatu? Yang sebenarnya, dia sedang menegaskan kepentingan penyelidikan pasaran.

“Kadangkala, anda mungkin rasa sakit hati kerana siaran tentang perkara yang anda ambil berat tidak menerima respons daripada orang ramai,” jelasnya. “Namun, tanpa mengira apa-apa pun, anda sedang memulakan [perniagaan], dan anda mungkin rasa sakit hati dan timbunan kotak kemeja-T di dalam garaj anda, atau anda boleh mendapatkan wang dan masih melakukan sesuatu yang anda banggakan.”

-Khalila Douze

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular