Amalan Terbaik
Ketahui Cara untuk Dimasukkan dalam Playlist dengan Dua Episod Baharu Game Plan
Secara rasminya, ciri usul playlist kami bukan lagi dalam versi beta.
Beberapa bulan yang lalu, kami melancarkan ciri beta dalam alat Spotify for Artists yang menyediakan keupayaan kepada artis, label dan pasukan untuk berkongsi muzik baharu secara langsung dengan pasukan editorial kami untuk dipertimbangkan bagi playlist. Sejak ciri ini tersedia pada bulan Julai, lebih daripada 67,000 artis dan label telah mengusulkan muzik dan kini, kami teruja untuk mengumumkan bahawa ciri usul playlist ini sudah bukan lagi dalam versi beta.
Semenjak versi beta bermula, lebih daripada 10,000 artis telah ditambah dalam playlist editorial Spotify buat kali pertama, lantas menghubungkan muzik mereka dengan beribu-ribu peminat baharu. Sebagai contoh, apabila lagu troubadour akustik Gustavo Bertoni, "Be Here Now" terpilih untuk muncul dalam playlist Acoustic Morning dan Fresh Folk, pendengar bulanannya melonjak naik daripada 7,000 kepada 617,000 orang. Selain itu, band rock alternatif Yonaka yang berasal dari Brighton di UK pula, melihat bilangan pendengar mereka meningkat daripada 82,000 kepada 290,000 apabila mereka dimasukkan dalam New Music Friday. Pendengar bulanan penyanyi rap Belgium Bryan Mg pula melonjak kepada 33,000 orang daripada 4,600 orang setelah dimasukkan ke dalam playlist La Vida Loca.
"Setelah keluaran pertama kami disiarkan oleh Spotify, saya rasa kira-kira sebulan kemudian saya mendapat tempahan pertama saya untuk persembahan di kelab," ujar Mg. "Orang ramai juga mula menghantar mesej peribadi kepada saya di Instagram tentang tempat mereka mendengar muzik saya buat kali pertama. Saya juga menerima jemputan daripada stesen radio di Belanda dan di Belgium serta melihat peningkatan pada bilangan pengikut saya di Instagram dan Spotify."
Penyanyi pop baharu Jayden Bartels berkata, "Saya sangat teruja melihat muzik saya di Spotify buat kali pertama, tetapi melihat 'Can't Help Me Now' dimasukkan dalam playlist rasmi Spotify, New Music Friday dan Pop Sauce memang benar-benar luar biasa! New Music Friday menampilkan artis kegemaran saya setiap minggu dan melihat nama saya dalam playlist tersebut adalah sesuatu yang sangat hebat dan membanggakan!"
Apabila lagunya "Can't Help Me Now" ditampilkan dalam New Music Friday, pendengar bulanannya meningkat tiga kali ganda kepada 72,000 orang. Sebelum menggunakan ciri baharu ini, muziknya tidak pernah ditambah dalam playlist rasmi Spotify.
Apabila kami melihat angka sebegini dan mendengar maklum balas ini, kami berasa sangat gembira. Walaupun kami tidak dapat menjamin hal ini untuk setiap artis pada setiap masa, namun perkara yang hebat tentang alat baharu ini adalah, sama ada lagu baharu anda ditampilkan dalam playlist editorial atau tidak, lagu tersebut akan sentiasa muncul dalam playlist Release Radar semua pengikut anda. Selain itu, metadata tambahan yang anda berikan apabila anda memuat naik lagu juga akan membantu kami mengesyorkan lagu tersebut kepada bakal peminat baharu untuk tahun-tahun yang akan datang.
Kami tahu anda telah meminta maklumat lanjut tentang cara playlist kami berfungsi. Itulah sebabnya bagi meraikan tamatnya versi beta ini, kami telah membuat beberapa episod baharu bagi siri asal kami, iaitu The Game Plan.
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.