Produk
Soundtrap Melancarkan Aplikasi 'Soundtrap Capture'
Alat mesra pengguna yang baharu ini membolehkan karyawan bekerjasama dalam masa nyata dan merakam audio berkualiti tinggi pada bila-bila masa dan di mana-mana jua mereka mendapat ilham.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan apabila anda mendapat ilham tetapi anda tidak berada di studio? Memandangkan idea yang hebat lazimnya tidak kekal lama, anda cuba untuk mengekalkan ledakan kreativiti itu dengan apa-apa cara yang mungkin. Mungkin lirik yang dicatat di atas tisu, rentak bes yang menarik dalam ingatan anda, yang anda senandungkan sendirian berulang kali atau bunyi sekitar jalan yang anda lalui, yang disimpan dalam nota suara telefon anda untuk dirujuk kemudian. Selama adanya muzik, artis menghadapi kesukaran untuk mengingati dan menjana idea bernas mereka apabila mereka tidak dapat merakamnya dengan segera.
Untuk membantu artis selanjutnya dalam penghasilan muzik, Soundtrap memperkenalkan Soundtrap Capture, iaitu aplikasi mudah alih kolaboratif percuma untuk mengingati dan menghasilkan muzik di mana-mana jua. Aplikasi Soundtrap Capture yang dibangunkan dengan bantuan beribu-ribu artis seperti anda ini, dilengkapi dengan alatan untuk merakam, melapis, bekerjasama dalam masa nyata dan sebagai penyimpanan. Jika proses sebelum ini memerlukan pelbagai platform, kini semuanya disatukan dalam aplikasi mesra pengguna yang membolehkan artis bekerjasama dalam masa nyata dan merakam audio berkualiti tinggi tanpa mengira tempat atau masa. Kini, "menangkap" ilham itu semudah membuka aplikasi pada telefon anda.
Aplikasi Soundtrap Capture tersedia untuk dimuat turun secara percuma di App Store iOS.
Ciri yang tersedia dengan segera di Soundtrap Capture termasuklah:
- Pelapisan Berbilang Lagu (Multi-track Layering): melapiskan rakaman lagu, instrumen dan vokal antara satu sama lain untuk menghasilkan pendekatan yang berbeza.
- Bekerjasama dengan Karyawan (Collaborate with Creators): jemput beberapa karyawan untuk menyertai projek, membentangkan idea, merakam dan melapiskan lagu untuk menghasilkan lagu bersama-sama dalam masa nyata.
- Penyimpanan Secara Langsung (Live Storage): menyelaraskan dan menyandarkan semua projek ke sistem Soundtrap dengan segera serta boleh diakses dengan mudah agar anda tidak akan terlupa idea lagi.
Bakal dilancarkan lewat tahun ini: Penyepaduan Lancar (Seamless Integration): pindahkan dengan lancar antara aplikasi Soundtrap Capture dengan Soundtrap Studio, antara desktop dengan mudah alih, semuanya tanpa tersekat-sekat.
–Spotify for Artists
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.