Amalan Terbaik
Perkara yang Harus Dibuat dan Tidak Harus Dibuat di Media Sosial
Petua yang perlu diingat sebelum anda menekan "terbitkan" pada kiriman anda yang seterusnya.
Media sosial boleh membuatkan kita tertekan dan kami bukan sekadar bercakap tentang peperangan Twitter selebriti yang terkini atau kiriman merepek oleh pakcik anda di Facebook. Dengan begitu banyak kandungan di luar sana dan begitu banyak platform untuk dipilih, mempromosikan muzik anda di laman sosial boleh menjadi sangat sukar dengan cepat. "Perkara yang cuba saya tekankan," ujar Nancy Baym, seorang penyelidik utama di Microsoft dan penulis Playing to the Crowd (NYU Press) yang melihat pada cara teknologi memupuk keakraban antara pemuzik dan peminat mereka, "ialah tiada cara yang betul untuk mengendalikan media sosial. Ini bagaikan perangkap yang merangkap orang ramai—mereka fikir ada cara yang betul untuk berbuat demikian."
Sama seperti tiada satu sahaja cara yang betul untuk menghasilkan lagu yang hebat, tiada satu sahaja cara untuk mendapatkan strategi media sosial yang berjaya, walaupun terdapat beberapa amalan terbaik. Baru-baru ini, kami menemu bual Nancy Baym dan Deana Cosper, ketua media sosial untuk WMA, dan menggabungkan senarai petua ini. Kami berharap anda menyukainya.
Cari platform anda. Pemilihan platform yang sesuai untuk anda boleh jadi sukar. Jika anda selesa bekerja dengan visual yang menarik perhatian, maka Instagram mungkin merupakan pilihan yang tepat. Berminat untuk berbual dan berinteraksi dengan peminat? Maka, Twitter sesuai untuk anda. Namun, penting untuk anda memastikan kehadiran sekali-sekala di setiap platform media sosial untuk mengurangkan kemungkinan penyamar. "Tumpukan pada satu platform yang serasi dengan anda, kemudian pastikan kehadiran anda ada pada platform lain," ujar Cosper. "Anda tidak mahu memisahkan komuniti peminat hanya kerana sesetengah orang yang mungkin tidak selesa dengan platform baharu." Misalnya, jika fokus media sosial utama anda ialah Instagram, ujar Cosper, anda boleh menggunakan Facebook sebagai repositori "terbaik"—keluaran muzik baharu, kemasukan dalam playlist berprofil tinggi, kempen yang ingin menggerakkan peminat anda—dan Twitter sebagai tempat untuk berkongsi pendapat spontan sekali-sekala.
Bukan semua kiriman anda harus dikekalkan. Sesetengah kiriman dibuat untuk dipadam dengan sendiri. Kemunculan Snapchat menyebabkan Facebook dan Instagram melancarkan "cerita" yang dibuat untuk kandungan sementara—cerita akan dipadam selepas sehari. Jika anda ingin berkongsi imej tetapi tidak semestinya mahu imej itu kekal pada halaman anda buat selama-lamanya dan anda tidak mahu meletakkannya di Twitter, maka anda mungkin mahu mengirimnya sebagai cerita, dilengkapi kapsyen dan pelekat yang boleh menambah sentuhan personaliti anda. Cerita akan membuatkan peminat yang sudah mengikuti anda lebih berminat—terutamanya jika anda menggunakan kebolehan video cerita untuk menawarkan klip sekilas pandang edisi terhad mengenai proses anda, seperti potongan lagu yang akan datang atau klip video daripada studio.
Kualiti mengatasi kuantiti. Sifat Instagram Stories dan Facebook Stories yang lebih santai juga membolehkan artis memberi tumpuan pada kiriman berkualiti tinggi untuk suapan utama mereka, lantas membolehkan mereka menunjukkan emosi dan mendapatkan lebih banyak interaksi.
Pastikan kiriman anda pendek. Had 280 aksara Twitter memerlukan keringkasan, tetapi lazimnya, teks di Facebook dan Instagram juga seharusnya ditulis secara ringkas kerana kapsyen yang panjang kadangkala boleh menyebabkan pengguna melangkau kiriman. Sudah tentulah sesetengah detik dan pencapaian memerlukan penulisan yang lebih panjang, tetapi seperti yang dikatakan Cosper, "pastikan kandungan pendek dan sentiasa mempunyai hala tuju" akan membantu memastikan peminat sentiasa berada dalam senarai ikutan anda.
Suntik kesegaran. Sekali-sekala, memperbaharui kehadiran media sosial anda ialah idea yang baik. Dengan bantuan WMA, Republic Records menjenamakan semula akaun Instagram-nya secara sepenuhnya dengan memberikan identiti dan imej baharu pada tahun 2016. Tindakan ini menambah pengikut halaman ini sebanyak 71% dan menyebabkan peningkatan yang besar dari segi suka dan komen. Penerapan penyegaran semula secara terbuka juga boleh menarik perhatian peminat. Lihat sahaja pada reaksi terhadap tindakan Taylor Swift mengosongkan media sosialnya sebelum melancarkan Reputation pada tahun lepas.
