Produk
Memperkenalkan Pilihan Pengumpulan Dana Artis
Mengukuhkan pengumpulan dana artis dengan capaian global Spotify dan usaha bantuan artis sebanyak $1 juta daripada Cash App.
Sejak bermulanya pandemik COVID-19, Spotify telah berhubung dengan rakan kongsi kami di seluruh industri untuk membincangkan tentang cara kami boleh menyokong artis dan komuniti kreatif yang sangat terjejas dengan kesan virus yang membimbangkan ini. Walaupun penstriman terus memainkan peranan yang penting dalam menghubungkan karyawan dengan peminat mereka, banyak lagi sumber pendapatan lain terganggu atau terus dihentikan oleh krisis ini.
Untuk cuba membantu golongan yang sangat memerlukan dalam komuniti muzik, Spotify telah membuat sumbangan kepada MusiCares, CDC dan WHO serta menubuhkan dana $10 juta yang sepadan melalui projek Bantuan Muzik COVID-19 Spotify dengan organisasi sokongan artis tambahan di seluruh dunia yang turut serta beberapa minggu yang lepas.
Kami juga berasa kami boleh membantu memberikan capaian global Spotify kepada artis yang mengumpul dana sewaktu masa yang mencabar ini, untuk membantu mereka menyampaikan berita kepada peminat, yang kebanyakannya akan melihat mereka di Spotify setiap hari. Kami telah benar-benar memperoleh inspirasi daripada peminat yang mahu membantu artis yang mereka kasihi dan telah membuat sumbangan secara langsung.
Itulah sebabnya kini, Spotify for Artists melancarkan ciri baharu: Pilihan Pengumpulan Dana Artis. Sama seperti artis yang boleh memilih mana-mana muzik untuk diserlahkan pada profil mereka sebagai Pilihan Artis, kini mereka boleh menyerlahkan tempat pengumpulan dana (selain Pilihan Artis mereka).
Pertama sekali, ciri ini membolehkan artis yang berminat untuk mengumpul dana bagi menyara diri mereka, band atau kru mereka, untuk menyampaikan berita kepada peminat mereka pada profil artis Spotify mereka. Kami mempunyai sekumpulan rakan pengumpulan dana awal yang kukuh: Artis boleh memilih untuk menambah pautan ke Cash App, GoFundMe dan PayPal.me.
Kami terutamanya teruja tentang perkongsian kami dengan Cash App kerana mereka dengan murah hatinya menubuhkan usaha bantuan sebanyak $1 juta untuk artis pada masa yang mencabar ini. Pengguna Spotify for Artists yang menghantar nama pengguna “$cashtag” mereka sebagai Pilihan Pengumpulan Dana Artis mereka dan memperoleh sekurang-kurangnya satu sumbangan pada mana-mana nilai melalui Spotify akan menerima $100 tambahan dalam akaun mereka daripada Cash App, sehingga jumlah kolektif sebanyak $1 juta telah disumbangkan. Usaha ini tersedia untuk artis di AS & UK, tetapi pendengar Spotify yang berada di seluruh dunia juga masih boleh membuat sumbangan melalui Cash App. (KEMAS KINI 05/04: Beribu-ribu peminat sudah menyokong 10,000 artis melalui Cash App di Spotify dan hasilnya, sumbangan tambahan untuk artis sebanyak $1 juta USD telah berjaya dicapai.)
Kami juga telah mencipta pilihan untuk artis mengumpul dana bagi inisiatif yang berkaitan bagi membantu golongan yang paling terjejas dalam industri muzik. Artis boleh memilih mana-mana organisasi sah yang mengambil bahagian dalam projek Bantuan Muzik COVID-19.
Artis dari seluruh dunia dan pada pelbagai peringkat kerjaya mereka sedang bekerjasama dengan kami untuk membantu melancarkan Pilihan Pengumpulan Dana Artis. Misalnya:
Tyrese Pope mengumpulkan dana melalui Cash App: "Saya sudah agak lama menggunakan Cash App untuk mengumpul dana tetapi apabila pendengar kini sudah boleh menyumbang melalui Spotify, maka ini akan membawa perubahan yang lebih ketara. Apabila konsert jelajah sudah tidak dapat dianjurkan, maka lebih sukar untuk artis mencari rezeki. Oleh hal yang demikian, sumbangan tambahan daripada Cash App dan juga pendengar akan benar-benar membantu ketika kami sangat memerlukan."
Boy Scouts juga mengumpulkan dana melalui Cash App: "Seperti ramai artis yang lain, saya tidak bekerja kerana konsert jelajah telah dibatalkan atau ditangguhkan disebabkan oleh COVID-19. Sebarang bantuan adalah dihargai sambil kami terus berusaha mencari jalan baharu untuk menyara diri."
Benjamin Ingrosso mengumpulkan dana untuk Musikerforbundet: "Saya mahu membantu dengan daya upaya saya pada waktu yang sukar ini. Saya telah melihat ramai rakan pemuzik yang kehilangan kerja disebabkan oleh situasi sekarang. Ramai dalam kalangan kami yang tidak tahu bila kami boleh bekerja semula. Muzik sentiasa membantu kami mengharungi masa sukar sebegini dan juga menemani kami dalam meraikan semua detik bahagia. Saya berharap agar pengumpulan dana untuk Musikerförbundet boleh membantu kami mengharungi cabaran ini dan membantu kami naik semula ke atas pentas. Apabila semua ini sudah berakhir, kami berharap dapat membawa kebahagiaan kepada orang ramai semula dengan persembahan muzik secara langsung."
Marshmello mengumpulkan dana untuk MusiCares: "Ramai daripada kita terjejas dengan virus COVID-19 dan kita perlu bergabung tenaga dan membantu satu sama lain, terutamanya sekarang. MusiCares membantu semua pemuzik, penerbit, pencipta lagu, jurutera dan ramai lagi pekerja industri muzik. Mari kita semua berusaha untuk membantu mereka yang sangat memerlukan!"
Pengguna pentadbir Spotify for Artists boleh memilih "Mari bermula" pada sepanduk di bahagian atas papan pemuka mereka untuk menyerahkan Pilihan Pengumpulan Dana mereka. Layari panduan amalan terbaik kami untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara ini berfungsi. Pilihan pengumpulan dana yang anda pilih adalah bergantung pada anda: Anda boleh kumpul dana untuk diri sendiri, kru anda, rakan badan amal — selagi pilihan itu sesuai dengan dasar keselamatan kami.
Memandangkan kesegeraan dan impak krisis COVID-19, kami berusaha secepat mungkin untuk membangunkan produk baharu ini dan menawarkan kepada seramai artis yang mungkin. Walau bagaimanapun, kami belum pernah membina ciri pengumpulan dana sebegini sebelum ini. Kami menganggap ini sebagai versi pertama yang akan berkembang sambil kami terus menerokai cara untuk menjadikan versi ini bermanfaat dengan sebaik mungkin bagi komuniti muzik.
Waktu sekarang adalah sangat sukar bagi kebanyakan pengguna Spotify dan masyarakat di seluruh dunia, dan ada banyak tujuan yang wajar disokong pada masa ini. Dengan ciri ini, kami cuma berharap kami dapat mendayakan orang yang berminat dan tujuan untuk menyokong artis pada masa yang mendesak ini serta untuk mencipta peluang lain bagi rakan niaga Bantuan Muzik COVID-19 kami bagi mencari sokongan kewangan yang diperlukan untuk terus bekerja dan mengangkat industri muzik kita.
— Spotify for Artists
Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.