Walaupun ramai artis hebat hari ini boleh dicapai dengan satu klik sahaja, Pixies ialah salah satu kumpulan yang benar-benar hebat. Selepas membentuk dasar untuk alt rock pada lewat 80-an dan bubar pada tahun 1993, kumpulan ini seolah-olah menjadi sebahagian daripada DNA muzik. Dan apabila mereka bersatu semula pada tahun 2004, mereka menjadi legenda. Namun pada tahun lepas, peminat telah ditawarkan peluang yang tidak pernah berlaku untuk memasuki dunia kumpulan ini menerusi It's a Pixies Podcast, yang mendokumenkan pembuatan album 2019 mereka, Beneath the Eyrie, sepanjang tempoh sebulan mereka menginap di studio di Upstate New York.
Melalui projek ini, Pixies sekali lagi menjadi inovator–ini ialah dokumentari podcast pertama tentang pembuatan album yang pernah kami dengar. Sejak itu, kami telah menyaksikan pelancaran kandungan asal Spotify 21 Days with mxmtoon, yang merakamkan proses kreatif menggunakan format audio gaya diari. Namun projek Pixies tetap tiada tandingan dari segi skop dan cita-cita: pasukan penerbit telah merakamkan lebih daripada 300 jam bahan, menurut Spotify for Podcasters. Kami berbual dengan pengurus Pixies, Richard Jones, untuk mengetahui sama ada artis lain patut mempertimbangkan tindakan mengikuti jejak Pixies sekali lagi atau tidak.
Spotify for Artists: Beritahu kami cara idea ini tercetus.
Richard Jones: Pixies mempunyai katalog terkenal dan dihormati yang boleh dipersembahkan di seluruh dunia selama bertahun-tahun. Namun kami mendapati bahawa, seperti artis lain daripada generasi ini, masa diperlukan sebelum muzik baharu dihargai dan dinikmati dengan cara yang sama. Jadi semasa kami mendekati rakaman ini, saya terfikir, “Bagaimanakah kita boleh membuat orang ramai berinteraksi dengan muzik menerusi tempoh masa yang lebih lama, supaya mereka lebih rapat dengan muzik dan mempunyai kenangan yang berkenaan sepanjang tempoh yang lama sebelum rakaman dikeluarkan, seolah-olah mereka sudah mengenali rakaman itu?”
Dalam erti kata lain, anda menjadikan rakaman anda nyata terlebih dahulu.
Ya. Saya meluangkan masa yang lama melihat cara peminat kami membincangkan muzik dalam interaksi sosial dan kumpulan peminat—mereka sangat terperinci dalam cara mereka menganalisis dan membincangkan muzik, jadi saya terfikir, "Bagaimana pula dengan podcast? Apa kata kita rakam semua yang kita buat dan bahagikan kepada cebisan yang boleh didengari oleh orang lain berulang kali untuk membina hubungan mereka sendiri dengan lagu?" Pada masa yang sama, dapatkan sedikit cerapan tentang pemuzik kerana Pixies terkenal dengan identiti umum yang terhad. Perbuatan ini juga membolehkan cerapan ini buat kali pertama.
![Paz Lenchantin, Foto oleh Simon Foster]()
Paz Lenchantin, Foto oleh Simon Foster
Bagaimana pula dengan idea bahawa pemerhatian sesuatu akan mengubah benda tersebut?
Ketakutan itu memang diredakan oleh cara yang kami gunakan–mikrofon sentiasa merakam sepanjang masa. Tiada pemantau atau penerbit podcast di studio. Secara umum, saya rasa seluruh kumpulan terlupa tentang rakaman ini. Dan perkara yang bagus tentang bekerja di studio kediaman ialah, semua orang ada sepanjang masa. Biasanya semasa proses rakaman, anda melakukan tugas secara berasingan–orang sibuk dengan tugas masing-masing, keluar berjalan-jalan atau duduk santai membaca sahaja. Tony boleh tunjuk muka, berjalan-jalan, lihat orang yang senang dan hanya berkata, "Bagaimana keadaan anda hari ini?" Salah satu kejayaan sebenar proses ini adalah bahawa perbualan sedemikian menjadi satu kebiasaan.
Adakah kumpulan ragu-ragu tentang perkara ini dari awal?
Mereka menerima idea itu sepenuhnya dan itu memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi. Mereka tahu kami tidak akan memalukan mereka, tetapi kami juga tidak merakam dengan tujuan mengangkat nama mereka semata-mata. Ini benar-benar rakaman dan renungan yang jujur tentang perkara yang berlaku semasa di studio. Sebahagian besar daya tarikan Pixies adalah bahawa mereka ialah artis kolar biru, jadi kami tidak cuba menjadikan rakaman ini rancangan TV realiti. Kami perlu menarik pendengar, memberitahu mereka cerita dan mengekalkan minat mereka melalui muzik baharu, sambil memastikan kami tidak membesar-besarkan kumpulan atau perkara yang dilakukan oleh mereka.
![David Lovering, Foto oleh Simon Foster]()
David Lovering, Foto oleh Simon Foster
Anda telah membantu kumpulan menghasilkan album, tetapi bagaimanakah rasanya beralih kepada bentuk penceritaan audio ini? Kandungan ini dibuat untuk album, tetapi kandungan tersebut juga perlu berdiri sendiri.
Betul. Sebaik-baiknya apabila anda menghasilkan album, anda menghasilkan album untuk diri sendiri. Anda masuk, gubah lagu yang terfikir, rakam ikut cara sendiri dan itu sahaja. Sudah tentu, podcast ini bukan begitu semata-mata. Pada akhirnya, ini cuma alat promosi untuk album, namun alat promosi semata-mata memang tidak menarik. Kami tahu kami perlu meluangkan sebahagian besar masa kami untuk mengedit demi mengekalkan berbilang jalur naratif yang berjalan sepanjang siri. Saya masih ingat sukarnya untuk mencari keseimbangan yang betul apabila berkongsi tentang sejarah kumpulan tanpa menghina peminat, sambil mendedahkan butiran proses muzik tanpa merosakkan misteri.
Jadi bagaimanakah reaksi yang anda lihat daripada peminat?
Peminat tegar di forum dan kumpulan Facebook benar-benar menyukai kandungan itu. Mereka sangat teruja dengan semua ini dan benar-benar mengkaji setiap episod. Peminat kasual sangat menyukai idea ini dan mula memahami kumpulan secara lebih mendalam serta menjalin hubungan yang melangkaui lagu. Kami juga menarik minat bukan peminat—orang dalam bidang studio, media atau podcast yang mendapati proses pembuatan muzik ini menarik. Sejujurnya, kami langsung tidak menerima apa-apa maklum balas negatif tentang kandungan itu.
Dan apakah yang berlaku apabila anda membawa muzik baharu itu ke konsert jelajah?
Perkara yang biasanya berlaku dalam bulan pertama konsert jelajah adalah bahawa orang tahu lagu utama, manakala lagu yang lain kurang menarik minat. Kali ini, orang tahu semua lagu baharu lebih awal. Apabila saya melihat reaksi orang ramai di bilik, terdapat penghargaan yang lebih tinggi dan hubungan yang lebih mendalam berkenaan album ini berbanding dengan dua album terakhir yang kami hasilkan sejak kumpulan ini dibentuk semula. Jadi ya, langkah ini memang berjaya!
—Chris Martins