Pastikan kiriman anda menyeronokkan. Jika anda tiada masa, maka lebih baik anda membuat kiriman pendek dan dengan unsur gurauan yang menunjukkan aktiviti harian anda seperti merakam lagu, menuju ke kedai kopi, memandu di atas jalan raya —ini boleh dijadikan penyeri yang baik sebelum kiriman Insta anda yang disusun baik seterusnya. "Ada detik yang boleh anda maksimumkan tanpa memerlukan usaha atau memakan masa yang banyak," ujar Cosper. "Terutamanya dengan artis bebas, [karya mereka] adalah seluruh dunia mereka."
Jangan tertinggal butiran. Media sosial mungkin memberikan gambaran sekilas pandang yang santai dalam kehidupan artis, tetapi terdapat langkah yang perlu diikuti sebelum menekan "terbit" pada kiriman. "Seringkali, amalan terbaik tidak dilaksanakan," kata Cosper. "Mereka akan mengeluarkan kandungan yang hebat, yang mengatakan, 'Lagu saya dimasukkan dalam New Music Friday,' tetapi mereka tidak memautkan kiriman ke playlist. Memastikan amalan terbaik tersebut diikuti mungkin bermakna anda perlu menghasilkan video pendek yang mengatakan, 'Lagu saya ada dalam New Music Friday sekarang, terima kasih banyak atas sokongan anda semua!' Maka, orang ramai ada video yang boleh mereka gunakan dan kiriman tersebut mempunyai pautan yang dapat mereka ikuti dengan mudah."
Ikuti perkembangan terkini. "Kami cuba memberitahu artis bahawa [untuk mencapai] peminat yang sesuai, mereka harus memastikan mereka mempunyai strategi kreatif dan [mengingati bahawa] teknik yang pernah mereka guna enam bulan lalu mungkin sudah tidak relevan lagi," kata Cosper. Perubahan pada algoritma yang menyajikan kiriman kepada pengguna boleh menimbulkan cabaran kepada artis, yang mungkin sudah biasa menghasilkan kiriman dengan cara tertentu. Misalnya, perubahan terkini algoritma Facebook terhadap mengutamakan kiriman yang mempunyai pautan dalam komen dan bukan pada kiriman itu sendiri. "Kami tidak mendapat banyak petunjuk," sambung Cosper. "Sebahagian besarnya perlu diselidik oleh artis dan penerbit itu sendiri, bukan untuk menewaskan sistem tetapi untuk memastikan bahawa [kiriman] mereka dioptimumkan untuk asas peminat mereka." Mengikuti perubahan tersebut, sama ada melalui bacaan sekilas pandang pada penerbitan yang menumpukan pada media digital seperti Digiday dan AdAge atau dengan menggunakan platform dengan cara yang kritikal, yang boleh membantu pengoptimuman tersebut.
Jangan memaksa kewujudan versi diri anda yang tertentu. "Apabila saya memikirkan tentang cara pendekatan artis yang sepatutnya terhadap media sosial, saya berfikir dari segi artis sebagai manusia yang mahu memiliki hidup yang bermakna dan berkembang maju," kata Nancy Baym. "Persoalannya ialah: Apakah cara penglibatan dengan orang ramai yang akan menguntungkan anda dan juga membantu mengembangkan kerjaya anda? Berapa banyakkah yang sanggup anda kongsi? Berapa banyakkah yang tidak sanggup anda kongsi? Apakah topik yang rela untuk anda bincangkan? Apakah topik yang tidak rela untuk anda bincangkan? Seperti yang dikatakan olehnya, "Jangkaan sifat santai" pada media sosial boleh menyebabkan artis yang tidak mahu menampilkan versi diri mereka yang lebih bergaya, atau yang mahu memastikan kehidupan peribadi mereka disembunyikan daripada peminat yang ingin tahu berasa sangat tidak selesa; ini juga boleh mengakibatkan kemarahan secara tidak sengaja dengan pengguna yang membalas komen. Sama ada anda mahu reputasi anda sebagai seorang yang pemarah dalam talian untuk melengkapi atau melebihi kerja anda, ialah sesuatu yang perlu anda fikirkan.
Tanya diri sendiri dengan kerap. "Ini tentang keseimbangan," ujar Baym. "Anda memang perlu memikirkan hal ini dan sentiasa berfikir tentang perkara yang selesa bagi anda." Baym menyatakan bahawa sifat media sosial yang sentiasa berubah-ubah ini bermakna bahawa kadangkala, kebanyakan orang bertindak berdasarkan naluri. "Bagi setiap orang yang mahir dalam sesuatu dan berjaya melakukannya, ada pula orang lain yang meniru perbuatan yang sama tetapi tidak begitu berjaya," katanya. "Anda perlu tentukan sendiri perkara yang selesa untuk anda."
*— Maura Johnston *
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.