Memanfaatkan Sepenuhnya Profil Artis Anda di Spotify

April 29, 2025

Profil artis anda menyerlahkan muzik, konsert, barang dagangan, video anda dan banyak lagi—memudahkan penemuan dan penglibatan peminat dengan segala-galanya yang anda tawarkan di Spotify.

Profil artis anda ialah bahagian penting penampilan anda di Spotify dan cara peminat dapat berhubung dengan anda. Profil ialah tempat pendengar baharu dapat mengetahui lebih lanjut tentang anda sebagai artis, serta tempat peminat dapat menerokai dunia sekitar muzik anda dengan lebih mendalam.

Jutaan peminat di seluruh dunia melawati profil artis setiap hari dan 90% daripada peminat tersebut berinteraksi dengan halaman melalui cara tertentu. Tempat ini penting untuk mewujudkan hubungan peminat. Profil artis anda membolehkan anda mempamerkan tawaran anda, seperti tiket konsert dan barang dagangan, jadi anda boleh mendapatkan lebih banyak hasil melalui Spotify. Platform ini juga membantu anda menarik minat pendengar dengan menyerlahkan video anda, dan mempamerkan dunia kreatif penuh anda.

Profil artis anda ialah salah satu cara paling penting untuk mewakili jenama dan muzik anda—dan dengan alat Spotify for Artists, anda boleh menyesuaikan profil anda pada bila-bila masa untuk merealisasikan dunia anda dan memastikan peminat terlibat sepanjang kitaran keluaran. Peminat juga boleh memilih untuk Mengikuti anda, supaya anda ditambahkan pada pustaka peribadi mereka dan mereka tidak terlepas muzik terkini anda. Daripada tanggapan pertama kepada pengukuhan hubungan, profil artis anda merupakan alat yang berkuasa untuk menunjukkan perihal diri anda kepada peminat.

Mari terokai profil artis untuk mengetahui cara menyediakan diri anda untuk mencapai kejayaan dan akhirnya menarik peminat. Semua kandungan profil anda boleh ditemukan di bawah tab utama ini: Muzik, Clip, Acara dan Barang Dagangan. Berikut ialah pecahan setiap tab.

Muzik

Popular mempamerkan hingga sepuluh lagu popular anda yang dinilai secara automatik berdasarkan bilangan strim sepanjang masa dan terkini. Lagu popular dikemaskinikan setiap 24 jam. Anda tidak boleh menukar lagu popular anda secara manual.

Keluaran Baharu atau Akan Datang diserlahkan dengan sepanduk pada bahagian atas profil anda. Kini, apabila anda membuat Halaman Kira Detik untuk album atau EP akan datang, halaman ini ditampilkan secara automatik di bahagian atas profil artis anda untuk peminat yang belum melakukan prasimpan.

Pilihan Artis membantu anda menyerlahkan perkara yang penting bagi anda – sama ada halaman kira detik anda, keluaran baharu, playlist, pengumuman persembahan, barang dagangan baharu, video muzik atau podcast – yang boleh anda tetapkan atau ubah pada bila-bila masa di Spotify for Artists. Secara lalai, Pilihan Artis anda akan tamat tempoh selepas enam bulan, jadi jangan lupa untuk membuat penukaran supaya Pilihan Artis anda kekal terkini untuk peminat anda. Anda juga boleh menambahkan komen artis pada Pilihan Artis anda untuk memberikan konteks tambahan.

Keluaran Popular menyerlahkan keluaran akan datang anda, album, EP dan single anda yang paling kerap distrim, dengan mengambil kira keluaran terkini juga.

Menampilkan memaparkan playlist editorial dan algoritma yang mengandungi lagu anda, seperti playlist “This Is…” dan radio.

Video Muzik mempunyai ruang baharu pada profil artis anda. Video muzik juga dikaitkan terus kepada lagu audio anda yang sepadan, jadi lebih mudah untuk peminat anda menerokai dunia visual di sekeliling muzik anda. Video muzik masih dalam versi beta dan dimuat naik ke Spotify melalui bilangan pengedar yang terhad.

Perihal menyiarkan biodata artis anda. Pastikan anda mengemaskinikan biodata anda dengan mengikut langkah-langkah ini dan menyemak petua kami untuk memanfaatkan 1500 aksara tersebut sepenuhnya. Jika anda menambahkan foto pada galeri imej anda atau menyediakan pautan sosial anda (Facebook, X, Instagram dan Wikipedia), foto itu juga akan dipaparkan pada bahagian Perihal

Sokongan Peminat membolehkan anda menyerlahkan destinasi pungutan derma — untuk diri sendiri, pasukan anda atau perjuangan — dengan menyediakan pautan Sokongan Peminat melalui Spotify for Artists dan dengan mengikuti amalan terbaik ini.

Playlist Artis membolehkan anda menampilkan mana-mana playlist pada profil artis anda. Tunjukkan playlist yang mengandungi muzik anda atau playlist yang anda minati – ketahui lebih lanjut di sini.

