Produk

ICYMI: Rumusan Ciri Spotify for Artists 2018 yang Baharu

December 19, 2018

Kami mengimbas kembali tahun ini dari segi kemas kini produk dan cara kemas kini ini telah memberi impak kepada komuniti artis di Spotify.

Muzik pada tahun ini dipenuhi dengan topik hangat dan peningkatan yang ketara. Daripada ledakan K-Pop kepada tumpuan terhadap kesihatan mental yang sangat diperlukan, perdebatan tentang lagu yang lebih pendek, langkah yang penting dalam pemilihan yang celik sosial serta kemunculan beberapa sub-genre baharu, tahun 2018 sememangnya mempunyai banyak perkara menarik. Di Spotify for Artists, kami bertungkus-lumus pada tahun ini untuk memudahkan artis di seluruh dunia meluahkan diri mereka, menarik peminat baharu dan mengembangkan kerjaya mereka menggunakan ruang ini. Sekiranya anda terlepas ciri ini, terdapat senarai bagi semua ciri (dan juga beberapa siri video asal) yang kami perkenalkan pada tahun ini.

1). Muat Naik Muzik Anda

Cara yang mudah untuk memuat naik muzik anda secara terus ke Spotify ialah permintaan yang paling kerap kami terima pada tahun 2018. Sebagai maklum balas kepada permintaan ini, kami mula melancarkan ciri baharu dalam aplikasi Spotify for Artists yang membolehkan pengguna memuat naik muzik mereka secara langsung. Pada waktu penulisan ini dibuat, ciri ini hanya melalui jemputan sahaja, tetapi anda boleh mendaftar untuk menerima kemas kini akan datang tentang ciri tersebut di sini.

2). Hantar Muzik Anda untuk Pertimbangan Kemasukan ke Playlist

Permintaan lain yang kami terima adalah untuk keupayaan agar lagu anda dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam salah satu daripada beribu-ribu playlist Spotify. Kami mengutamakan permintaan ini dan memperkenalkan cara untuk berbuat demikian pada bulan Oktober yang lalu. Kini, para artis hanya perlu log masuk ke akaun Spotify for Artists mereka (atau pergi ke Spotify Analytics) dan pilih satu lagu yang belum dikeluarkan untuk diserahkan kepada pasukan editorial. Namun, apabila anda berbuat demikian, pastikan anda menyertakan semua butiran tentang lagu tersebut—genre lagu, mood yang sesuai dengan lagu, dll. agar editor kami mempunyai semua maklumat yang diperlukan untuk menentukan playlist yang paling sesuai dengan lagu anda. Kami juga membuat beberapa video untuk menunjukkan kepada anda cara ciri ini berfungsi!

3). Galeri Foto

Salah satu matlamat utama kami dengan aplikasi Spotify for Artists adalah untuk membolehkan artis mengawal kehadiran mereka sepenuhnya di Spotify. Itulah sebabnya pada bulan Mac lalu, kami membenarkan anda memuat naik imej sendiri ke galeri foto peribadi. Foto ini boleh jadi foto daripada pertunjukan terkini anda atau gambar di sebalik tabir kehidupan anda semasa konsert menjelajah. Apa-apa pun, anda boleh menambah sehingga 125 foto dan mengedit susunan mengikut kehendak anda.

4). Perkongsian ke Instagram Stories

Benarlah bahawa kehandalan mengendalikan media sosial boleh membantu kebolehlihatan anda dan juga kerjaya anda (semak perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan di media sosial kami di sini), maka kami menyediakan penyepaduan yang baharu dengan Instagram dan Facebook untuk menyediakan perkongsian yang mudah antara kedua-dua platform. Kini, peminat dan artis boleh berkongsi album, lagu, artis dan playlist Spotify secara terus ke Instagram stories, lengkap dengan pautan khusus yang akan menghalakan pengikut anda kembali ke aplikasi Spotify untuk mendengar muzik.

5). The Game Plan [youtube-video PZ6BE-NLJYY]

The Game Plan ialah salah satu siri video asal kami yang direka untuk mendidik artis tentang aspek paling penting dalam menggunakan Spotify bagi mengurus dan mengembangkan kerjaya mereka. The Game Plan menampilkan temu bual dengan berpuluh-puluh pakar, termasuk pekerja Spotify, veteran industri dan sekumpulan artis dengan nama yang gah seperti Teflon Don, Rick Ross (dan Little Dragon, Mike Posner, Vérité, Sheryl Crow serta ramai lagi). Inilah komuniti pencinta muzik yang komited dan membantu membentuk serta membina Spotify dan topik yang kami rasakan adalah penting untuk ini ialah: playlist, royalti, perkongsian strim, cara membaca data anda serta banyak lagi.

6). Best Advice

Jika anda ingin mendapatkan nasihat kerjaya yang baik, kami berasa lebih baik anda mendengar daripada artis berpengalaman dan berpengetahuan. Oleh itu, kami melancarkan siri video kedua kami, iaitu Best Advice yang melibatkan artis seperti Christina Aguilera (di atas), Kamasi Washington, Rick Ross dan Mary J. Blige memberikan beberapa petua yang bermanfaat tentang segala-galanya seperti cara mengasah kemahiran anda, menangani kritikan, memanfaatkan emosi anda dan banyak lagi.

7). Peringkat Percuma Baharu

Sebagai artis yang bijak dan ingin terus mengetahui perkembangan tentang trend industri, anda mungkin sudah tahu bahawa terdapat dua cara utama peminat muzik boleh mendengar di Spotify: sebagai pelanggan premium dan sebagai pengguna percuma. Pada musim panas ini, kami melancarkan versi percuma Spotify, dengan beberapa ciri baharu dan salah satu perbezaan utama dalam aplikasi percuma yang baharu ini ialah cara yang lebih mudah bagi peminat menemui lagu kegemaran mereka yang seterusnya. Kini, pengguna percuma menikmati playlist diperibadikan yang lebih baik, yang direka untuk memperkenalkan muzik baharu kepada mereka pada setiap minggu. Mereka boleh mendengar lagu mengikut permintaan dalam playlist seperti Discover Weekly, Release Radar dan Daily Mix serta dalam playlist editorial terpilih, daripada RapCaviar dan ¡Viva Latino!, sehinggalah Ultimate Indie dan Alternative R&B, serta banyak lagi, bergantung pada cita rasa mereka. Terdapat lebih daripada 90 juta orang yang menggunakan versi percuma Spotify. Mereka membentuk audiens yang besar dari segi peminat baharu yang berpotensi.

8). Acara Co.Lab

Sebagai seorang artis, anda merupakan sebahagian daripada komuniti yang besar, dan pada tahun 2018, kami berusaha memudahkan cara untuk anda memanfaatkan perkara ini dengan menawarkan siri acara secara bersemuka dan di lokasi, di NYC dan LA. Kami mengumpulkan artis dan veteran industri untuk berbincang tentang Konsert Jelajah, Barang Dagangan, Strategi Keluaran, Aliran Perolehan dan pembinaan rangkaian, lantas memberikan peluang kepada orang yang dapat turut serta untuk mempelajari strategi bagi kerjaya mereka, memperoleh beberapa sumber yang berguna—melalui pembentangan dan bengkel secara bersemuka—bertemu artis lain (serta minum-minum atau bergambar bersama mereka). Bagi sesiapa yang tidak dapat menyertai acara ini, jangan bimbang. Kami akan menerbitkan temu bual dan pelbagai petua daripada penyelia muzik, wakil syarikat rakaman, pakar jenama, pengarah konsert jelajah serta ramai ahli panel lain sepanjang tempoh beberapa bulan akan datang, maka perhatikan ruang ini. Sudah tentulah, akan ada lebih banyak acara yang akan datang. Mari raikan 2019!

Spotify for Artists membantu anda mengembangkan asas peminat yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Kongsi cerita ini
Cerita Popular