JENIS ROYALTIMuzik anda menjana dua jenis royalti di Spotify
Royalti rakamanIni ialah wang yang dibayar kepada pemegang hak muzik rakaman, yang diagihkan kepada artis melalui pemberi lesen yang dipilih untuk menyampaikan muzik mereka — lazimnya syarikat rakaman atau pengedar.
Royalti penerbitanWang yang dibayar kepada pencipta lagu atau pemilik gubahan yang meliputi hak persembahan dan juga mekanikal. Pembayaran dikeluarkan kepada penerbit, organisasi hak persembahan (PRO) dan agensi mekanikal berdasarkan wilayah penggunaan berlaku.
PENGIRAAN ROYALTI
Royalti dikira mengikut pecahan strimSpotify, seperti setiap perkhidmatan penstriman utama, membayar royalti berdasarkan pecahan strim keseluruhan artis atau pencipta lagu merentasi platform — bukannya berdasarkan kadar setiap strim yang tetap.
  • Kira-kira dua pertiga daripada hasil muzik Spotify (daripada yuran langganan dan pengiklanan Premium) diperuntukkan untuk royalti rakaman dan penerbitan, dengan kira-kira empat perlima jumlah tersebut untuk rakaman dan satu perlima untuk penerbitan.
  • Kami membayar pemegang hak berdasarkan pecahan strim — pecahan jumlah strim pada bulan tertentu. Contohnya, jika artis menyumbang 1% daripada semua strim di sebuah negara, pemegang hak mereka menerima 1% royalti rakaman yang kami bayar di negara itu.
  • Pemegang hak kemudian membayar artis dan pencipta lagu mengikut perjanjian individu masing-masing.
  • How the money flowsCara royalti bergerak daripada Spotify kepada andaApabila muzik anda distrim di Spotify — sama ada pada Premium atau Free — royalti dikira dan dibayar kepada pemegang hak. Dari situ, wang bergerak melalui label, pengedar, penerbit dan organisasi pengurusan kolektif (CMO), seperti PRO dan agensi mekanikal, sebelum disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

    Grafik berikut menunjukkan laluan lazim untuk royalti rakaman dan juga penerbitan.

    Artis dan pencipta lagu mungkin membayar komisen atau yuran perkhidmatan daripada pendapatan mereka kepada pengurus, rakan usaha sama atau ahli pasukan. Pembayaran ini berasingan daripada pembayaran royalti.
    Loud & Clear - laporan ekonomi muzik tahunan kamiLihat cara artis pada setiap peringkat menjana royalti di Spotify pada tahun 2024.
    Mitos lazim tentang royalti Spotify

    Spotify membayar royalti kepada pemegang hak terpilih bagi artis dan pencipta lagu, yang kemudiannya membayar artis dan pencipta lagu berdasarkan perjanjian individu masing-masing.

    Tiada peminat atau perkhidmatan penstriman utama yang membayar kadar tetap bagi setiap strim. Royalti adalah berdasarkan pecahan strim.

    Spotify membayar kira-kira dua pertiga hasilnya kepada pemegang hak rakaman dan penerbitan bagi pihak artis dan pencipta lagu yang diwakili oleh mereka.

    MENERIMA BAYARAN
    Daftarkan muzik andaUntuk memastikan anda menerima royalti penerbitan yang terhutang kepada anda, anda perlu mendaftarkan muzik anda.
  • Daftarkan lagu anda dengan PRO, agensi mekanikal atau penerbit anda agar penggunaan lagu dapat dijejaki dan royalti penciptaan lagu anda dibayar.
  • Pastikan tajuk lagu, nama pencipta dan pecahan dipersetujui dan dimasukkan dengan betul. Kesalahan ejaan atau butiran yang tiada boleh menangguhkan atau menyekat pembayaran royalti.
  • MENERIMA BAYARAN
    Cara mengekalkan kawalan terhadap pembayaran andaBeberapa langkah mudah boleh membantu anda mengelakkan pembayaran terlepas dan memberi anda gambaran yang lebih jelas tentang aliran royalti anda.
  • Fahami jenis perjanjian anda dengan pemegang hak anda, termasuk peratusan yang diambil oleh setiap pihak, apa-apa kos pentadbiran dan manfaat yang ditawarkan oleh mereka.
  • Luangkan masa untuk menyemak penyata royalti anda. Penyata menunjukkan punca pendapatan anda dan tempoh yang berkaitan secara tepat.
  • Pertimbangkan sama ada anda telah menerima bayaran pendahuluan atau tidak serta status bayaran balik semasa anda.
  • Soalan anda, terjawab
    • Penyata royalti dan papan pemuka dalam talian anda daripada pemegang hak anda sepatutnya menunjukkan pecahan pendapatan anda, termasuk butiran penggunaan, perkhidmatan dan wilayah punca pendapatan anda serta tempoh yang berkenaan.
    • Langganan Premium menjana lebih banyak hasil secara keseluruhan, jadi strim daripada pengguna Premium memberikan sumbangan lebih besar kepada jumlah himpunan royalti berbanding dengan strim daripada pengguna Free, yang mainan disokong oleh hasil pengiklanan. Walaupun strim Premium menambahkan nilai yang lebih besar pada himpunan, pembayaran mungkin berbeza-beza bergantung pada faktor seperti negara pendengar, pelan langganan dan jumlah penstriman keseluruhan. Pembayaran akhir juga ditentukan oleh pecahan strim setiap pemegang hak.
    • Pembayaran yang anda terima akan bergantung pada royalti yang dijana oleh muzik anda di Spotify dan juga terma perjanjian anda dengan label, pengedar, penerbit dan CMO anda.

      Bagi artis, ini boleh terdiri daripada perjanjian label tradisional, yang label lazimnya mengambil sebahagian besar wang sebagai pertukaran untuk pemasaran, promosi dan sokongan A&R, kepada perkongsian 50/50 dan model perkhidmatan atau pengagihan yang artis menerima hampir 100% pendapatan mereka selepas yuran.

      Bagi pencipta lagu, perjanjian penerbitan juga berbeza-beza: perjanjian penerbitan tradisional, yang penerbit mengawal dan melesenkan lagu serta memberikan sokongan kreatif sebagai pertukaran untuk pecahan royalti; perjanjian penerbitan bersama yang memberi anda pecahan yang lebih besar; dan perjanjian pentadbiran sahaja yang anda mengekalkan pemilikan penuh sambil membayar yuran pentadbiran yang kecil. CMO juga akan mengenakan yuran pentadbiran sebelum membayar royalti.
    • Kepopularan penstriman berbayar telah mewujudkan model mampan yang membolehkan artis pada semua peringkat berkembang maju. Lebih ramai artis menjana lebih banyak wang di Spotify berbanding dengan dahulu. Malah, bilangan artis yang menjana royalti pada setiap ambang di halaman Loud & Clear kami — daripada $1,000 hingga $10 juta setahun — telah meningkat sekurang-kurangnya tiga kali ganda sejak tahun 2017.

      Pada tahun 2024, lebih daripada 71,000 artis menjana sekurang-kurangnya $10,000 daripada Spotify sahaja. Antara tahun 2017 hingga 2024, artis ke-10,000 di Spotify telah menyaksikan royalti mereka meningkat daripada $34 ribu kepada $131 ribu. Sementara itu, lebih daripada 80% daripada hampir 1,500 artis yang menjana $1 juta di Spotify tidak pernah mempunyai lagu yang memasuki carta 50 Teratas kami.

      Kami juga menyaksikan kejayaan berterusan merentasi sektor bebas. Pada tahun 2024, artis dan label bebas telah menjana lebih daripada $5 bilion daripada Spotify secara kolektif - mewakili kira-kira separuh daripada jumlah royalti Spotify untuk tempoh setahun.

      Penstriman telah mengubah asas ekosistem muzik, mengurangkan halangan penyertaan untuk artis daripada semua peringkat dan mendemokrasikan akses kepada audio untuk pendengar di seluruh dunia. Artis tidak lagi perlu menjadi bintang super dengan akses kepada belanjawan yang besar untuk membuat, mengedarkan dan menonjolkan muzik mereka secara global.
    • Dalam era penstriman, peminat tidak membayar bagi setiap lagu, tiada perkhidmatan penstriman utama membayar bagi setiap strim, jadi kami tidak percaya bahawa “kadar setiap strim” ialah angka yang bermakna dari segi analisis. Secara umum, semua perkhidmatan penstriman membayar dengan cara yang sama: Kira-kira dua pertiga daripada hasil muzik dibayar semula kepada pemegang hak berdasarkan pecahan strim masing-masing.

      Jadi, jika setiap perkhidmatan membuat pembayaran dengan cara yang sama, mengapakah purata pembayaran bagi setiap strim berbeza bagi setiap perkhidmatan?

      Pengiraannya mudah: Jumlah pembayaran ÷ jumlah strim = “kadar setiap strim.”

      Jadi jika pengguna perkhidmatan tidak banyak menstrim, “kadar setiap strim” adalah lebih tinggi. Namun, masalahnya ialah penstriman yang lebih kerap bermakna orang menyukai produk tersebut dan akan terus membayar untuk mendengar muzik (serta mendorong strim dan wang kepada kumpulan artis dan pencipta lagu yang lebih luas). Jika anda jarang menstrim, anda kurang berkemungkinan kekal sebagai pelanggan Premium, yang bermakna kurang wang untuk artis dan pencipta lagu.

      Spotify menawarkan perkhidmatan yang paling menarik, yang menyebabkan pengguna menstrim lebih kerap setiap bulan. Itulah sebabnya Spotify dapat mengembangkan kumpulan pelanggannya dan mempunyai jumlah pembayaran yang paling tinggi: $10+ bilion pada tahun 2024, meningkat 10x berbanding dengan 10 tahun yang lalu. Semua orang dalam industri pasti menginginkan lebih banyak strim bagi setiap pengguna, bukannya kurang.

      Pembinaan perkhidmatan yang memberikan inspirasi kepada pendengar untuk menstrim banyak muzik setiap bulan mengurangkan “kadar setiap strim” di Spotify namun meningkatkan jumlah pembayaran. Kami percaya artis dan pencipta lagu menginginkan pembayaran yang lebih besar berbanding dengan “kadar setiap strim” yang lebih tinggi.
    • Spotify melabur dengan banyak dalam pengesanan, pencegahan dan pengeluaran impak royalti strim buatan.

      Kami mahu memastikan bahawa strim buatan tidak mendatangkan manfaat – serta tidak mewujudkan apa-apa kesan negatif tidak langsung pada strim yang sah. Dasar Spotify menyatakan bahawa apabila kami mengesan apa-apa strim buatan, penalti berikut dikenakan:

      * Strim itu tidak menerima royalti
      * Strim itu tidak dikira dalam bilangan atau carta strim umum
      * Strim itu tidak mempengaruhi algoritma cadangan secara positif

      Bergantung pada tahap keterukan penstriman buatan yang dikesan, penalti tambahan termasuk:

      * Pengeluaran lagu daripada playlist Spotify
      * Pengedar lagu, selepas diberitahu tentang penstriman buatan oleh Spotify, boleh memberikan amaran, mengenakan bayaran penalti, menggantung akaun pengguna atau mengeluarkan lagu daripada Spotify
      * Pengeluaran lagu daripada Spotify sama sekali, dalam kes lagu yang nampaknya dianggap sebagai perantara untuk mendayakan penstriman buatan

      Dalam sesetengah kes dengan lagu penstriman buatan, anda mungkin masih melihat peningkatan strim dalam data Spotify for Artists peribadi anda, walaupun royalti yang berkaitan telah ditahan dan metrik awam (kiraan strim lagu dan kiraan pendengar bulanan sepanjang masa) telah dilaraskan. Dalam kes lain, kami dapat mengesan dan mengeluarkan strim buatan yang disahkan sebelum data sampai ke papan pemuka Spotify for Artists anda — yang bermaksud bahawa anda mungkin diberitahu tentang aktiviti penstriman buatan oleh pengedar anda, walaupun strim tidak kelihatan di Spotify for Artists anda. Apa-apa pun, laporan royalti daripada pemegang hak anda ialah sumber yang paling tepat untuk memahami royalti yang dijana daripada strim Spotify.

      Anda boleh membaca lebih lanjut tentang penstriman buatan di sini.
    • Pada bulan November 2023, kami telah mengumumkan dasar baharu untuk melindungi dan mengukuhkan ekosistem royalti muzik kami untuk artis baru muncul dan profesional. Dasar ini telah dibangunkan melalui perundingan dengan rakan industri — pengedar artis, label bebas, label utama, pengedar label, serta artis dan pasukan mereka.

      Hari ini, Spotify mengehoskan lebih 100 juta lagu. Puluhan juta lagu telah distrim antara 1 hingga 1,000 kali sepanjang tahun lalu dan, secara purata, lagu tersebut menjana sebanyak $0.03 sebulan.

      Oleh sebab label dan pengedar memerlukan jumlah minimum untuk mengeluarkan wang (kebiasaannya $2-$50 setiap pengeluaran), dan bank mengenakan bayaran untuk transaksi tersebut (kebiasaannya $1-$20 setiap pengeluaran), wang ini kebiasaannya tidak sampai kepada pemuat naik. Dan pembayaran kecil ini sering dilupakan.

      Namun secara agregat, pembayaran kecil yang diabaikan ini telah bertambah sehingga $40 juta setahun, yang sepatutnya boleh meningkatkan pembayaran kepada artis yang amat bergantung pada hasil penstriman.

      Bermula pada bulan April 2024, lagu perlu mencapai ambang sekurang-kurangnya 1,000 strim dalam 12 bulan sebelumnya untuk dimasukkan dalam pengiraan himpunan royalti muzik rakaman. Spotify tidak memperoleh wang tambahan di bawah model ini dan dasar ini tidak mempunyai kesan ke atas jumlah himpunan royalti muzik yang dibayar oleh Spotify; kami hanya menggunakan jutaan dolar setiap tahun untuk meningkatkan pembayaran kepada semua lagu yang layak, bukannya memecahkan pembayaran kepada bayaran $0.03.

      Berpuluh-puluh juta dolar setahun ini adalah lebih bermakna untuk meningkatkan pembayaran kepada artis yang amat bergantung pada hasil penstriman — daripada dipecahkan kepada pembayaran kecil yang biasanya tidak sampai kepada artis pun (kerana nilai pembayaran ini adalah kurang daripada ambang pembayaran minimum pengedar). 99.5% daripada kesemua strim ialah lagu yang mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 strim tahunan dan setiap lagu tersebut akan memperoleh lebih banyak wang di bawah dasar ini.

      Kami turut percaya bahawa dasar ini akan menghapuskan satu strategi yang digunakan untuk cuba memperdayakan sistem atau menyembunyikan penstriman buatan, kerana pemuat naik tidak lagi dapat menjana wang daripada jumlah lagu yang sangat tinggi.

      Tiada perubahan pada cara royalti penerbitan dikira. Pengiraan kelayakan ini hanya terpakai untuk royalti rakaman.

      Untuk mendapatkan butiran lanjut tentang dasar ini, semak pusat bantuan Spotify for Artists di sini.
    • Kami sedang membentuk masa depan industri muzik dan kami percaya bahawa perlindungan agresif daripada unsur paling teruk Gen AI adalah penting untuk mendayakan potensi Gen AI bagi artis, pencipta lagu dan penerbit.

      Kami membayangkan masa depan yang artis, pencipta lagu dan penerbit mengawal cara atau pilihan untuk menggabungkan AI dalam proses kreatif masing-masing. Seperti biasa, kami menyerahkan keputusan kreatif tersebut kepada mereka, sambil meneruskan usaha kami untuk melindungi mereka daripada spam, penyamaran dan penipuan, serta memberi pendengar ketelusan yang lebih jelas tentang muzik yang didengari.

      * Kami telah memperkenalkan dasar penyamaran baharu yang menjelaskan cara kami mengendalikan tuntutan tentang klon suara AI yang tidak dibenarkan (dan bentuk penyamaran vokal tanpa kebenaran lain), yang menyediakan perlindungan yang lebih kukuh dan langkah yang lebih jelas kepada artis. Penyamaran vokal hanya dibenarkan dalam muzik di Spotify apabila artis yang menjadi sasaran penyamaran membenarkan penggunaan tersebut.

      * Kami sedang melancarkan penapis spam baharu untuk mengenal pasti pemuat naik yang menggunakan taktik spam (muat naik secara besar-besaran, duplikasi, eksploitasi pengoptimuman enjin carian (SEO) dan penyalahgunaan lagu pendek buatan). Jika tidak dikawal, tingkah laku sedemikian boleh menjejaskan himpunan royalti dan perhatian bagi artis yang mematuhi peraturan. Penapis spam muzik baharu kami akan menyediakan perlindungan terhadap tingkah laku sedemikian dan mencegah pengguna spam daripada menjana royalti yang sebaliknya boleh diagihkan kepada artis dan pencipta lagu profesional.

      * Kami terlibat dalam pembangunan dan akan menyokong standard industri baharu untuk pendedahan AI dalam kredit muzik, yang dibangunkan melalui DDEX. Atas sebab maklumat tentang penggunaan AI ini dihantar melalui label, pengedar dan rakan kongsi muzik, kami akan mula memaparkan maklumat tersebut di seluruh aplikasi. Standard ini memberi artis dan pemegang hak cara untuk menyatakan dengan jelas tempat dan cara AI memainkan peranan dalam penciptaan lagu—sama ada vokal, instrumentasi, gubahan atau pascapenerbitan yang dijana oleh AI. Dengan menyokong standard industri dan mendorong penggunaan standard ini secara meluas, kami boleh memastikan bahawa pendengar melihat maklumat yang sama, tidak kira perkhidmatan yang digunakan oleh mereka. Akhir sekali, hal ini dapat mengekalkan kepercayaan merentasi seluruh ekosistem muzik, kerana pendengar dapat memahami unsur di sebalik muzik yang distrim oleh mereka. Kami menganggap ini sebagai langkah pertama penting yang akan terus berkembang.
    • Selain menjana hasil melalui royalti, artis dapat memperluas sumber hasil mereka melalui peluang seperti tiket dan barang dagangan.

      Kami bekerjasama dengan syarikat tiket konsert & festival dari seluruh dunia untuk menyenaraikan persembahan anda di Spotify secara automatik, serta mempromosikan persembahan merentasi suapan Acara Langsung, paparan Sedang Dimainkan dan banyak lagi. Sepanjang tahun lepas, 228,000 artis telah menyenaraikan konsert di Spotify; penyenaraian bagi 182,000 artis telah diklik oleh peminat; sebagai hasil, 74,000 artis berjaya menjual tiket.

      Selain itu, melalui penyepaduan Shopify kami, anda boleh menyambungkan gedung barang dagangan anda terus kepada profil artis Spotify anda untuk mempamerkan produk seperti kemeja-T, vinil, beg jinjing dan banyak lagi. Ini membolehkan peminat menemukan dan membeli barang dagangan anda semasa menstrim muzik anda, mewujudkan cara mengembangkan jualan dan mengukuhkan hubungan anda dengan pendengar yang lancar.

      Anda boleh membaca lebih lanjut tentang pengembangan perniagaan anda di Spotify di sini.