Produk

Kini, Pasukan Artis Boleh Mengukur Impak Kempen Iklan Mereka Terhadap Penstriman dengan Penggunaan Spotify Ad Studio

Spotify Ad Studio
April 8, 2019

Dengan metrik penukaran penstriman, pemasar muzik boleh memahami impak iklan audio mereka terhadap pendengar di Spotify.

Pada tahun 2017, kami memperkenalkan Spotify Ad Studio iaitu platform layan diri yang membolehkan pengiklan mencapai pendengar dalam pengalaman yang disokong iklan oleh Spotify semasa mereka mendengar muzik. Sejak dilancarkan, beratus-ratus pasukan artis, syarikat rakaman dan pemasar muzik telah menggunakan Spotify Ad Studio sebagai sebahagian daripada pelan promosi mereka. Ini merupakan tambahan yang bagus bagi kempen yang mungkin anda jalankan pada platform bukan muzik: Kempen iklan audio di Spotify boleh mencapai audiens yang sesuai apabila mereka sudah mendengar dan ingin menemui muzik.

Syarikat rakaman dan pasukan artis yang menggunakan Ad Studio telah meminta kaedah yang lebih mencerap daripada kami untuk memahami impak kempen mereka. Kami teruja untuk melancarkan set baharu metrik penukaran penstriman yang akan membantu anda memahami cara pendengar tersebut bertindak selepas mereka mendengar iklan anda. Berapa ramai orang yang mendengar iklan anda dan melihat muzik anda di Spotify? Adakah iklan anda lebih berkesan terhadap peminat yang memainkan muzik anda baru-baru ini atau dengan pendengar baharu? Berapa ramaikah antara mereka yang menyimpan muzik anda ke pustaka mereka atau menambah salah satu lagu anda dalam playlist mereka? Lihat beberapa daripada metrik baharu ini di bawah:

Metrik dalam Spotify Ad Studio

Metrik dalam Spotify Ad Studio

"Inilah laporan yang ingin kami lihat," kongsi Jimmy Brunetti, VP Pemasaran di syarikat perkhidmatan rakaman bebas, Croshal Entertainment Group. "Saya sangat menyukai penunjuk yang diberikan tentang cara iklan kami mendorong tindakan yang lebih lanjut. Ini merupakan petanda baik buat artis, terutamanya artis baharu yang boleh berkembang."

Walaupun Spotify for Artists memberikan cerapan terperinci kepada pasukan artis tentang orang yang mendengar muzik mereka, tetapi Spotify Ad Studio pula menyediakan saluran lain untuk kempen promosi. Anda boleh mengumumkan keluaran baharu atau ambil kesempatan pada detik yang trending. Kemudian, anda akan dapat melihat sambutan kempen anda dalam kalangan pendengar Spotify. Anda akan belajar tentang cara audiens berinteraksi dengan iklan anda dan anda boleh menggunakan maklumat tersebut untuk menambah baik strategi promosi anda yang akan datang. Memandangkan kepentingannya buat pasukan artis, kami berniat untuk menawarkan metrik penukaran sebegini untuk produk pengiklanan yang akan datang.

Dengan iklan audio, anda boleh memperkenalkan muzik dan personaliti artis anda kepada pendengar Spotify untuk memupuk hubungan yang lebih rapat. Lihat sahaja kempen baru-baru ini yang dijalankan oleh Wavo, sebuah agensi pemasaran muzik, untuk keluaran terkini Rich the Kid dengan Interscope. 38% orang yang mendengar iklan tersebut (yang menampilkan sampel lagu baharu, bersama-sama dengan pengenalan daripada Rich the Kid sendiri) akan terus mendengar muzik artis tersebut. Hampir 20% daripada pendengar tersebut menstrim muziknya buat kali pertama dalam bulan tersebut:

"Dengan keupayaan pengiklanan baharu Spotify, kami mendapatkan cerapan bukan hanya tentang kesan kempen dari segi penstriman, tetapi tindakan selanjutnya untuk artis seperti cara pendengar bertukar menjadi peminat dan menambah lagu dalam playlist mereka atau menyukai lagu. Inilah metrik yang sangat berharga bagi seorang artis," ujar Conor Clarke, CEO dan pengasas bersama Wavo.

Mariah Czap, Pengurus Pemasaran Digital di syarikat rakaman bebas Yep Roc Records juga bersetuju. "Spotify Ad Studio membantu kami menemui peminat baharu untuk artis kami dan menggalakkan peminat yang pasif untuk menjadi lebih aktif. Dengan pelaporan baharu, kami sangat teruja kerana kini, kami boleh melihat cara pendengar mengambil tindakan selepas mereka mendengar iklan. Metrik baharu memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang prestasi kempen kami dan impak kempen yang lebih daripada satu klik."

Kami gembira mendengar kisah kejayaan sebegini daripada pasukan artis yang menggunakan Spotify untuk mengubah pendengar biasa menjadi peminat setia. Peminat ini yang akan berada di barisan hadapan persembahan anda, membeli barang dagangan anda dan bersemangat untuk berkongsi muzik anda dengan rakan dan pengikut. Ad Studio hanyalah alat untuk membantu dan menyokong kehebatan anda: mencipta muzik yang berupaya menyentuh hati pendengar di seluruh dunia. Jika anda ahli pasukan artis dengan kebenaran untuk melihat statistik tentang muzik di Spotify, anda boleh menuju ke Ad Studio untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyediaan kempen.

Nantikan lebih banyak kemas kini apabila kami terus membantu anda dan pasukan anda menggunakan Spotify sebagai sebahagian daripada kempen promosi anda.

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular