Amalan Terbaik

Petua untuk Mengurus Kesihatan Mental Anda

Photo By Christian Kielberg
May 15, 2018

Minda anda bagaikan sebuah instrumen. Berikut merupakan cara untuk menjaganya.

Bagi kebanyakan orang, mendengar muzik ialah sumber penyembuhan dan sokongan emosi. Seringkali, perkara ini lebih benar buat orang yang menghasilkannya. Namun, bekerja dalam industri muzik boleh menjadi suatu paradoks, yang mana perkongsian muzik dengan orang lain mungkin akan membuatkan anda berasa sangat gembira, tetapi perkara yang sama juga membuatkan anda berasa sangat tertekan. Konsert jelajah, mengharungi ketidaktentuan kewangan dan bekerja dengan sangat lama boleh memberi tekanan kepada kesihatan mental anda.

Namun, kesihatan mental adalah sama penting seperti kesihatan fizikal. Walaupun hal ini tidak begitu dipandang serius dalam industri muzik, tetapi terdapat tanda-tanda bahawa hal ini mula berubah. Artis terkenal seperti Shamir, Kate Nash, Benga dan penyanyi utama wanita Joanna Gruesome, Alanna McArdle, telah bercakap secara terbuka tentang perjuangan kesihatan mental mereka dan suara mereka merupakan sebahagian daripada pergerakan yang kian berkembang dalam industri ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hubungan yang saling berkait seperti penyalahgunaan dadah, kemurungan dan bunuh diri.

Malangnya, walaupun ramai pemuzik yang berjaya mengharungi masalah penyakit mental mereka untuk berkongsi kisah mereka, sesetengah kisah masih berakhir dengan tragedi. Kehilangan DJ Sweden, Avicii akibat bunuh diri dan kematian penyanyi utama lelaki Frightened Rabbit iaitu Scott Hutchinson, berikutan kehilangannya semasa dia mengalami tempoh yang sangat sukar dari segi emosi seperti yang dilaporkan oleh keluarganya, merupakan dua kisah yang menyayat hati. Malangnya, kisah ini menekankan tentang keperluan perbicaraan mengenai kesihatan mental dan muzik serta membuang stigma berkenaan penyakit mental.

Perniagaan muzik tetap menjadi persekitaran yang mencabar, namun terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh artis untuk menjaga kesihatan mental mereka. Berikut merupakan beberapa idea mudah (dan beberapa idea besar) untuk membantu anda mengharungi kehidupan dan meneruskan kerjaya anda.

Dapatkan Bantuan

Ketahuilah bahawa ada bantuan di luar sana. Terdapat program di seluruh Amerika Syarikat dan bahagian lain di dunia yang menyediakan penjagaan kesihatan mental secara percuma atau murah. Sesetengah program seperti Nuçi’s Space di Athens, Georgia menjurus secara khusus untuk memenuhi keperluan orang yang bekerja dalam industri muzik. Nuçi’s Space merupakan pusat sumber yang difokuskan pada pencegahan bunuh diri yang diasaskan untuk mengenang pemuzik Athens, Nuçi Phillips yang membunuh diri. The SIMS Foundation di Austin, Texas, membantu menghubungkan pemuzik dengan sumber kesihatan mental. Yayasan ini juga diasaskan bagi mengenang pemuzik yang mengambil nyawanya sendiri, iaitu penyanyi rock Austin, Sims Ellison. Badan amal The Recording Academy iaitu MusiCares, menyediakan bantuan kewangan kecemasan untuk keperluan penjagaan kesihatan pemuzik, termasuk psikoterapi dan rawatan untuk ketagihan. Help Musicians UK telah melancarkan talian sokongan kesihatan mental selama 24 jam untuk industri muzik sebagai sebahagian daripada inisiatif Music Minds Matter mereka.

Pemuzik yang bekerja lazimnya tidak memiliki insurans kesihatan, yang boleh menjadi penghalang untuk mengakses terapi jika mereka memerlukannya. Lily Courtney, pegawai klinik di The SIMS Foundation berkata bahawa ramai orang tidak tahu bahawa sejumlah organisasi dan kaunselor kesihatan mental akan mengurangkan kos perkhidmatan mereka untuk pesakit berpendapatan rendah tanpa insurans. "Kebanyakan bandar mempunyai terapi mampu bayar untuk golongan berpendapatan rendah. Semua orang mempunyai akses kepada komputer; sila Google 'perkhidmatan terapi mampu bayar (sliding scale therapy).' Terapi ini ada di merata-rata tempat dan yurannya adalah daripada $5 setiap sesi sehinggalah $50 setiap sesi," katanya. Tambahnya lagi, jika anda tinggal berhampiran dengan universiti, maka mereka mungkin mempunyai program yang disertai oleh pelajar siswazah dalam psikologi yang memberikan perkhidmatan kaunseling dengan potongan harga.

Lesley Cobbs ialah peguam bela penasihat di Nuçi’s Space. Dia mengesyorkan agar anda mengambil tahu tempat untuk mencari bantuan sebelum anda memerlukannya, terutamanya jika anda menghidap penyakit mental dan semestinya sebelum menyertai konsert menjelajah. "Kebanyakan negeri mempunyai talian krisis kesihatan mental. Cari nombor untuk kawasan anda semasa anda dalam pemikiran yang baik kerana apabila anda dalam keadaan pemikiran yang kurang baik, maka anda sudah ada nombor itu," nasihatnya.

Jaga Diri

Ramai artis berasa paling gembira semasa mereka membuat konsert jelajah kerana mereka dapat melakukan perkara yang disukai setiap malam. Membuat persembahan secara langsung juga merupakan sumber pendapatan utama untuk kebanyakan pemuzik profesional. Namun, jadual yang padat boleh meletihkan dan mempengaruhi kesihatan mental. Courtney melihat perkara ini berlaku sepanjang masa dengan kliennya. "Sifat industri ini adalah sebegitu. [Pemuzik] melakukan konsert menjelajah sepanjang masa, tabiat tidur mereka sudah lari, tabiat pemakanan mereka kurang sesuai, mereka tidak bersenam dan banyak kemahiran daya tindak yang mereka miliki semasa di luar konsert menjelajah tidak dapat digunakan," jelasnya. Bagi artis yang berhadapan dengan kemurungan dan kegelisahan, tidur tidak cukup atau pemakanan tidak seimbang boleh memburukkan lagi keadaan.

Selain menjadi seorang kaunselor berlesen, Courtney juga seorang pemuzik yang membuat konsert jelajah. Oleh itu, dia tahu betapa mencabarnya untuk menjaga diri sendiri semasa berbuat demikian—tetapi dia juga tahu betapa pentingnya untuk menjaga diri. Nasihatnya adalah menumpukan pada membuat pilihan yang sihat seboleh mungkin. "Anda tidak perlu memikirkan tentang perkara yang tidak boleh dimakan, lebih kepada memastikan anda mendapat buah dan sayur. Jangan fikir 'Saya tak boleh makan piza ini' apabila tiada pilihan makanan yang lain. Walaupun di stesen minyak, lazimnya mereka menjual pisang atau epal yang boleh anda dapatkan," katanya.

Satu lagi petua bagi konsert jelajah yang diberikan oleh Courtney adalah menulis jurnal dan mencari cara lain untuk mencipta ruang anda sendiri, sekurang-kurangnya secara mental. Luangkan masa untuk diri sendiri bagi mengatasi tekanan emosi semasa membuat konsert jelajah. Cadangnya: "Apabila anda mula menjelajah, pastikan anda membawa bahan membaca dan mengamalkan meditasi. Amalan ini boleh jadi daripada duduk diam selama 10 minit dan menumpukan pada nafas anda hingga bersiar-siar dan memerhatikan keadaan sekeliling anda."

Melalui syarikatnya The Unicorn Mothership, jurulatih holistik Eline Van Audenaerde bekerjasama dengan DJ dan pemuzik elektronik dalam membina daya tahan dan mengemudi cabaran kerjaya mereka. Klien Eline mungkin berlatih sehingga lewat malam, tetapi dia cuba menerapkan nilai menetapkan rutin harian yang sihat dalam diri mereka. "Saya akan sentiasa menasihati mereka untuk bangun, walaupun mereka cuma dapat tidur selama beberapa jam sahaja; cuba bersarapan dan tempuhi hari tersebut. Buat sesuatu, berjumpa dengan orang agar mereka mempunyai hari yang normal pada siang hari dan cuba tidur awal atau tidur sekejap pada waktu petang," katanya.

Tetapkan Matlamat Anda

Van Audenaerde akan memberitahu anda bahawa ketabahan dalam industri muzik adalah tentang matlamat. Tegasnya lagi, "ketabahan bermakna sedar akan diri anda dan matlamat anda, serta—lebih penting lagi—nilai-nilai anda dalam hidup ini." Kejelasan sebegini boleh membantu anda kekal fokus dan membuat keputusan yang betul tanpa berasa terbeban, walaupun keadaan menjadi sukar.

Sebaik sahaja anda menemui matlamat anda, pengurusan masa menjadi kunci untuk mencapai matlamat tersebut. Van Audenaerde yakin dengan perkara yang praktikal dan boleh bertahan lama, seperti menjadualkan waktu studio untuk mengusahakan muzik dan mematuhi jadual tersebut, walaupun anda menyeimbangkan muzik dengan kerja pada siang hari. "Urus kalendar anda," nasihatnya. "Tetapkan matlamat yang jelas untuk tahun itu. Bilakah anda mahu album ini disiapkan? Berapa banyakkah persembahan yang ingin anda buat?" Bersikap jelas tentang perkara yang penting buat anda dan bertindak akan menjadikan anda lebih cekap dan juga dapat membuatkan anda lebih bahagia.

Bebaskan Minda Anda

Jika terdapat perkara tentang industri muzik yang menjejaskan kesejahteraan mental anda secara negatif, maka pertimbangkan untuk mencari pendekatan yang lain. Rachel Lightner menyanyi, menulis dan memetik gitar dalam band Nervous Dater; dia lazim menyanyi tentang kesukaran peribadinya dengan kegelisahan dan kemurungan. Pengalaman awalnya sebagai pemuzik bukan binari dalam genre punk yang didominasi lelaki membuatkan dia berasa tidak diberi perhatian dan dipergunakan dengan perkara seperti semua papan iklan "penyanyi utama wanita". "Hal ini sangat menjejaskan saya. Saya berasa dinafikan dan bagaikan saya tidak akan diterima," ujarnya. Perkara yang membantu Lightner adalah mencari pelbagai pemuzik yang menarik perhatiannya dan membina komuniti positif dengan mereka.

"Kami baru mula menyertai persembahan dan mencari orang yang kami rasa kedengaran seperti kami. Kami semua masih baru dan kami mula membuat persembahan di kedai kopi di Brooklyn yang mempunyai bilik bawah tanah. Begitulah kisah penubuhan scene kami. Berkongsi pentas dengan wanita dan setiap kelompok minoriti—pemuzik sebegitu sangat melegakan hati dan memberi inspirasi. Kami semua saling menggalakkan satu sama lain dan [jika tidak], kami tidak akan buat perkara yang kami lakukan sekarang," katanya dengan bersemangat. Bukan sahaja perubahan pendekatan anda dengan cara sebegini adalah penting untuk bertahan sebagai seorang artis, tetapi perubahan ini juga boleh mengubah dunia anda, seperti yang dipelajari oleh Lightner.

Talian Hayat Pencegahan Bunuh Diri Negara di Amerika Syarikat ialah 1-800-273-8255

Befrienders di Malaysia boleh dihubungi dengan mendail 03-76272929.

-Beverly Bryan

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular