Produk

Ketahui Segalanya Tentang Data Anda

September 27, 2017

Kami faham, menjadi seorang artis bukanlah kerja yang mudah. Anda bekerja keras untuk menulis, merakam dan mengeluarkan muzik. Apabila anda membuat keputusan atau mengeluarkan muzik baharu, anda perlu mengetahui perkara yang berkesan dengan mudah.

Itulah sebabnya kami teruja untuk mengumumkan beberapa perubahan penting pada data yang kami tawarkan kepada semua artis di Spotify. Ini yang telah kami laksanakan.

Kini, kami menyediakan statistik untuk semua lagu anda.

Dahulu, kami cuma memaparkan data pada lagu yang mencecah 1000 strim. Kini, anda boleh melihat statistik untuk 200 lagu popular anda, tanpa mengira kekerapan lagu telah distrim, agar anda boleh menjejak keluaran anda dari hari pertama.

Kami memperkenalkan tapisan masa.

Ini perubahan yang bagus: Kini, anda boleh menapis data anda mengikut perkara yang berlaku dalam tempoh tujuh hari, 28 hari dan dua tahun sebelum ini. (Data ini bermula pada 1 Januari 2015, atau sejak muzik anda pertama kali muncul di Spotify.) Anda boleh menggunakan tapisan ini untuk melihat hasil kerja anda. Adakah berbaloi untuk anda mengupah pegawai PR atau mengadakan AMA di Reddit? Sekarang, anda akan mendapat jawapannya. Kami juga telah menambah strim artis sepanjang masa dan graf pendengar, maka anda boleh menjejak jumlah strim dan pendengar bagi semua lagu anda, dari tahun 2015. Sangat hebat.

Kami menambah pengikut pada data anda.

Dengan garis masa baharu untuk mengukur pengikut anda, maka lebih mudah untuk anda menumpukan perhatian bagi mengembangkan jumlah pengikut. Anda akan mengingati pengikut: Pendengar anda yang paling setia, siapa yang cukup menyukai anda untuk mengklik pada butang kecil hijau "ikut" itu pada halaman profil anda. Anggap pengikut anda sebagai senarai mel anda di Spotify: mereka menerima kemas kini tentang anda sebelum orang lain. Sebaik sahaja pendengar mengikuti anda, muzik anda akan muncul dalam Release Radar mereka secara automatik iaitu playlist mingguan yang diperibadikan, dikeluarkan setiap Jumaat dan mengandungi keluaran baharu daripada artis yang diikuti oleh pendengar, atau yang paling kerap didengari oleh pendengar. Mereka juga menerima e-mel cadangan konsert anda apabila anda tiba di tempat mereka. (Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara untuk memanfaatkan konsert di Spotify dengan sepenuhnya, di sini.)

Sekadar makluman, kami sentiasa mengesyorkan agar anda menumpukan perhatian untuk meningkatkan jumlah pengikut anda. Salah satu cara paling mudah untuk berbuat demikian adalah meminta orang untuk mengikuti anda melalui akaun media sosial anda atau dengan melaungkannya di atas pentas. Cuba pertimbangkan. Kami juga mempunyai butang ikut yang boleh anda benamkan pada laman web anda untuk memudahkan pengikut anda mencari dan mengikuti anda. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang perkara tersebut di sini.

Kami akan menyingkirkan kategori "peminat".

Anda memberitahu kami bahawa metrik "peminat" agak mengelirukan. Oleh itu, kami akan mengeluarkan statistik itu buat masa sekarang. Kami akan terus mencari cara yang lebih baik untuk menunjukkan tahap penglibatan yang berbeza dalam kalangan audiens anda kepada anda. Pengikut ialah langkah pertama, tetapi kami akan terus membangunkan cara baharu untuk menunjukkan cara berbeza orang ramai mendengar kepada anda.

Oleh Emily White

Ingin mengetahui lebih lanjut tentang mempromosikan diri anda di Spotify? Lihat panduan berguna kami tentang promosi di sini.

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular