Produk

Di Sebalik Playlist: Soalan Anda Dijawab oleh Editor Playlist Kami

July 23, 2020

Bahagian ini merupakan sebahagian daripada misi berterusan kami dalam mencipta pemahaman yang lebih mendalam tentang playlist.

Kami tahu bahawa playlist Spotify adalah penting bagi anda dan anda mempunyai banyak soalan tentang proses pengusulan lagu, perkara di sebalik tabir dan amalan terbaik secara umum. Kami mahu memastikan anda mendapat jawapannya. Untuk itu, baru-baru ini kami menghubungi pengikut kami di Instagram untuk bertanya tentang perkara yang ingin anda tahu. Kemudian, kami menghantar pilihan kepada beberapa editor playlist kami untuk mendapatkan jawapan anda secara terus daripada sumbernya.

Selain maklum balas mereka di bawah, kami akan terus menyediakan maklumat yang diperlukan mengenai playlist apabila kita melangkah ke hadapan dalam siri Behind the Playlists kami. Misalnya, pada bulan lepas kami menemu bual editor playlist R&B agar dia dapat menjelaskan lebih lanjut tentang hari-harinya dan perkara yang dicari semasa mengedit playlist dalam bidang kuasanya. Kami juga mempunyai siri video How They Made It yang mana kami memprofilkan artis dan pasukan mereka yang berjaya mengusulkan muzik mereka kepada editor melalui Spotify for Artists, mencartakan kesan kumulatif peletakan lagu ini terhadap kerjaya mereka. Selain itu, terdapat siri editorial bulanan Playlists at Work kami, yang mana kami menemu bual artis seperti Shura, Georgia, Caamp, Conner Youngblood, Leila Pari dan ramai lagu untuk mengetahui tentang keberkesanan proses pengusulan buat mereka.

Bagi semua maklumat tentang cara mengusulkan muzik anda kepada editor, klik di sini atau tonton episod Game Plan kami, Cara untuk Dimasukkan Dalam Playlist dan Cara Playlist Berfungsi, yang menjelaskan lagi tentang perbezaan antara playlist editorial dengan algoritma. Sekarang, kami akan menjawab soalan anda!

@itskeireasterbrook: Adakah penulisan blog atau siaran radio penting untuk mendapat kemasukan dalam playlist?

Walaupun kami mengambil kira semua faktor yang ada, penulisan blog dan siaran radio tidak penting dalam menarik perhatian para editor kami. Maklumat yang anda berikan kepada kami semasa anda membuat usul ialah penghubung yang penting antara keluaran anda dan kami!

@trueking_99: Adakah saya memerlukan jumlah pengikut atau pendengar bulanan tertentu di Spotify untuk dimasukkan dalam playlist?

Tidak benar. Pengikut dan pendengar bulanan tidak diambil kira dalam keputusan kami. Kami mendengar lagu anda dan secara bebas, berusaha sedaya-upaya untuk mencari tempat yang sesuai untuk lagu tersebut dalam playlist kami (walaupun malangnya, mustahil untuk kami memuatkan semua lagu yang diusulkan).

@jnjmusic87: Jika lagu berjaya diletakkan dalam playlist Spotify, berapa lamakah lagu tersebut kekal aktif dalam playlist?

Ini bergantung pada beberapa perkara, jadual kemas kini playlist, jenis playlist, audiens playlist dan prestasi lagu dalam playlist. Sesetengah playlist seperti #ThrowbackThursday dan New Music Friday dikemas kini setiap minggu dengan pilihan kandungan baharu yang banyak. Playlist yang lain seperti POLLEN, mungkin dikemas kini pada kadens yang berbeza, mengikut jenis playlist dan perkara yang sesuai untuk pengalaman dalam jenis playlist tersebut (mood lawan senaman, dll).

@h3ggem: Bagaimanakah cara untuk dimasukkan dalam lebih banyak playlist editorial selepas keluaran lagu?

Walaupun anda tidak boleh mengusulkan muzik anda kepada kami melalui Spotify for Artists selepas keluaran, editor kami sememangnya mencari isyarat daripada data kami untuk lagu yang serasi pada platform kami. Cuba dan teruskan membina momentum untuk lagu anda dan berinteraksi dengan audiens anda—anda boleh menjejak prestasi lagu anda dalam berbilang ruang menggunakan alat analisis kami dalam Spotify for Artists. Tumpukan perhatian pada statistik audiens anda: siapa mereka, tempat mereka tinggal dan berhubung dengan orang di laman sosial anda. (Tonton video Game Plan ini tentang Cara Membaca Data Anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.)

@janmetternich: Wujudkah playlist untuk pendatang baru?

Kami ingin menggabungkan artis yang baharu atau kurang dikenali dalam pelbagai playlist di seluruh mood, aktiviti dan genre yang berbeza yang kami rasa akan disukai oleh pendengar, serta kami mahu membangunkan artis yang baru berkecimpung. Kami mempunyai playlist khusus seperti siri Penemuan Baru kami yang merangkumi sejumlah genre daripada hip hop kepada indie sehinggalah Latin. Penemuan Baru: The Wave pula menumpukan pada muzik R&B dan soul yang baharu serta playlist Fresh Finds yang khusus buat negara yang menumpukan pada muzik baharu daripada Filipina dan Indonesia serta negara lain. Ada banyak! Selain itu, baru-baru ini kami melancarkan playlist On Our Radar, yang tujuan utamanya adalah untuk mengetengahkan artis yang baru berkecimpung dan artis yang bakal menjadi terkenal.

Sejak kami melancarkan pengusulan kemasukan dalam playlist pada tahun 2018, setakat Februari 2020 ini, kami telah memasukkan 72,000 artis dan 20% pengusulan muzik dalam playlist. Jangan lupa bahawa apabila anda mengusulkan lagu anda kepada editor kami melalui Spotify for Artists sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh keluaran, lagu tersebut secara automatik akan layak dimasukkan dalam Release Radar—sebuah playlist yang diperibadikan untuk peminat yang menampilkan keluaran baharu daripada artis yang mereka ikuti, artis serupa yang mereka dengar dan muzik yang kami rasa mereka akan suka. Ini pula akan membantu algoritma. Oleh itu, tanpa mengira tahap anda dalam kerjaya anda, galakkan peminat anda untuk mengikuti anda di Spotify dan muzik anda akan dimasukkan dalam Release Radar mereka apabila lagu tersebut disiarkan!

@98shwe_tay: Bagaimanakah cara untuk menyokong artis yang tidak bernaung di bawah syarikat rakaman?

Semua artis mempunyai peluang yang setara untuk mengusulkan muzik mereka melalui alat pengusulan playlist kami dalam Spotify for Artists dan kami mempertimbangkan semua artis untuk dimasukkan dalam playlist. Kebanyakan daripada playlist kami menyokong pelbagai jenis artis, tanpa mengira sama ada mereka bernaung di bawah syarikat rakaman atau tidak. Selain itu, kami juga mempunyai playlist seperti Penemuan Baru, yang khusus dicipta untuk menyokong artis tanpa syarikat rakaman.

@synchrodisco: Adakah membayar untuk promosi playlist yang dipilih oleh pengguna suatu keputusan yang tidak baik?

Pertama sekali, anda tidak boleh membayar untuk dimasukkan dalam playlist rasmi Spotify. Jika ada sesiapa atau syarikat pihak ketiga yang menawarkan kemasukan dalam playlist dengan meminta wang, ini merupakan perkhidmatan manipulasi penstriman yang menentang garis panduan Spotify untuk promosi muzik. Perkara berikut adalah dilarang untuk apa-apa jua sebab: Menjual akaun atau playlist pengguna, atau sebaliknya, menerima atau menawarkan untuk menerima sebarang pampasan, kewangan atau sebaliknya, mempengaruhi nama akaun atau playlist atau kandungan yang disertakan dalam akaun atau playlist. Selain itu, kami juga membuang playlist yang dihasilkan pengguna yang menawarkan perkhidmatan ini secara berkala, maka hal ini tidak akan menguntungkan anda dalam jangka masa panjang. Editor dan algoritma kami diadakan untuk membawa muzik anda kepada audiens yang paling terbuka—playlist yang lain tidak berfungsi begini!

Untuk memberikan peluang terbaik kepada lagu anda agar dimasukkan dalam playlist, kami mengesyorkan supaya anda mengusulkan lagu anda sekurang-kurangnya seminggu lebih awal sebelum dikeluarkan, sama ada secara editorial atau algoritma. Butiran lanjut tentang cara untuk berbuat demikian boleh ditemui di sini. Untuk mendapatkan petua selanjutnya dan amalan terbaik untuk pengusulan kemasukan, baca yang seterusnya.

@iambluejay: Bagaimanakah cara untuk meningkatkan peluang saya agar dimasukkan dalam playlist? Adakah kurator Spotify mempunyai apa-apa nasihat?

Kami sentiasa mencari untuk memilih lebih banyak muzik dan artis dalam playlist kami, jadi kami benar-benar menghargai masa yang anda berikan dan luangkan dalam berkongsi kisah dan lagu anda dengan kami apabila anda mengusulkan muzik anda. Selain menyediakan konteks tentang muzik anda dan lagu tertentu yang anda hantar kepada kami, pastikan anda menghantar lagu anda sekurang-kurangnya seminggu lebih awal dari keluarannya dan isi setiap bahagian borang serahan setepat yang mungkin—soalan yang anda jawab tentang mood dan genre lagu anda sangat membantu dalam menarik perhatian editor terhadap muzik anda.

@haleyjonay: Ada petua untuk mengisi serahan playlist editorial?

Semasa anda membuat usul kepada kami, ingatlah bahawa editor ingin mengetahui tentang konteks dan komuniti. (Untuk mendapatkan butiran lanjut tentang cara berbuat demikian, klik di sini.) Beritahu kami tentang penyanyi, kandungan, sebab, waktu, tempat dan keadaan lagu anda. Siapakah yang menghasilkan lagu itu dengan anda? Mengapakah anda menghasilkan lagu itu? Bilakah lagu itu dihasilkan? Di manakah anda hasilkan lagu itu? Jika terdapat kisah yang menarik mengenai anda dan/atau lagu itu, sila maklumkan kepada kami. Muzik adalah penting tetapi konteks juga sangat membantu bagi kami. Apa-apa pun yang anda lakukan, kami galakkan anda untuk TIDAK membiarkan nota tersebut kosong! Lebih banyak maklumat yang kami ada tentang lagu hasil kerja keras anda ini, lebih baik hasilnya. Selain itu, sangat membantu untuk kami jika anda menyertakan sebarang rancangan media, video muzik, jadual keluaran dan promosi serta akaun media sosial yang dipautkan dalam profil artis anda, selain mengetahui tentang butiran lagu anda.

@austinselfmusic: Bagaimanakah cara untuk saya menghubungi kurator?

Sesiapa pun boleh mengusulkan muzik melalui Spotify for Artists, inilah tempat yang akan dicari oleh SEMUA editor untuk mendapatkan muzik baharu—terpulang kepada anda untuk menghubungi editor kami.

@diazgrimm77: Apakah cara terbaik untuk membina hubungan dengan kurator playlist utama?

Ini soalan yang bagus kerana penting untuk orang ramai tahu bahawa apabila lagu mereka dimasukkan dalam playlist, keputusan ini tidak dipengaruhi oleh hubungan yang dibina dengan editor. Mempunyai hubungan dengan sesiapa pun di Spotify tidak akan meningkatkan peluang anda untuk dimasukkan dalam playlist. Pendengar kami ialah keutamaan kami—kami mahu memasukkan pelbagai jenis artis dan muzik yang akan disukai oleh pengguna dalam playlist kami. Kami juga memperoleh inspirasi daripada hasil karya dan dedikasi anda. Oleh itu, menemui artis baharu ialah salah satu perkara yang sangat menarik dalam tugas kami.

Selain mengusulkan muzik anda kepada editor dan mengguna pakai amalan terbaik yang disenaraikan dalam jawapan di atas, terdapat alat Spotify for Artists lain yang boleh anda gunakan untuk membantu muzik anda mendapat perhatian. Misalnya, episod Game Plan ini menghuraikan tentang cara anda boleh menggunakan data anda untuk membina kempen media semasa keluaran. Terdapat juga maklumat lanjut tentang cara membaca dan menggunakan data anda di sini. Selain itu, terdapat banyak video membantu dalam siri Co.Lab kami yang melibatkan pakar industri memberi pendapat tentang segala-galanya daripada menukar data audiens anda menjadi urusan perniagaan kepada taktik dari segi percubaan mendapatkan lesen untuk dimasukkan dalam rancangan TV atau filem, sehinggalah artis R&B alternatif di Nashville iaitu R.LUM.R yang berbincang dengan lanjut tentang cara persediaannya untuk keluaran.

@young.rsa: Bagaimanakah individu mendapat tempat dalam playlist algoritma dan berapa lamakah mereka kekal dalam playlist?

Playlist algoritma seperti Discover Weekly dan Release Radar dikemas kini setiap minggu. Untuk Release Radar, keluaran baharu artis layak untuk muncul dalam playlist sehingga 28 hari setelah lagu dikeluarkan. Anda hanya boleh memasukkan satu lagu dalam Release Radar pada satu-satu masa, maka jika anda mengeluarkan beberapa lagu dalam tempoh sebulan, jangan lupa tentang perkara ini! Tiada apa-apa yang khusus yang boleh anda lakukan untuk dimasukkan dalam playlist algoritma.

@weareastera: Berapa lamakah saya boleh kekal dalam sesebuah playlist?

Tempoh anda kekal dalam sesebuah playlist bergantung pada beberapa perkara, jadual kemas kini playlist, jenis playlist, audiens playlist dan prestasi lagu dalam playlist. Sesetengah playlist seperti New Music Friday dikemas kini setiap minggu dengan pilihan kandungan baharu yang banyak. Playlist yang lain mungkin dikemas kini pada kadens yang berbeza, mengikut jenis playlist dan perkara yang sesuai untuk pengalaman dalam jenis playlist tersebut (mood lawan senaman, dll).

@varun_rawal : Bagaimanakah jika muzik saya boleh dikategorikan dalam banyak genre? _ Matlamat kami adalah untuk memprogramkan segala jenis lagu di pelbagai jenis playlist, mood, aktiviti dan genre yang kami rasa akan dinikmati oleh pendengar. Terdapat playlist khusus seperti POLLEN dan Lorem yang kami pilih untuk menyokong pelbagai genre dan artis yang "boleh dikategorikan dalam banyak genre" dalam satu ruang. Selain itu, kebanyakan playlist kami yang berdasarkan mood dan detik disediakan untuk menampilkan pelbagai gaya muzik, genre dan artis serta berkesan untuk memperkenalkan pelbagai muzik dan artis kepada audiens yang lebih ramai.

@ashesofmathieu: Adakah pengusulan untuk dimasukkan dalam playlist, diusulkan kepada kurator negara masing-masing atau kurator di seluruh dunia?

Semua usul yang dibuat melalui alat kami dalam Spotify for Artists disediakan kepada seluruh pasukan editorial global kami. Jika anda memperincikan lokasi dan bunyi budaya dalam usul anda, hal ini akan membantu pasukan tempatan yang tepat menemui muzik anda.