Peminat Juga Suka mencadangkan artis yang peminat anda mungkin berminat berdasarkan gaya muzik anda dan kebiasaan aktiviti mendengar mereka. Baru-baru ini, kami telah mengemaskinikan Peminat Juga Suka, maka sekarang lebih ramai artis mempunyai bahagian Peminat Juga Suka pada profil mereka dan data akan mencerminkan lagu yang peminat anda dengar dengan lebih tepat. Kami akan terus memperhalus ciri ini untuk memastikan ketepatan yang lebih hebat dari masa ke masa.

Muncul Di menunjukkan album dan kompilasi yang anda merupakan penyumbang sebagai artis, pencipta lagu atau penerbit.

Clip

Menonjolkan diri dalam kalangan pencipta kandungan dalam talian untuk menjangkau pendengar baharu—dan menukar hubungan itu menjadi kumpulan peminat yang berkekalan, bukan semata-mata kejayaan yang tular seketika—adalah amat mencabar bagi artis. Itulah sebab kami membina Clip: video menegak kurang daripada 30 saat yang membolehkan anda menyerlahkan kreativiti anda dan mengeratkan hubungan dengan peminat anda, sambil mengetengahkan muzik anda.

Kini juga terdapat tab Clip khusus pada profil artis anda—bersebelahan muzik, barang dagangan dan acara anda—memudahkan tontonan dan tontonan semula video anda oleh peminat. Setiap kali anda memuat naik Clip baharu ke Spotify for Artists, Clip ditampilkan secara automatik dalam tab Clip pada profil artis anda agar mudah ditemukan—bersama-sama dengan paparan utama di seluruh Spotify, termasuk Halaman Kira Detik, Laman Utama dan Halaman Keluaran.

Clip boleh membantu anda mendorong keseronokan prakeluaran atau menonjolkan muzik anda pada bila-bila masa dalam kitaran keluaran anda. Dengan setiap tontonan, peminat cenderung untuk terlibat semula dengan katalog penuh anda dan mendorong metrik yang penting untuk jangka panjang—penyimpanan, ikutan dan strim. Clip kini tersedia dalam versi beta untuk ribuan artis di seluruh dunia.

Acara

Tiada apa-apa yang dapat mengatasi tindakan berhubung dengan peminat anda secara bersemuka–dan untuk menyerlahkan peluang tersebut kepada pendengar anda, acara langsung anda yang akan datang kini dipaparkan pada profil artis anda. Peminat boleh melawati tab Acara untuk menemukan konsert anda yang akan datang, dengan acara yang dianjurkan berhampiran mereka ditapis pada bahagian atas senarai. Secara lebih khusus, mereka boleh menyemak imbas semua acara anda yang akan datang, membeli tiket atau menyimpan acara pada pustaka mereka untuk dilihat semula kemudian, sambil mendengar muzik anda di Spotify. Acara ini dikemaskinikan secara automatik daripada rakan niaga tiket pihak ketiga kami.

Pengujian tab acara tertentu telah menyebabkan pertambahan sebanyak 70% dalam penglibatan pengguna dengan konsert di platform yang kemudiannya membawa kepada peningkatan sebanyak 15% dalam pembelian tiket konsert oleh pengguna.

Barang Dagangan

Kami telah menyebut sebelum ini dan kami akan ulangi sekali lagi; barang dagangan dan muzik adalah lebih baik jika digandingkan bersama! Sebab itulah kami membuat ruang khusus dalam profil artis anda yang membolehkan peminat menyemak imbas dan membeli barang dagangan anda yang tersedia yang dipautkan daripada Shopify.

Anda kini boleh mempamerkan hingga 12 item barang dagangan dalam tab barang dagangan supaya anda boleh terus membina hubungan yang bermakna dengan peminat anda dan mereka boleh menunjukkan sokongan mereka. Anda boleh memberikan sehingga dua item paling popular pada tab barang dagangan dengan "menyematkan" barang pada Spotify for Artists. Jika tiada, item yang anda senaraikan baru-baru ini akan muncul dahulu. Ujian kami telah menunjukkan bahawa penampilan barang dagangan anda dalam tab khusus dan pameran lebih banyak item menyebabkan lebih banyak interaksi peminat dan pembelian barang dagangan. Kami telah melihat peningkatan sebanyak 22% dalam pembelian item barang dagangan oleh pengguna semasa melawati tab barang dagangan pada profil artis.

Bagi peminat, penemuan barang dagangan anda di Spotify lebih mudah daripada biasa. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyenaraian produk anda dan untuk membuat persediaan, semak panduan Permulaan Barang Dagangan kami.

Pastikan anda mengambil kesempatan daripada saat penemuan dan hubungan yang penting ini dengan memanfaatkan alat dan ciri yang tersedia untuk anda di Spotify for Artists. Kami akan terus menguji dan memperkenalkan ciri baharu yang mengujakan, maka nantikan perkembangan.

Nota: reka bentuk tab tersedia pada aplikasi mudah alih Spotify

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini