Memanfaatkan Paparan 'Sedang Dimainkan' sepenuhnya untuk Menggalakkan Penemuan
Lima tindakan yang boleh diambil oleh artis bagi setiap lagu mereka untuk memanfaatkan pengalaman pendengar Sedang Dimainkan.
Sebagai seorang artis, membina kerjaya yang berjaya adalah sama seperti mencipta muzik kerana hal ini melibatkan audiens anda. Sekiranya anda berpeluang untuk berhubung dengan pendengar secara lebih mendalam, anda mempunyai peluang untuk menjadikan mereka peminat setia anda. Di Spotify, anda boleh menonjolkan kreativiti anda dalam pelbagai cara, tanpa mengira tahap kerjaya anda. Sama ada lagu terbaharu anda, ulang tahun album, keluaran barang dagangan terkini, atau tarikh konsert jelajah yang akan datang, anda boleh meraikan dan mempromosikan kesemua ini di Spotify.
Kami menamakan ruang yang boleh dilihat oleh pendengar semasa menstrim lagu di Spotify sebagai paparan Sedang Dimainkan. Paparan Sedang Dimainkan dihasilkan untuk menggalakkan penemuan untuk pendengar dan untuk membantu artis membina hubungan yang lebih mendalam dengan audiens mereka. Sesetengah pendengar sudah mengenali anda dan menggunakan Spotify untuk mendengar muzik anda, tetapi pendengar lain mungkin menemukan hasil kerja anda melalui pengaturcaraan yang diperibadikan atau kerana lagu anda dipaparkan pada playlist. Hal ini bermakna peminat baharu yang berpotensi akan sentiasa berada di hujung jari anda sahaja.
Bayangkan lagu anda berada dalam playlist dan pendengar menyukai lagu anda, kemudian mereka mengeluarkan telefon mereka kerana mereka ingin mendapatkan maklumat lanjut. Paparan Sedang Dimainkan mempersembahkan detik yang tepat untuk menarik perhatian pendengar dengan membolehkan mereka memahami anda dengan lebih mendalam. Pendengar bukan sahaja dapat mengetahui tentang lagu yang sedang didengar, tetapi turut dapat mengenali artis itu – dengan biodata artis, Canvas, lirik, kredit lagu, barang dagangan dan konsert akan datang.
Berikut ialah lima tindakan yang boleh anda ambil untuk memanfaatkan sepenuhnya paparan Sedang Dimainkan:
1. Memuat naik Canvas
Canvas merupakan cara terbaik untuk menarik perhatian pendengar melalui visual pendek dan berterusan yang boleh ditambahkan pada lagu anda di Spotify. Canvas ini berperanan seperti karya seni album untuk zaman penstriman sekarang. Dengan memuat naik Canvas, anda berpeluang untuk menarik perhatian pendengar dan berkongsi visi hasil kreatif lagu anda yang boleh menawan pendengar untuk memahami dengan lebih mendalam. Pendengar 20% lebih cenderung untuk menambahkan lagu pada playlist mereka apabila mereka melihat Canvas.
2. Tag Barang Dagangan yang Dikaitkan dengan Album atau Single Anda
Barang dagangan dan muzik adalah lebih baik jika digabungkan bersama. Bagi peminat, pembelian barang dagangan boleh menjadi pengalaman yang beremosi dan merupakan cara untuk berhubung dengan artis kegemaran mereka pada tahap yang lebih mendalam. Apabila anda mengetag barang dagangan anda kepada sesuatu keluaran, barang dagangan itu akan dipaparkan dalam paparan Sedang Dimainkan, yang bermaksud apabila pendengar sedang menjiwai muzik anda, mereka juga boleh menyemak imbas (dan membeli) gambaran fizikal muzik anda.
Apabila anda tag barang dagangan anda pada album, barang dagangan itu akan dipautkan secara automatik kepada setiap lagu yang disertakan pada album tersebut dalam paparan Sedang Dimainkan. Proses ini hanya memerlukan beberapa langkah mudah.
Beberapa perkara untuk diambil perhatian:
- Item barang dagangan boleh ditag dengan berbilang keluaran, jadi jika terdapat lagu yang muncul pada lebih daripada satu keluaran, anda boleh tag kedua-dua keluaran tersebut!
- Setelah keluaran dihantar dan kelihatan pada Spotify for Artists, anda boleh tag barang dagangan anda sebelum keluaran supaya barang dagangan itu boleh diakses pada kali pertama pendengar memainkan lagu.
- Spotify akan mengaitkan barang dagangan secara automatik dengan keluaran jika nama keluaran terdapat dalam nama item barang dagangan—tetapi item barang dagangan yang ditag secara manual akan disenaraikan dahulu pada halaman keluaran.
- Tag barang dagangan hanya tersedia untuk item yang disenaraikan melalui penyepaduan Shopify kami.
3. Pastikan Biodata Artis Anda Terkini
Pengenalan adalah penting dan biodata artis di Spotify merupakan peluang untuk memberitahu peminat tentang diri anda melalui kata-kata anda sendiri. Biodata artis anda kini akan muncul di bawah "Perihal Artis" bersama-sama butang ikuti, lalu membenarkan pendengar untuk mengikuti profil artis dengan mudah. Imej artis anda, yang boleh dimuat naik melalui Spotify for Artists, akan muncul di belakang biodata. Anda boleh memuat naik biodata anda dengan mengikuti langkah-langkah ini dan pastikan anda menyemak petua kami untuk memanfaatkan penggunaan had 1500 aksara untuk berkongsi kisah dengan peminat anda.
4. Sertakan Kredit Lagu Apabila Anda Mengagihkan Muzik Anda
Sama ada anda seorang artis yang membuat persembahan, pencipta lagu, atau penerbit, anda layak mendapat pengiktirafan untuk sumbangan dan bantuan anda dalam penciptaan muzik. Tambahan pula, peminat berminat untuk mengenali orang yang terlibat dalam penciptaan lagu yang menjadi kegemaran mereka – kredit lagu adalah untuk membantu mereka membina hubungan ini. Pengguna aplikasi mudah alih boleh melihat dan berinteraksi dengan kredit lagu secara langsung dalam paparan Sedang Dimainkan.
Kami menunjukkan maklumat yang diberi oleh pengagih anda atau syarikat rakaman kepada kami. Untuk memastikan kredit anda muncul dengan betul, lakukan semakan untuk memastikan bahawa metadata yang betul telah diserahkan dan kredit anda adalah yang terkini. Untuk pencipta lagu atau penerbit dengan Songwriter Page, pastikan maklumat penerbitan adalah betul dengan penerbit anda. Selain itu, jika anda artis yang mengeluarkan lagu sendiri melalui pengagih tertentu, anda boleh memastikan kredit anda mengikut susunan semasa anda menyerahkan muzik anda.
Kredit lagu dalam paparan Sedang Dimainkan memaparkan tiga pencipta lagu tersebut, manakala paparan yang dikembangkan menunjukkan semua pencipta yang disenaraikan. Pendengar boleh mengikuti profil artis Spotify untuk artis dengan halaman yang bersambung secara langsung melalui paparan Sedang Dimainkan dan paparan yang dikembangkan menawarkan navigasi ke Songwriter Page yang bersambung, iaitu tempat ciri ini didayakan.
5. Sambungkan Tiket dan Lirik Anda kepada Profil Artis Anda
Memaklumkan peminat mengenai rancangan langsung anda yang seterusnya dan memberi mereka peluang untuk menemui lirik anda ialah cara terbaik untuk menjadikan pendengar anda sebagai peminat. Di bawah paparan Sedang Dimainkan yang baharu, penyenaraian rancangan langsung dan lirik boleh diakses di satu tempat.
Pastikan tiket anda disenaraikan melalui salah satu rakan niaga tiket pihak ketiga kami – hal ini membolehkan pendengar menemui anda apabila anda sedang memainkan muzik berhampiran mereka semasa mereka sedang mendengar muzik anda. Bagi memastikan tiket anda disegerakkan di Spotify dengan betul, lihat bahagian Konsert Menjelajah pada profil artis anda. Penyenaraian yang sama akan dipaparkan pada paparan Sedang Dimainkan.
Anda boleh menyambungkan lirik anda dengan mengikuti langkah-langkah ini dan menggunakan tawaran percuma Musixmatch untuk memastikan peminat anda boleh menyanyi bersama-sama. Peminat juga mempunyai pilihan untuk berkongsi coretan lirik anda pada platform media sosial dengan menggunakan kad kongsi. Nota: ketersediaan lirik mungkin berbeza-beza mengikut wilayah dan pemberi lesen.
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.