@jacobsawley: Adakah sebarang data kualitatif yang dipertimbangkan dalam proses kemasukan dalam playlist?

Sudah tentu. Muzik lebih penting buat kami berbanding angka. Kami mengutamakan pendengaran. Kami juga melihat perkara yang berlaku dalam budaya, artis yang melebihi keupayaan mereka dan kami sentiasa mempertimbangkan pelbagai ciri muzik semasa memilih (daripada bpm dan tempo sehinggalah struktur dan gaya utama lagu). Misalnya, sempena Juneteenth, playlist New Music Friday kami akan terdiri daripada artis Berkulit Hitam sepenuhnya dan kami menampilkan artis tempatan dalam playlist New York City kami.

@cmnd_z.official: Bagaimanakah editor/algoritma menilai bahasa eksplisit?

Kami sentiasa mencuba dan memberikan tag apabila lagu mengandungi kandungan eksplisit dalam playlist. Terdapat juga beberapa playlist dan audiens yang tidak akan disediakan lagu eksplisit seperti playlist Coffee Shop Vibes, seperti dalam program Spotify Kids kami dan sebagainya.

@jepicspics: Bolehkah anda menghantar maklum balas kepada artis yang tidak pernah dimasukkan dalam playlist agar kami boleh menambah baik usaha kami.

Walaupun kami faham betapa pentingnya maklum balas buat perjalanan dan perkembangan anda sebagai seorang artis, namun mustahil untuk kami berbuat demikian kerana kami menerima terlalu banyak usul untuk membalas setiap satu. Ini akan mengambil masa daripada fokus kami terhadap mendengar dan memilih sebanyak mungkin lagu daripada seramai mungkin artis yang ada. Sebagai penanda aras, kira-kira 20% lagu yang diusulkan melalui Spotify for Artists dimasukkan dalam sekurang-kurangnya satu playlist.

@brokeroyals: Adakah editor Spotify mencari inspirasi daripada playlist pihak ketiga?

Setiap editor kami adalah unik dan bekerja dengan cara yang berbeza, namun mereka semua sentiasa mencari inspirasi daripada penerbitan muzik yang berbeza dan detik kebudayaan serta perkara yang ditekankan pada halaman dan playlist artis.

@Raitila.rajasthan: Sebagai band muzik folk yang hanya membuat persembahan, bolehkah kami mengusulkan rakaman secara langsung?

Ya, kami mengalu-alukan anda untuk mengusulkan apa-apa jenis rakaman, sama ada rakaman studio atau secara langsung selagi rakaman tersebut dihantar ke Spotify. Anda akan dapat melihat pilihan untuk menentukan jenis rakaman bagi keluaran anda dalam proses pengusulan.

@thoughttheorymusic: Adakah kami perlu melalui pengedar pilihan Spotify untuk dimasukkan dalam playlist?

Tidak! Kami tidak merujuk pada maklumat pengagihan semasa mendengar usul baharu. Anda boleh menggunakan pengedar pilihan anda, kami tidak mendiskriminasikan sesiapa. Untuk mendapatkan senarai penuh semua pengedar yang bekerjasama dengan kami, sila lihat direktori pembekal kami.

@rajiv_3: Adakah sesebuah lagu perlu mempunyai panjang tertentu untuk dimasukkan dalam playlist?

Tidak benar. Lagu boleh dimasukkan dalam playlist tanpa mengira panjang. Walau bagaimanapun, kami mengesyorkan agar anda berusaha sedaya-upaya semasa membuat usul dengan berkongsi lagu terbaik anda.

Terima kasih kepada semua orang yang menghantar soalan melalui Instagram. Kami akan terus mengadakan AMA dan lebih banyak kandungan berkaitan playlist pada masa akan datang, jadi sila ikuti kami di Twitter dan Instagram untuk mendapatkan maklumat lanjut!

- Editor Spotify for Artists & Spotify

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular